RUT 2:1-11

RUT 2:1-11 BM

Naomi mempunyai sanak saudara daripada mendiang suaminya, Elimelekh. Seorang daripadanya bernama Boas, dan dia kaya serta dihormati. Pada suatu hari, Rut berkata kepada Naomi, “Benarkanlah saya pergi ke ladang untuk mengumpulkan barli yang terjatuh dari tangan para penuai. Tentu saya akan menemui orang yang akan membiarkan saya berbuat begitu.” Naomi menjawab, “Pergilah, anakku.” Kemudian Rut pergi ke ladang. Dia mengikut para penuai di sana, sambil memungut barli yang terjatuh. Kebetulan dia berada di ladang kepunyaan Boas, seorang daripada sanak saudara Elimelekh. Tidak berapa lama kemudian, Boas sendiri datang dari Betlehem. Dia memberikan salam kepada para pekerjanya. “Semoga TUHAN menyertai kamu!” katanya. “Semoga TUHAN memberkati tuan!” jawab mereka. Kemudian Boas bertanya kepada ketua pekerjanya, “Siapakah keluarga wanita itu?” Ketua pekerja itu menjelaskan, “Dia wanita asing yang baru datang dari Moab bersama dengan Naomi. Dia minta izin untuk mengikut para pekerja kita memungut barli yang tercicir. Sejak pagi lagi dia bekerja, dan baru saja dia berhenti untuk berehat sebentar di pondok.” Kemudian Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah nasihat saya. Janganlah pergi memungut barli di ladang lain, kecuali ladang ini. Bekerjalah dengan para pekerja wanita di sini. Lihatlah ke mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Dengan tegas saya melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan-tempayan yang telah diisikan oleh mereka.” Rut bersujud dan berkata kepada Boas, “Mengapakah tuan mengambil berat terhadap saya dan begitu baik terhadap saya? Saya hanya seorang bangsa asing!” Boas menjawab, “Saya telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan bagi ibu mentuamu sejak suamimu meninggal. Saya tahu bahawa kamu telah meninggalkan ibu bapa dan negeri kamu untuk tinggal bersama dengan bangsa yang tidak kamu kenal.