ROMA 11:11-21
ROMA 11:11-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku bertanya lagi: Ketika orang Yahudi tersandung, adakah hal ini berlaku supaya mereka jatuh dan tidak bangkit lagi? Sekali-kali tidak! Kerana mereka berdosa, orang bukan Yahudi diselamatkan, supaya orang Yahudi iri hati terhadap mereka. Kerana orang Yahudi berdosa, dunia mendapat berkat yang berlimpah-limpah, dan kerana kemiskinan rohani orang Yahudi, orang bukan Yahudi mendapat berkat yang berlimpah-limpah. Jika demikian halnya, lebih besar lagi berkat yang akan dikurniakan oleh Allah, apabila semua orang Yahudi diselamatkan! Sekarang aku berkata-kata kepada kamu, orang bukan Yahudi. Selama aku menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi, aku bangga dengan tugasku itu. Aku berharap dapat membuat bangsaku iri hati, dan kerana apa yang aku lakukan, Allah akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka. Kerana semasa mereka ditolak oleh Allah, orang bangsa lain di dunia dijadikan sahabat Allah. Apakah yang akan berlaku, apabila mereka diterima oleh Allah? Keadaannya tentu seperti orang mati hidup semula! Jika kepingan pertama daripada sebuku roti diberikan kepada Allah, seluruh roti itu menjadi milik Allah. Jika akar pokok dipersembahkan kepada Allah, cabang-cabang pokok itu pun milik-Nya. Beberapa cabang pokok zaitun yang dipelihara sudah dikerat, lalu di situ dicantum sebatang cabang pokok zaitun liar untuk menikmati segala yang baik daripada pokok zaitun itu. Kamu orang bukan Yahudi seperti cabang pokok zaitun liar itu. Kamu dicantum di situ untuk menikmati berkat-berkat daripada orang Yahudi. Oleh itu janganlah kamu hina mereka yang sudah dikerat seperti cabang-cabang itu. Janganlah menjadi sombong! Kamu hanya cabang; cabang tidak memberikan khasiat kepada akar, sebaliknya akar yang memberikan khasiat kepada cabang. Tetapi kamu akan berkata, “Tidakkah cabang-cabang itu dikerat supaya kami dapat dicantum?” Memang betul. Mereka dikerat kerana mereka tidak beriman, tetapi kamu tetap di situ kerana kamu beriman. Janganlah hal itu menyebabkan kamu sombong, tetapi takutlah. Jika orang Yahudi yang seperti cabang-cabang asli, dibenarkan oleh Allah untuk tumbuh terus pada pokok itu, tentu hal yang sama boleh dilakukan-Nya kepada kamu.
ROMA 11:11-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Baiklah aku kata, Sudahkah marika itu tŭrantok, supaya iya jatoh? Dijauhkan Allah: mŭlainkan dŭngan kŭjatohan marika itulah, maka slamat tŭlah datang kapada orang sŭsat, sŭbab mŭmbangkitkan chŭmbruan bagie orang Israil. Jikalau kiranya kŭjatohan marika itu mŭnjadi kŭkayaan bagie dunia, dan jikalau kŭkorangan marika itu mŭnjadi kŭkayaan bagie orang sŭsat, maka istimewa pula banyaknya. Kŭrna aku bŭrkata padamu hie sagala orang sŭsat, slagi aku mŭnjadi rasol bagie orang sŭsat, maka aku mŭmbŭsarkan jawatanku. Kalau kalau dŭngan sŭbulih bulihnya aku handak mŭmbangkitkan bŭrahi akan marika itu yang sa’daging darahku, supaya bulih mŭmliharakan sŭtŭngah marika itu. Kŭrna jikalau tŭrbuang marika itu mŭnjadi pŭrdamiean bagie orang dunia, maka apakah kŭlak jadi kalau disambut akan dia, mŭlainkan hidop deripada mati? Kŭrna jikalau buah bungaran itu suchi adanya, maka sŭgŭnap isinya pun suchilah; dan jikalau akar itu suchi, maka chabang chabang itu pun suchilah adanya. Kŭrna jikalau barang chabang chabangnya itu dipatahkan, dan angkau yang sa’pohon zieton hutan digŭmbari diantara marika itu, dan angkau pun bŭruntok bŭrsama sama deripada akar dan gŭmoknya zieton itu, Janganlah angkau mŭmŭgahkan dirimu mŭlawan chabang chabang itu; maka jikalau angkau mŭmŭgahkan, maka bukannya angkau yang mŭnanggong akar itu, mŭlainkan akar juga yang mŭnanggong akan dikau. Angkau nanti bŭrkata kŭlak, Bahwa chabang chabang itu tŭlah dipatahkan, supaya aku akan digŭmbari kapadanya. Baiklah, ulih sŭbab marika itu tiada bŭriman dipatahkan, maka angkau bŭrdiri dŭngan iman, janganlah hatimu bŭsar, mŭlainkan takotlah. Kŭrna jikalau tiada disayangi Allah akan chabang chabang asalnya itu, ingatlah baik baik, maka angkau pun kŭlak tiada disayanginya.
ROMA 11:11-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, aku bertanya, “Adakah mereka tersandung dan tidak dapat bangun semula?” Sama sekali tidak! Sebaliknya, kerana pelanggaran yang dilakukan oleh mereka, penyelamatan telah datang kepada bangsa-bangsa lain untuk membuat Israel iri hati. Tetapi jika pelanggaran Israel bermakna kekayaan bagi dunia, dan kerugian mereka bermakna kekayaan bagi orang bukan orang Israel, betapa bergandanya lagi kekayaan yang akan dibawa oleh ketaatan mereka! Sekarang aku berkata kepadamu, wahai bangsa asing: Oleh sebab aku ini rasul kepada orang bukan orang Israel, aku membesarkan pelayananku dengan harapan dapat menimbulkan iri hati bangsaku sendiri dan menyelamatkan sesetengah mereka. Jika penyingkiran mereka mendatangkan perdamaian bagi seisi dunia, lebih-lebih lagilah kalau mereka diterima semula oleh Allah! Bukankah hal ini seperti hidup kembali selepas mati? Sekiranya gumpalan pertama suci, maka sucilah seluruh adunan. Jika suci akar pokok, maka demikian jugalah cabang-cabangnya. Andainya beberapa cabang itu dipatahkan dan kamu, walaupun pucuk zaitun liar, dicantumkan lalu berkongsi akar dengan pokok zaitun yang subur itu, janganlah bercakap besar kepada cabang-cabang lain. Kalau kamu bermegah juga, ingatlah bahawa bukan kamu yang menyokong akar tetapi akar yang menyokong kamu. Ketika itu kamu akan berkata: “Cabang-cabang itu dipatahkan supaya aku dapat dicantumkan.” Memang benar. Oleh sebab tidak beriman, cabang-cabang itu dipatahkan, dan kamu dapat berada di situ kerana iman! Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah. Kerana jika Allah tidak mengampuni cabang-cabang tabii itu, Dia tidak akan mengampunimu juga.