Roma 5:12-21

Roma 5:12-21 AVB

Oleh itu, sebagaimana dosa memasuki dunia ini melalui seorang manusia, dan dengan demikian kematian menimpa semua manusia, kerana semuanya berdosa. Kerana sebelum hukum diberikan, dosa sudah ada di dunia. Tetapi dosa tidak diperhitungkan apabila hukum tidak ada. Namun demikian, kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Adam, yang merupakan gambaran Dia yang akan datang. Tetapi pemberian tidaklah seperti pelanggaran. Kerana jika ramai manusia mati akibat pelanggaran seorang manusia, lebih-lebih lagilah kasih kurnia Allah dan pemberian melalui kasih kurnia seorang manusia, Yesus Kristus, melimpahi manusia yang banyak! Demikian juga, pemberian Allah tidaklah seperti dosa seseorang manusia: Penghakiman datang selepas satu dosa dan membawa hukuman, tetapi pemberian itu datang selepas beberapa banyak pelanggaran yang membawa pembenaran. Kerana jika dengan dosa seorang manusia, kematian telah bertakhta melalui seorang manusia itu, maka lebih-lebih lagilah orang yang menerima peruntukan kasih kurnia dan pemberian perbenaran yang melimpah-limpah akan bertakhta dalam kehidupan melalui seorang manusia, Yesus Kristus. Oleh yang demikian, sebagaimana satu pelanggaran itu membawa hukuman bagi semua manusia, maka satu perbuatan benar membawa pembenaran yang memberikan kehidupan bagi semua manusia. Kerana sebagaimana melalui pelanggaran oleh seorang manusia, ramai telah menjadi orang berdosa, maka melalui ketaatan seorang Manusia, ramai akan diperbenar. Hukum Taurat telah diadakan supaya pelanggaran bertambah. Tetapi dengan bertambahnya dosa, semakin bertambahlah kasih kurnia. Oleh itu, sebagaimana dosa telah bertakhta dalam kematian, maka kasih kurnia akan bertakhta melalui perbenaran untuk membawakan kehidupan kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Roma 5:12-21