KIDUNG AGUNG 2:8-17
KIDUNG AGUNG 2:8-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku mendengar suara kekasihku. Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung. Kekasihku seperti kijang; dia seperti anak rusa. Di balik tembok dia berdiri, dengan matanya dia menatap, dan mengintip dari kisi-kisi tingkap. Kekasihku berkata-kata kepadaku. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah. Musim sejuk sudah berlalu; hujan pun sudah berhenti. Bunga di padang sudah mekar. Inilah masanya untuk menyanyi; bunyi tekukur terdengar di padang. Buah ara mula masak; pokok anggur semerbak harum bunganya. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah. Engkau seperti burung merpati yang bersembunyi di celah-celah bukit batu. Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu, biarlah kudengar suaramu yang merdu. Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu, rubah yang merosakkan ladang anggur, kerana pokok anggur kita sedang berbunga. Kekasihku kepunyaanku, dan aku kepunyaannya. Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang. Kembalilah, hai sayangku, seperti kijang, seperti anak rusa di pergunungan Beter.
KIDUNG AGUNG 2:8-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Suara kekasihku! Lihat, datanglah dia melompat melepasi gunung-gunung, melonjak melangkau bukit-bukit. Kekasihku seumpama kijang atau rusa jantan muda. Lihat, dia berdiri di balik dinding kita, mengamat-amati melalui jendela, mengintip-intip melalui tingkap kekisi. Bertuturlah kekasihku dan berkata kepadaku, “Bangunlah, oh sayangku, Juitaku, marilah! Lihatlah, musim dingin sudah berlalu, hujan sudah teduh dan telah pergi. Bunga-bunga menampakkan diri di bumi, masa berdendang telah tiba, kedengaran kini kicauan burung tekukur di bumi kita. Pokok ara mulai berputik, dan semerbaklah bau pokok anggur yang berbunga. Bangunlah, marilah, sayangku, jelitawanku, marilah! Wahai merpatiku di celah-celah bukit batu, di persembunyian pada terjal-terjal gunung, biarlah aku tatap parasmu, biarlah aku dengar suaramu, kerana merdu suaramu dan elok parasmu. Tangkaplah untuk kami segala rubah itu, rubah yang kecil-kecil, yang merosakkan kebun-kebun anggur, ketika kebun-kebun anggur kami sedang berbunga.” Kekasihku milikku, dan aku miliknya; dia menggembala domba di antara bunga bakung. Sebelum bertiupnya angin senja dan bayang-bayang menghilang, kembalilah, wahai kekasihku! Jadilah seumpama kijang atau seumpama anak rusa di gaung-gaung Pergunungan Beter.