ROMA 15:14-33

ROMA 15:14-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku! Aku yakin bahawa kamu sangat baik, dan kamu mengetahui segala sesuatu yang patut kamu lakukan. Kamu juga dapat saling menasihati. Tetapi dalam suratku ini aku menulis dengan terus terang untuk mengingatkan kamu tentang beberapa buah perkara. Aku menulis dengan tegas, kerana Allah sudah mengurniai aku tugas khas. Aku dijadikan hamba Kristus Yesus untuk menolong orang bukan Yahudi. Aku melakukan tugas seorang imam sewaktu aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah, supaya orang bukan Yahudi menjadi sebagai suatu persembahan yang menyenangkan hati Allah, dan yang ditahbiskan kepada-Nya oleh Roh Allah. Kerana aku bersatu dengan Kristus Yesus, aku berbangga dengan kerjaku untuk Allah. Aku akan berani berkata-kata dan hanya tentang apa yang sudah dilakukan oleh Kristus melalui aku, supaya orang bukan Yahudi taat kepada Allah. Hal itu dilakukan dengan kata-kata dan perbuatan, dengan keajaiban dan mukjizat, serta dengan kuasa Roh Allah. Aku sudah mengisytiharkan keseluruhan Berita Baik tentang Kristus, dalam perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum. Aku berazam mengisytiharkan Berita Baik di tempat orang yang belum pernah mendengar tentang Kristus, supaya aku tidak membina kerja di atas asas yang diletakkan oleh orang lain. Di dalam Alkitab tertulis, “Mereka yang belum pernah menerima berita tentang Dia akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.” Itulah sebabnya banyak kali aku terhalang melawat kamu. Tetapi sekarang kerjaku di daerah-daerah ini sudah selesai. Sudah bertahun-tahun lamanya aku ingin berjumpa dengan kamu. Dalam perjalananku ke negeri Sepanyol, aku akan singgah di kota kamu. Selepas beberapa lama bergembira dengan kamu, aku berharap kamu dapat menolong aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol. Tetapi sekarang ini aku akan pergi ke Yerusalem untuk membawa bantuan bagi umat Allah di situ. Jemaah di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita membuat keputusan untuk memberikan derma kepada saudara-saudara yang miskin di kalangan umat Allah di Yerusalem. Mereka sendiri membuat keputusan itu. Memang sebenarnya mereka patut menolong saudara-saudara yang miskin itu, kerana orang bukan Yahudi sudah menerima berkat rohani daripada orang Yahudi. Dengan demikian orang bukan Yahudi patut menolong orang Yahudi dengan berkat kebendaan. Apabila aku menyelesaikan tugas itu, dan menyerahkan semua wang derma itu kepada mereka, aku akan berangkat ke negeri Sepanyol dan akan melawat kamu dalam perjalanan ke sana. Apabila aku datang kepada kamu, aku akan berkongsi berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus dengan kamu. Demi Tuhan kita Yesus Kristus, dan demi kasih yang dikurniakan oleh Roh Allah, aku menggesa kamu supaya berdoa dengan tekun kepada Allah bersama-sama aku untukku. Berdoalah supaya orang di Yudea yang tidak percaya kepada Yesus Kristus tidak mencederakan aku, dan supaya umat Allah di Yerusalem senang hati dengan apa yang aku lakukan untuk menolong mereka. Kemudian jika diperkenankan Allah, aku akan datang kepada kamu dengan penuh kegembiraan, dan lawatan itu akan menggembirakan dan menyegarkan aku. Semoga Allah, sumber kedamaian kita, menyertai kamu semua. Amin.

