20/20: Dilihat. Terpilih. Diutus. Oleh Christine Caine Sampel
ANDALAH GARAM & CAHAYA
Kamu bagaikan garam dunia. Jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam seperti itu tidak berguna lagi, selain dibuang dan dipijak-pijak orang. Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah. -Matius 5:13-15 BM
Saya ialah pelajar kolej yang muda sewaktu saya mengenali seorang kawan yang nampaknya memiliki segala-galanya—kejelitaan, markah yang baik, kekayaan. Segala sesuatu yang saya rasa tidak saya miliki. Walau bagaimanapun, kami menjadi kawan rapat. Jadi, apabila ia hilang selama tiga hari dan tidak menjawab panggilan saya, saya menjadi gelisah. Bila ia muncul pada hari yang ketiga, saya mendapati ia telah menghadiri parti di mana sebahagian besar orang mengambil dadah untuk berjaga. Ia berkata, "Banyak kasih. Banyak sukacita. Banyak ketenangan sehinggakan saya rasa kagum." Kemudian, ia mengeluarkan sekuntum bunga. "Saya amat menyukainya, Chris, dan saya tidak mahu kamu terlepas pengalaman itu. Jadi, saya menyimpan setengah pil itu untuk kamu."
Saya menolak tawarannya dengan lembut, tetapi saya naik gelisah. Beberapa tahun sebelumnya saya telah menyerahkan hidup saya kepada Yesus, dan saya berfikir, Perempuan ini amat penyayang sehinggakan ia tidak mahu kamu terlepas kasih, sukacita dan ketenangan daripada dadah itu. Dan kamu, Christine, memiliki Roh Kudus Allah yang diam dalam kamu, yang merupakan sumber kasih, sukacita dan ketenangan. Christine, kamu berasa malu untuk bercakap tentang Allah, kerana kamu fikir ia tidak memerlukan Dia, bila satu-satunya perkara yang diperlukannya ialah Allah.
Selepas itu, saya menangis. Saya berjanji kepada Allah bahawa saya tidak akan membenarkan keghairahan orang lain terhadap apa-apa—dadah, wang, kejayaan atau perjuangan—untuk menjadi lebih kuat daripada keghairahan kasih saya terhadap-Nya dan kerelaan saya untuk pergi mengkhabarkan Dia.
Mengapakah kita cepat mengecam orang yang bermasalah sebagai orang yang perlu ditemui tetapi gagal menyedari bahawa orang yang kelihatannya memiliki segala sesuatu jugalah sesat? Tidakkah Allah mahu kita untuk memahami bahawa orang yang sesat kelihatan seperti orang lain?
Sejak hari itu, saya tidak pernah lupa bahawa wujudnya kekosongan berbentuk Allah dalam setiap hati manusia yang hanya dapat diisi oleh Yesus, dan setiap orang perlu mendengar tentang Dia.
DOA
Allah, tolonglah saya untuk menjadi garam dan cahaya di setiap tempat yang saya tujui dan bagi setiap orang yang saya temui. Tolonglah saya untuk memandang dan melihat...orang yang remuk dan sesat... walau apa pun rupa mereka. Tolonglah saya untuk berbelas kasihan dan berani untuk menjangkau serta mendekati seseorang hari ini. Saya berdoa dalam nama Yesus, amin.
Dipetik daripada 20/20: Seen.Chosen.Sent oleh Christine Caine. Hak cipta © 2019 Christine Caine. Dicetak semula dengan kebenaran Lifeway Women. Hak cipta terpelihara.
Perihal Pelan
Dapatkah anda bayangkan betul-betul rasa dilihat oleh Allah sehinggakan anda tidak mungkin tidak melihat orang lain? Dapatkah anda bayangkan hidup sehari-hari anda yang biasa membawa kesan abadi yang penting? Renungan 7 hari daripada Christine Caine ini akan membantu anda untuk menemui bagaimana Allah telah melihat anda, memilih anda, dan mengutuskan anda untuk melihat orang lain dan untuk membantu mereka rasa dilihat sebagaimana Allah melihat mereka—penglihatan 20/20.
More