ROMA 16:1-27

ROMA 16:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku ingin memperkenalkan saudari kita, Febe, yang membantu jemaah di Kengkrea. Sambutlah dia sebagai salah seorang umat Tuhan, sebagaimana umat Allah menyambut satu sama lain. Bantulah dia, jika dia memerlukan bantuan daripada kamu, kerana dia sudah membantu banyak orang termasuk aku sendiri. Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakanku yang sama-sama bekerja untuk Kristus Yesus. Mereka menyabung nyawa untukku. Aku berterima kasih kepada mereka - dan bukan aku sahaja, tetapi jemaah orang bukan Yahudi juga berterima kasih kepada mereka. Sampaikan salamku kepada jemaah yang berkumpul di rumah mereka. Sampaikan salamku kepada Epenetus yang aku kasihi. Dia orang pertama di daerah Asia yang percaya kepada Kristus. Sampaikan salamku kepada Maria yang sudah bekerja begitu keras bagi kamu. Sampaikan salamku kepada Andronikus dan Yunias, yang sebangsa dengan aku dan yang dipenjarakan bersama-sama aku. Mereka terkenal antara rasul-rasul dan mereka lebih awal percaya kepada Kristus daripada aku. Sampaikan salamku kepada Ampliatus, sahabat yang aku kasihi dan yang bersatu dengan Tuhan. Sampaikan salam kepada Urbanus, rakan sekerja kita untuk Kristus, dan kepada Stakhis sahabat yang aku kasihi. Sampaikan salam kepada Apeles yang kesetiaannya kepada Kristus sudah terbukti. Sampaikan salam kepada keluarga Aristobulus, dan kepada Herodion, yang sebangsa dengan aku. Sampaikan salam kepada saudara-saudara seiman dalam keluarga Narkisus. Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa yang bekerja untuk Tuhan, dan kepada Persis sahabat yang aku kasihi. Dia sudah bekerja keras untuk Tuhan. Aku mengirim salam kepada Rufus, hamba terpuji yang dipilih oleh Tuhan, dan kepada ibunya yang sentiasa memperlakukan aku sebagai anak sendiri. Aku mengirim salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas, dan semua saudara seiman yang bersama-sama mereka. Sampaikan salam kepada Filologus dan Yulia, kepada Nereus dan saudara perempuannya, kepada Olimpas dan kepada semua umat Allah yang bersama-sama mereka. Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. Semua jemaah Kristus menyampaikan salam mereka kepada kamu. Saudara-saudaraku! Aku menggesa kamu supaya berwaspada terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan yang mengelirukan kepercayaan orang kepada Tuhan. Mereka mengajarkan perkara yang bertentangan dengan ajaran yang telah kamu terima. Jauhkan diri daripada mereka. Orang yang berbuat demikian tidak melakukan kerja untuk Kristus Tuhan kita, tetapi untuk memuaskan keinginan hati sendiri. Dengan pujukan dan kata-kata yang elok-elok, mereka menipu orang yang tidak tahu apa-apa. Semua orang sudah mengetahui betapa setianya kamu berpegang kepada ajaran Berita Baik itu. Oleh itu kamu menyebabkan aku amat gembira. Aku berharap supaya kamu bijak tentang perkara yang baik, dan tidak tahu apa-apa tentang perkara yang jahat. Allah, sumber kedamaian kita akan segera menaruh Iblis di bawah kekuasaan kamu dan menghancurkannya. Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu! Timotius, rakan sekerjaku menyampaikan salamnya kepada kamu, demikian juga Lukius, Yason, dan Sosipater, sahabat-sahabat yang sebangsa dengan aku. Aku, Tertius yang menulis surat ini menyampaikan salam sebagai sesama saudara Kristian. Gayus mengirim salam kepada kamu. Aku menumpang di rumahnya dan jemaah juga mengadakan perjumpaan di sini. Erastus, bendahari kota dan saudara kita Kuartus, mengirim salam kepada kamu semua. [ Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu semua. Amin.] Marilah kita muliakan Allah! Dia berkuasa meneguhkan iman kamu sesuai dengan Berita Baik tentang Yesus Kristus, yang aku isytiharkan itu. Aku mengisytiharkannya sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh Allah, iaitu rancangan Allah yang selama berabad-abad tidak diketahui orang. Tetapi sekarang rancangan itu sudah dinyatakan melalui tulisan nabi-nabi, dan diberitakan kepada semua bangsa atas perintah Allah yang kekal, supaya mereka semua percaya dan taat kepada Allah. Muliakanlah Allah yang esa dan yang maha bijak. Muliakanlah Dia selama-lamanya kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus Kristus! Amin.