ROMA 15:14-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bahwa aku sŭndiri pun yakinlah juga akan kamu hie saudara saudaraku, bahwa kamu pun adalah pŭnoh dŭngan kŭbajikan, sŭrta dipŭnohi pula dŭngan sagala pŭngŭtahuan, dan dapat pula mŭmbri nasihat sa’orang akan sa’orang. Kŭndatilah hie saudara saudaraku, bahwa dŭngan brani juga aku mŭngirimkan surat ini dŭngan suatu macham pula kapada kamu, supaya aku mŭngingatkan kamu, ulih sŭbab anugrah yang dikurniakan Allah kapadaku, Supaya haruslah aku mŭnjadi surohan Isa Almasih kapada orang orang sŭsat, iya itu akan mŭmashorkan Injil Allah, supaya kŭlak orang orang sŭsat itu mŭnjadi pŭrsŭmbahan yang dipŭrkŭnankan, kŭrna iya itu tŭlah disuchikan ulih Roh Alkudos. Maka sŭbab itulah mŭnjadi suatu sŭbab, supaya bulih aku mŭmŭgahkan diriku dŭngan bŭrkat Isa Almasih dalam sagala pŭrkara, mŭnuju jalan Allah. Bahwa tiadalah aku brani bŭrkata kata deripada pŭrkara pŭrkara yang tiada dilakukan Almasih ulih aku, akan mŭnjadikan orang sŭsat itu mŭnurot dŭngan pŭrkataan dan pŭrbuatan. Dŭngan tandah yang amat kwasa, dan ajaib ulih kudrat Roh Allah, hingga Jerusalem bŭrkliling sampie kapada Illirikum, bahwa aku sudah mŭmbri tahu Injil Allah dŭngan sampornanya. Bahkan, dŭmkianlah aku tŭlah mŭngusahakan diriku mŭmbri tahu Injil, bukannya ditŭmpat yang nama Almasih tŭlah dikŭtahui orang, asal jangan aku mŭmbangunkan rumah diatas kaki tembok orang lain: Mŭlainkan spŭrti tŭlah tŭrsurat, Bahwa kapada orang yang bŭlom dikatakan akan halnya, maka marika itu kŭlak akan mŭlihat, dan orang yang bŭlom mŭnŭngar itu pun kŭlak akan mŭngarti. Maka deri sŭbab itulah juga aku pun tŭlah kŭna banyak sangkotan handak datang kapada kamu. Tŭtapi skarang aku tiada lagi bŭrtŭmpat disŭblah sini, tŭtapi banyaklah hajatku bŭbrapa tahun lamanya yang handak mŭndapatkan kamu. Maka bila bila aku pŭrgi kanŭgri Ispaniol, aku nanti singgah kapadamu, kŭrna haraplah aku handak bŭrtŭmu dŭngan kamu dalam pŭrjalananku ini, supaya dapat kamu mŭnghantarkan aku kŭsana, jika puaslah sudah aku mula mula bŭrkampong kampong dŭngan kamu. Tŭtapi skarang ini aku handak pŭrgi kaJerusalem, bŭrkhadam kapada orang orang salih. Kŭrna tŭlah mŭnjadi kasukaan pada orang orang Makadonia, dan orang orang Akia handak mŭnghimpunkan wang, ulih sŭbab sagala orang orang salih yang ada mŭskin diJerusalem. Sŭsungguhnya mŭnjadi kasukaanlah pada marika itu, kŭrna marika itu ada bŭrhutang kapadanya; maka jikalau kiranya orang sŭsat pun mŭndapat bahgian bŭrsama sama derihal pŭrkara akhirat, maka patutlah marika itu pun mŭnulong akan dia dŭngan pŭrkara dunia. Maka sŭtlah sudah aku mŭnŭntukan ini, dan kusimpulkan kapada marika itu buah ini, maka aku kŭlak akan singgah kapadamu mŭnuju kaIspaniol. Maka tŭtaplah sudah padaku apabila aku datang kapadamu kŭlak, nŭschaya aku datang dŭngan sŭpŭnoh pŭnoh bŭrkat Injil Almasih. Maka skarang pun aku pinta kapada kamu saudara saudara, dŭmi bŭrkat Isa Almasih Tuhan kita, dan dŭmi pŭngasihan Roh, supaya kamu bŭrusahakan bŭrsama sama dŭngan aku mŭmintakan doa akan daku kapada Allah: Supaya bulih tŭrlŭpaslah aku deripada orang orang yang tiada pŭrchaya dalam tanah Yahuda, dan supaya pŭkŭrjaan yang ada padaku diJerusalem itu pun bulih ditrima kŭlak ulih orang orang salih itu. Insha Allah supaya aku datang dŭngan kagŭmaran kapada kamu, dan supaya bulihlah sŭgar aku bŭrsama sama dŭngan kamu. Maka skarang pun biarlah kiranya Allah pohon slamat itu bŭsŭrta dŭngan kamu skalian: Amin.

