ROMA 4:16-21
ROMA 4:16-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Janji Allah itu berdasarkan kepercayaan orang kepada Allah. Dengan demikian, janji itu dijamin sebagai kurnia Allah yang diberikan dengan percuma kepada semua keturunan Abraham, baik orang yang taat kepada Taurat, mahupun orang yang percaya kepada Allah seperti Abraham percaya kepada-Nya. Hal ini demikian kerana Abraham menjadi seperti bapa kepada kita semua. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman kepada Abraham, “Aku sudah menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa.” Demikianlah Allah memberikan janji itu kepada Abraham dan Abraham percaya kepada-Nya. Dialah Allah yang menghidupkan orang mati, dan juga Allah yang dengan firman-Nya mewujudkan apa yang tidak wujud. Abraham tetap percaya dan berharap bahkan pada masa tidak ada harapan lagi baginya. Itulah sebabnya Allah menjadikan dia bapa kepada banyak bangsa. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Keturunanmu akan menjadi banyak sekali.” Pada waktu itu umur Abraham sudah hampir seratus tahun. Dia tahu bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan, kerana badannya sudah sangat tua dan Sara, isterinya mandul. Tetapi walaupun demikian, dia tidak ragu akan janji Allah, dan imannya pun tidak menjadi lemah. Sebaliknya imannya menjadikan dia bertambah kuat, dan dia memuji-muji Allah. Abraham betul-betul yakin bahawa Allah sanggup melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya.
ROMA 4:16-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab itulah kabŭnaran itu mŭnjadi deripada iman; adapun datangnya itu deripada anugrah, kŭsudahannya kŭlak supaya pŭrjanjian itu mŭnjadi tŭtap kapada sagala bŭnih, bukannya iya itu deri pada bŭnih tauret sahja, mŭlainkan iya itu deripada bŭnih iman, iya itu Ibrahim bapa kita skalian pun. Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa aku akan mŭnjadikan dikau akan bapa kapada bŭbrapa bangsa; maka dihadapan Allah yang dipŭrchayai ulih Ibrahim itu, bahwa iyalah juga yang mŭnghidopkan orang yang mati, dan iya mŭngadakan pŭrkara pŭrkara yang ta’da spŭrti yang tŭlah ada. Adapun Ibrahim mŭlawan harap, tŭtapi pŭrchaya juga iya dŭngan harap, supaya iya kŭlak akan mŭnjadi bapa bagie bŭbrapa bangsa; spŭrti yang tŭlah dikatakan Allah, Dŭmkianlah kŭlak akan jadi bŭnihmu itu. Maka sŭbab imannya tiadalah lŭmah, maka disangkanya dirinya itu bukannya spŭrti mati, tŭtkala umornya kira kira sa’ratus tahun, dan tiada pula disangkanya derihal kalŭmahan rahim Sarah itu. Maka tiada juga iya bŭrgŭrak deripada pŭrjanjian Allah dŭngan korang imannya, mŭlainkan tŭgohlah imannya sambil mŭmuliakan Allah. Maka yakinlah juga iya sangat, iya itu bahwa Allah bŭrkwasa akan mŭnyampiekan pŭrkara yang tŭlah dijanjikannya itu.
ROMA 4:16-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh yang demikian, janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Abraham; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Abraham, bapa kepada kita semua. Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Aku telah menjadikanmu bapa kepada beberapa banyak bangsa.” Abraham bapa kita di mata Allah. Dia beriman kepada Allah yang memberikan nyawa kepada yang mati dan menyeru yang tidak wujud menjadi wujud. Meski bagaikan tiada harapan, Abraham berharap dan beriman, maka dia menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa, sebagaimana yang telah dikatakan kepadanya, “Demikian jugalah keturunanmu kelak.” Tanpa terjejas imannya, dia menghadapi kenyataan bahawa tubuhnya samalah seperti sudah mati — kerana dia sudah berusia kira-kira seratus tahun — dan rahim Sarah juga sudah mati. Namun demikian, Abraham tidak digugat kesangsian terhadap janji Allah, tetapi telah diteguhkan lagi dalam imannya lalu memuliakan Allah. Dia yakin sepenuhnya bahawa Allah berkuasa melakukan apa yang telah dijanjikan-Nya.