ROMA 16:1-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA aku sŭrahkanlah kapada kamu Phebe saudara pŭrampuan kita itu, iya itu sa’orang khadam sidang jŭmaah yang dinŭgri Kenkria. Supaya kamu mŭnŭrima akan dia dŭngan nama Tuhan spŭrti pŭkŭrti orang orang salih, dan handaklah kamu mŭnulong akan dia dalam barang suatu pŭkŭrjaan yang bŭrguna kapadanya, kŭrna iya tŭlah mŭnulong banyak orang, dan kapadaku pun. Sampiekanlah sŭlamku kapada Priskilla dan Aquila yang tŭlah mŭnulong aku dalam pŭkŭrjaan Isa Almasih: Yang tŭlah mŭnggantikan lehirnya sŭbab nyawaku; maka bukannya aku sahja, mŭlainkan sagala sidang jŭmaah orang sŭsat pun balas trima kasih akan dia. Dan lagi pula sampiekanlah sŭlamku kapada sidang jŭmaah yang dalam rumahnya. Dan sŭlamku kapada kŭkasihku Epenetus, iyalah buah bungaran sulong Almasih dalam nŭgri Akia. Dan sŭlamku kapada Mŭriam yang tŭlah bŭrlŭlah banyak sŭbab kami. Dan sŭlamku kapada Andronikus dan Junia, sanak sanakku, dan taulanku dalam pŭnjara, dan yang tŭrbilang diantara sagala rasol, dan lagi pula yang dalam agama Almasih tŭrdahulu deripadaku. Dan sŭlamku kapada kŭkasihku Amplias dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Arbanus yang mŭnulong aku dalam agama Almasih, dan kapada kŭkasihku Istakis. Dan sŭlamku kapada Apelles yang dipŭrkŭnankan dalam agama Almasih. Dan sŭlamku kapada orang isi rumah Aristobulus. Dan sŭlamku kapada sanakku Herodian, dan sŭlamku kapada orang orang isi rumah Narcissus yang dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Tryfena dan Tryfosa, yang tŭlah bŭrlŭlah dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Persis, kŭkasihku, yang tŭlah bŭrlŭlah banyak dalam agama Tuhan. Dan sŭlamku kapada Rufus yang tŭlah dipileh Tuhan, dan kapada bondanya, iya itu bondaku pun. Dan sŭlamku kapada Asynkritus, dan Phlegon, dan Hermas, dan Patrobas, dan Hermes, sŭrta saudara saudara yang bŭrsama sama dŭngan marika itu. Dan sŭlamku kapada Philologus, dan Julia, dan Nereus, dan kapada saudaranya pŭrampuan, dan Olympas, dan sagala orang salih yang ada dŭngan marika itu. Maka brilah sŭlam kapada sa’orang akan sa’orang dŭngan chium yang suchi. Maka sagala sidang jŭmaah Almasih mŭmbri sŭlam kapada kamu. Maka skarang aku pohonkan kapada kamu sagala saudaraku, bahwa pŭrhatikanlah akan sagala orang yang mŭndatangkan pŭnchŭriean dan shak yang mŭlawan akan pŭngajaran yang tŭlah kamu blajar itu; maka undorlah deripada marika itu. Kŭrna sagala orang yang dŭmkian itu bukannya bŭrkhadam kapada Isa Almasih Tuhan kita, mŭlainkan kapada protnya sŭndiri; dan dŭngan pŭrkataan yang baik dan tutoran manis iya handak mŭnipu akan hati orang orang yang bŭtol. Kŭrna kŭbaktian kamu tulah tŭrmashorlah kapada sagala orang, maka aku pun bŭrgŭmarlah ulih sŭbab kŭrna kamu; akan tŭtapi kukahandaki supaya kamu bŭrbudi dalam pŭrkara yang baik, dan bodoh dalam pŭrkara yang jahat. Adapun Allah pohon slamat itu akan mŭmijakkan shietan itu dibawah kakimu dŭngan sŭgranya. Maka biarlah kiranya anugrah Tuhan Isa Almasih itu bŭsŭrta dŭngan kamu: Amin. Adapun Timothius taulan dalam pŭkŭrjaanku itu, dan Lukius, dan Jason, dan Sosipater, sanakku, ampunya sŭlam kapada kamu. Adapun aku ini Tertius, yang tŭlah mŭnyurat surat ini, ampunya sŭlam kapada kamu dŭngan nama Tuhan. Adapun Gaius yang tŭlah mŭnumpangkan aku, sŭrta sagala sidang jŭmaah ampunya sŭlam kapada kamu. Dan lagi Erastus bandahari nŭgri, sŭrta pula saudara Quartus itu ampunya sŭlam kapada kamu. Maka adalah kiranya anugrah Tuhan kami Isa Almasih bŭsŭrta dŭngan kamu skalian: Amin. Arkian skarang pun pujilah akan Allah yang bŭrkwasa akan mŭnŭtapkan kamu mŭnurot Injilku dan pŭngajaran Isa Almasih, iya itu mŭnurot kŭnyataan rahsia yang tŭrsŭmbunyi deripada pŭrmumulaan dunia. Tŭtapi iya itu skarang tŭlah dinyatakan, dan dikhabarkan ulih sagala surat nabi nabi, kapada sagala bangsa akan mŭmbawa marika itu kapada kŭbaktian iman, mŭnurot fŭrman Allah yang baka. Bagie Allah juga hikmat, adalah kiranya kamuliaan dŭngan bŭrkat Isa Almasih sampie slama lamanya: Amin. ¶ Tŭrmaktub surat ini dalam nŭgri Korinthus, dikirimkan kapada orang Rom ulih Phebe yang bŭrkhadam kapada sidang jŭmaah diKenkria.

ROMA 16:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku amanahkan kepadamu Febe, saudari kita, seorang yang mengabdikan diri kepada jemaah di Kengkrea, supaya kamu menyambutnya dalam Tuhan sebagaimana yang wajar di antara orang salih, serta membantunya apabila dia memerlukan pertolonganmu, kerana dia telah menolong ramai orang, termasuklah aku. Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakan seperjuanganku dalam Kristus Yesus. Mereka telah bergadai nyawa untukku. Bukan aku sahaja yang terhutang budi kepada mereka, malah seluruh jemaah daripada bangsa-bangsa lain. Salam kepada jemaah yang berhimpun di rumah mereka. Salam kepada Epenetus, saudara yang kukasihi, orang yang pertama beriman kepada Kristus di Asia. Salam kepada Maria, yang telah bertungkus-lumus untukmu. Salam kepada Andronikus dan Yunias, saudara-saudara sebangsaku dan teman-temanku di dalam penjara. Mereka ialah orang terkemuka di antara para rasul, dan yang telah menerima Kristus sebelumku. Salam kepada Ampliatus yang kukasihi dalam Tuhan. Salam kepada Urbanus, rakan seperjuangan kamu dalam Kristus, dan juga kepada Stakhis yang kukasihi. Salam kepada Apeles, yang diperkenan dalam Kristus. Salam kepada Aristobulus dan seisi rumahnya. Salam kepada Herodion, saudara sebangsaku. Salam kepada Narkisus sekeluarga, yang hidup dalam Tuhan. Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa, yang telah berpenat lelah dalam Tuhan. Salam kepada Persis yang kukasihi, yang juga telah bertungkus-lumus dalam Tuhan. Salam kepada Rufus, hamba yang terpilih dalam Tuhan, dan kepada ibunya, yang telah menjadi ibu juga kepadaku. Salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas dan saudara-saudara yang bersama mereka. Salam kepada Filologus dan Yulia, Nereus dan saudara perempuannya Olimpas, serta semua orang salih yang bersama mereka. Bersalam-salamanlah dengan ciuman suci. Jemaah-jemaah Kristus berkirim salam kepadamu. Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah kamu terima. Berpalinglah daripada mereka. Orang demikian bukanlah hamba Tuhan Kristus tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka memperdaya hati orang yang lurus dengan kata-kata yang manis. Semua orang telah mengetahui ketaatanmu. Oleh itu, aku bergembira tentangmu. Aku mahu kamu bijak dalam kebaikan serta bersih daripada kejahatan. Allah, sumber kesejahteraan, akan segera membuat Iblis hancur di bawah kakimu. Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua. Timotius, rakan seperjuanganku, berkirim salam kepadamu; begitu juga Lukius, Yason dan Sosipater, kawan-kawan sebangsaku. Aku, Tertius, yang menulis surat ini, juga berkirim salam kepadamu dalam Tuhan. Gayus, yang memberiku tempat menumpang serta semua jemaah yang berhimpun di rumahnya, berkirim salam kepadamu. Salam juga daripada Erastus, bendahara kota, dan Kuartus, saudara kita. Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua. Sekarang, kepada Dia yang berkuasa meneguhkan kamu menurut Injil yang kusampaikan dan perkhabaran tentang Yesus Kristus, menurut pernyataan rahsia yang tersembunyi sejak permulaan dunia tetapi kini telah dinyatakan, dan melalui nubuat-nubuat dalam Kitab Suci telah disampaikan kepada semua bangsa, menurut perintah Allah yang kekal, supaya mereka dibawa mentaati iman; kepada Allah sahaja, yang penuh bijaksana, segala kemuliaan melalui Yesus Kristus selama-lamanya. Amin.