RUT 2:1-11
RUT 2:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Naomi mempunyai sanak saudara daripada mendiang suaminya, Elimelekh. Seorang daripadanya bernama Boas, dan dia kaya serta dihormati. Pada suatu hari, Rut berkata kepada Naomi, “Benarkanlah saya pergi ke ladang untuk mengumpulkan barli yang terjatuh dari tangan para penuai. Tentu saya akan menemui orang yang akan membiarkan saya berbuat begitu.” Naomi menjawab, “Pergilah, anakku.” Kemudian Rut pergi ke ladang. Dia mengikut para penuai di sana, sambil memungut barli yang terjatuh. Kebetulan dia berada di ladang kepunyaan Boas, seorang daripada sanak saudara Elimelekh. Tidak berapa lama kemudian, Boas sendiri datang dari Betlehem. Dia memberikan salam kepada para pekerjanya. “Semoga TUHAN menyertai kamu!” katanya. “Semoga TUHAN memberkati tuan!” jawab mereka. Kemudian Boas bertanya kepada ketua pekerjanya, “Siapakah keluarga wanita itu?” Ketua pekerja itu menjelaskan, “Dia wanita asing yang baru datang dari Moab bersama dengan Naomi. Dia minta izin untuk mengikut para pekerja kita memungut barli yang tercicir. Sejak pagi lagi dia bekerja, dan baru saja dia berhenti untuk berehat sebentar di pondok.” Kemudian Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah nasihat saya. Janganlah pergi memungut barli di ladang lain, kecuali ladang ini. Bekerjalah dengan para pekerja wanita di sini. Lihatlah ke mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Dengan tegas saya melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan-tempayan yang telah diisikan oleh mereka.” Rut bersujud dan berkata kepada Boas, “Mengapakah tuan mengambil berat terhadap saya dan begitu baik terhadap saya? Saya hanya seorang bangsa asing!” Boas menjawab, “Saya telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan bagi ibu mentuamu sejak suamimu meninggal. Saya tahu bahawa kamu telah meninggalkan ibu bapa dan negeri kamu untuk tinggal bersama dengan bangsa yang tidak kamu kenal.
RUT 2:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di sebelah suaminya, Elimelekh, Naomi mempunyai seorang kaum kerabat bernama Boas yang kaya-raya. Maka Rut, bani Moab itu, berkata kepada Naomi, “Izinkan aku pergi ke ladang mengutip bulir-bulir barli di belakang orang yang murah hati kepadaku.” Dan jawab Naomi, “Pergilah, anakku.” Berangkatlah dia ke ladang lalu mengutip barli di belakang para penuai; dan kebetulan pula, Rut sampai di tempat ladang milik Boas, yang berasal daripada kaum Elimelekh. Maka datanglah Boas dari Betlehem lalu berkata kepada para penuai itu, “Semoga TUHAN menyertai kamu.” Jawab mereka kepadanya, “Semoga TUHAN memberkati tuan!” Lalu Boas bertanya kepada pekerjanya yang mengawas para penuai, “Pekerja siapakah perempuan ini?” Ketua pekerja para penuai itu pun menjawab, “Perempuan bani Moab ini pulang bersama-sama Naomi dari bumi Moab. Dan dia meminta, ‘Harap izinkan aku mengutip bulir-bulir barli ini di belakang para penuai.’ Lalu datanglah dia, dan sejak pagi tadi dia terus bekerja sampai sekarang dan hanya sebentar dia berhenti rehat di rumah.” Lalu Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah baik-baik, anakku! Jangan engkau pergi mengutip bulir-bulir di ladang lain dan jangan engkau pergi dari sini, tetapi tinggal di sini bersama-sama para pekerja perempuanku. Tetapkan matamu pada ladang yang sedang dituai dan ikutlah di belakang para penuai itu. Aku juga sudah berpesan agar para pekerja lelaki tidak mengganggu kamu. Jika kamu haus, pergilah ke tempayan dan minumlah air yang dicedok oleh para pekerja itu.” Rut segera tunduk dengan mukanya menghadap ke tanah dan berkata kepada Boas, “Mengapa saya menerima ihsan besar sebegini daripada tuan yang prihatin terhadap saya walhal saya seorang asing?” Boas menjawab, “Sudah dilaporkan kepadaku dengan lengkap segala sesuatu yang engkau lakukan demi mertuamu susulan kematian suamimu, dan bagaimana kamu meninggalkan ibu bapa dan tanah tumpah darahmu lalu pergi kepada suatu kaum yang tidak kamu kenal sebelum ini.