ROMA 15:14-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sekarang aku yakin tentangmu, saudara-saudaraku, bahawa kamu juga penuh dengan kebaikan dan pengetahuan serta dapat saling menasihati. Namun begitu, saudara-saudaraku, aku telah menulis kepadamu dengan lebih tegas tentang hal-hal tertentu kerana kasih kurnia yang telah dirahmati Allah kepadaku, untuk menjadikan aku hamba Kristus Yesus bagi bangsa-bangsa lain dalam pelayanan pemberitaan Injil Allah, supaya persembahan bangsa-bangsa lain itu diterima Allah disucikan oleh Roh Kudus. Dengan demikian aku dapat berbangga dalam Kristus Yesus tentang hal-hal berkaitan Allah. Aku tidak akan berani bercakap tentang sesuatu selain yang telah dilakukan oleh Kristus melaluiku, dengan kata-kata dan perbuatan, untuk menjadikan bangsa-bangsa lain itu taat, dalam bentuk tanda dan keajaiban besar, dengan kuasa Roh Allah. Dari Yerusalem dan sekitarnya sampai ke Ilirikum aku telah mengkhabarkan Injil Kristus dengan sepenuhnya. Aku ingin mengkhabarkan Injil ini ke tempat-tempat nama Kristus belum disebut orang. Dengan demikian aku tidak membina di atas tapak yang telah diletakkan oleh orang lain. Sebagaimana yang telah tersurat: “Mereka yang belum pernah mendapat khabar tentang-Nya akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.” Itulah sebabnya selalu sahaja tergendala hasratku hendak mengunjungimu. Namun sekarang, kerana tiada lagi tempat bagiku di sini, dan sudah bertahun-tahun aku ingin melawatmu, aku berharap dapat singgah di tempatmu ketika aku ke Sepanyol dan dapat bertemu denganmu. Aku juga berharap kamu akan membantuku meneruskan perjalanan ke sana setelah sejenak aku bergembira bersamamu. Tetapi kini aku sedang dalam perjalanan ke Yerusalem untuk membawakan bantuan kepada orang salih. Orang Makedonia dan Akhaya telah membuat keputusan turut membantu orang salih yang miskin di Yerusalem. Ini dilakukan mereka dengan rela hati, malah mereka menganggapnya suatu kewajipan; kerana jika bangsa-bangsa lain telah mendapat bahagian bersama orang Yahudi dalam hal-hal rohani, maka seharusnyalah mereka berbakti kepada orang Yahudi dalam hal-hal lahiriah. Setelah menjalankan tugas ini dan menyerahkan apa yang telah dikumpulkan, aku akan belayar ke Sepanyol dan singgah di tempatmu. Aku yakin bahawa apabila ke tempatmu, aku akan datang dengan berkat Kristus yang melimpah. Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, demi Tuhan Yesus Kristus dan demi kasih daripada Roh Kudus, berdoalah bersungguh-sungguh bersamaku kepada Allah bagi diriku, supaya aku terhindar daripada orang yang tidak beriman di Yudea dan supaya bantuan yang kubawakan ke Yerusalem ini disambut baik oleh orang salih di situ; supaya dengan izin Allah aku sampai di tempatmu dengan gembira dan dapat berehat bersamamu. Semoga Allah, sumber kesejahteraan, menyertai kamu semua. Amin.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami