ROMA 5:12-21

ROMA 5:12-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa. Dosa sudah ada di dalam dunia sebelum Taurat diberikan. Tetapi jika tidak ada hukum, dosa tidak diperhitungkan. Sungguhpun demikian, dari zaman Adam sampai kepada zaman Musa, maut menguasai segenap umat manusia, termasuk orang yang tidak berbuat dosa seperti yang dilakukan oleh Adam ketika dia melanggar perintah Allah. Adam itu gambaran daripada Dia yang akan datang kemudian. Tetapi kedua-dua mereka tidak sama, kerana anugerah Allah sangat berbeza dengan dosa Adam. Memang betul bahawa banyak orang mati akibat dosa satu orang itu. Tetapi jauh lebih besar lagi akibat daripada rahmat Allah dan anugerah penyelamatan-Nya yang diberikan kepada banyak orang melalui rahmat satu orang, iaitu Yesus Kristus. Anugerah Allah juga jauh lebih besar daripada dosa satu orang itu. Setelah satu orang itu berdosa, Allah memberikan keputusan “Bersalah”. Tetapi setelah banyak orang berbuat dosa, Allah mengurniakan anugerah-Nya dengan menyatakan mereka, “Tidak bersalah!” Memang betul bahawa melalui satu orang itu, maut mula berkuasa kerana dosa satu orang itu. Tetapi lebih besar lagi hal yang dicapai oleh satu orang lain, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia, Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada banyak orang, dan dengan anugerah-Nya mereka dapat berbaik semula dengan Allah, serta akan hidup dan berkuasa melalui Kristus. Oleh itu sebagaimana umat manusia dihukum kerana dosa satu orang; dengan cara yang sama semua orang dibebaskan daripada kesalahan dan diberikan hidup, kerana perbuatan satu orang yang melakukan kehendak Allah. Sebagaimana semua orang menjadi orang berdosa kerana satu orang tidak taat, demikian juga orang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana satu orang taat kepada Allah. Taurat diberikan oleh Allah. Tetapi apabila manusia semakin berusaha untuk mentaati Taurat, mereka semakin melanggarnya dan berdosa terhadap Allah. Tetapi apabila dosa bertambah, rahmat Allah pun semakin bertambah. Oleh itu sebagaimana orang harus mati kerana berbuat dosa, demikian juga rahmat Allah berkuasa untuk membolehkan kita berbaik semula dengan Allah, sehingga kita beroleh hidup sejati dan kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.

ROMA 5:12-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun sŭbab itu ulih sa’orang, dosa sudah masok kŭdalam dunia, dan kŭmatian itu datang sŭbab dosa; maka dŭmkian lagi kŭmatian itu mŭlalui atas sagala manusia, sŭbab skaliannya tŭlah bŭrdosa adanya. Maka sampielah kapada zaman datang tauret dosa itu sudah ada dalam dunia, tŭtapi dosa itu tiadalah ditanggongkan sŭbŭlom ada tauret. Akan tŭtapi kŭmatian itu tŭlah mŭnjadi pŭrtuanan, iya itu deripada zaman Adam sampie kapada zaman Musa, mŭskipun atas orang yang tiada bŭrbuat dosa mŭnurot pri kŭsalahan Adam pun, iyalah suatu tuladan bagie sa’orang yang akan datang. Tŭtapi bukannya spŭrti kŭsalahan Adam itu, dŭmkian pula pŭmbrian yang murah itu, kŭrna jikalau ulih sŭbab kŭsalahan sa’orang, banyak orang mati, istimewa pula anugrah Allah, sŭrta dŭngan pŭmbrian ulih anugrah yang datang deri pada sa’orang, iya itu Isa Almasih, sudah mŭliputi kapada kŭbanyakkan orang. Maka bukannya spŭrti sa’orang yang tŭlah bŭrdosa itu, dŭmkian pula pŭmbrian itu pun, kŭrna hukum itu tŭlah datang ulih sŭbab suatu salah akan diseksakan; akan tŭtapi pŭmbrian yang murah itulah datang deri sŭbab banyak kŭsalahan akan dibŭnarkan. Kŭrna jikalau sŭbab kŭsalahan sa’orang, kŭmatian itu mŭnjadi pŭrtuanan ulih sŭbab sa’orang itu, istimewa pula orang orang yang bŭrulih banyak anugrah dan pŭmbrian kabŭnaran itu kŭlak akan dipŭrtuan dalam slamat kŭkal ulih sŭbab sa’orang, iya itu Isa Almasih. Sŭbab itu spŭrti kŭsalahan sa’orang itu, maka hukum tŭlah datang atas sagala manusia akan diseksakan, maka dŭmkianlah juga kabŭnaran sa’orang itu tŭlah mŭndatangkan pŭmbrian yang murah itu atas sagala manusia akan dibŭnarkan bŭrulih slamat kŭkal. Kŭrna spŭrti banyak manusia tŭlah dijadikan bŭrdosa sŭbab dŭrhaka sa’orang, maka dŭmkianlah juga banyak orang akan dijadikan bŭnar sŭbab kŭbaktian sa’orang. Tambahan pula, adapun tauret itu tŭlah datang, supaya kŭsalahan itu bulih bŭrlempah; akan tŭtapi barang dimana dosa itu tŭlah bŭrlempah, anugrah itu pun makinlah banyak bŭrlempah. Maka adapun spŭrti dosa itu sudah dipŭrtuan kapada kŭmatian, maka dŭmkianlah juga anugrah itu pun bulih dipŭrtuan ulih sŭbab kabŭnaran kapada slamat kŭkal dŭngan bŭrkat Isa Almasih Tuhan kami.

ROMA 5:12-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, sebagaimana dosa memasuki dunia ini melalui seorang manusia, dan dengan demikian kematian menimpa semua manusia, kerana semuanya berdosa. Kerana sebelum hukum diberikan, dosa sudah ada di dunia. Tetapi dosa tidak diperhitungkan apabila hukum tidak ada. Namun demikian, kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Adam, yang merupakan gambaran Dia yang akan datang. Tetapi pemberian tidaklah seperti pelanggaran. Kerana jika ramai manusia mati akibat pelanggaran seorang manusia, lebih-lebih lagilah kasih kurnia Allah dan pemberian melalui kasih kurnia seorang manusia, Yesus Kristus, melimpahi manusia yang banyak! Demikian juga, pemberian Allah tidaklah seperti dosa seseorang manusia: Penghakiman datang selepas satu dosa dan membawa hukuman, tetapi pemberian itu datang selepas beberapa banyak pelanggaran yang membawa pembenaran. Kerana jika dengan dosa seorang manusia, kematian telah bertakhta melalui seorang manusia itu, maka lebih-lebih lagilah orang yang menerima peruntukan kasih kurnia dan pemberian perbenaran yang melimpah-limpah akan bertakhta dalam kehidupan melalui seorang manusia, Yesus Kristus. Oleh yang demikian, sebagaimana satu pelanggaran itu membawa hukuman bagi semua manusia, maka satu perbuatan benar membawa pembenaran yang memberikan kehidupan bagi semua manusia. Kerana sebagaimana melalui pelanggaran oleh seorang manusia, ramai telah menjadi orang berdosa, maka melalui ketaatan seorang Manusia, ramai akan diperbenar. Hukum Taurat telah diadakan supaya pelanggaran bertambah. Tetapi dengan bertambahnya dosa, semakin bertambahlah kasih kurnia. Oleh itu, sebagaimana dosa telah bertakhta dalam kematian, maka kasih kurnia akan bertakhta melalui perbenaran untuk membawakan kehidupan kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami