GelisahSampel
Telefon anda tidak henti-henti berdering. Kalendar anda tidak dapat dikawal. Senarai tugas anda kelihatan tidak berkesudahan. Apabila anda bangun pagi, anda segera berhadapan dengan dengungan halus kegelisahan yang mengikuti anda sepanjang hari.
Kedengaran biasa? Hari ini, lebih daripada sebelumnya, kita berasa gelisah. Saya mengemukakan tiga faktor utama yang menyumbang kepada kegelisahan orang Kristian dewasa ini. Pertama, kita (seperti seluruh dunia ini) menghabiskan begitu banyak masa untuk hiburan, media sosial, aplikasi, dan permainan, sehinggakan perkara baik yang bertujuan memberikan hidup sebenarnya menghisap hidup. Kedua, kita tidak meluangkan masa untuk "masuk melalui pintu gerbang [Tuhan] dengan ucapan syukur," membawa kepada dorongan perasaan tidak puas hati dan kegelisahan untuk mencapai dan mengumpulkan lebih banyak lagi. Akhirnya—dan ini adalah pergumulan yang agak mencabar bagi golongan profesional yang bercita-cita tinggi—kita gagal meluangkan masa secara tetap untuk mengingatkan diri tentang injil dan bagaimana identiti kita dalam Kristus membebaskan kita daripada keperluan untuk sentiasa melakukan lebih banyak lagi.
Ia mungkin kedengaran terlalu mudah, tetapi jika masalah kita adalah kegelisahan, maka, penyelesaiannya mestilah berehat daripada punca kegelisahan itu. Demi menemukan rehat dan kedamaian sebenar, kita mesti menyimpang dengan tetap daripada tuntutan tidak henti-henti dunia ini dan pekerjaan kita. Kita mesti meluangkan masa untuk bersyukur kepada Allah kerana apa yang telah diberikan-Nya kepada kita, daripada sentiasa berusaha untuk memperoleh lebih banyak lagi. Kita mesti juga buat sementara waktu menukarkan perkara yang menyebabkan kita kehabisan tenaga (e-mel, telefon pintar, dsb.) dengan perkara yang membawakan hidup (kawan, keluarga, Firman Allah, dsb.).
Mujurlah, Alkitab mempunyai contoh untuk rehat jenis ini: hari Sabat. Sekarang, sehingga beberapa tahun lalu, hari Sabat merupakan kata nama kepada saya, bukan kata kerja. Ia merupakan perkataan kuno untuk sehari dalam seminggu, bukan sesuatu yang betul-betul diamalkan oleh orang Kristian moden. Sudah lama, hari Sabat kedengaran lebih seperti tugas bersifat keundangan yang membosankan kepada saya daripada kurnia penuh rahmat yang akan menyelesaikan kegelisahan saya. Namun, melalui kajian kata-kata Yesus secara teliti, saya telah mengubah sepenuhnya cara saya fikir tentang rehat ala Sabat. Kini, saya tidak dapat membayangkan kehidupan saya tanpanya.
Esok, kita akan melihat apa yang bukan sifat hari Sabat bagi orang Kristian hari ini, memaparkan kepalsuan banyak mitos yang telah lama dipegang oleh saya (dan barangkali anda) tentang amalan purba ini. Kemudian, pada hari terakhir pelan ini, kita akan melihat apa yang dikatakan Alkitab tentang sifat rehat hari Sabat dan keadaannya secara praktis bagi kita pada zaman ini.
Perihal Pelan
"Hati kami yang gelisah hanya mendapat ketenangan dalam-Mu." Belum pernah orang yang begitu banyak mengalami kegelisahan yang digambarkan oleh Augustine dalam ayat terkenal ini. Namun, apakah penyelesaian kekurangan ketenangan sebenar kita? Pelan tiga hari ini akan menunjukkan bahawa sebahagian daripada penyelesaiannya terletak dalam melihat amalan kuno hari Sabat melalui kanta yang berbeza—melalui kanta "Mu"—Yesus—sumber utama ketenangan kita.
More