Roma 11:11-21

Roma 11:11-21 AVB

Oleh itu, aku bertanya, “Adakah mereka tersandung dan tidak dapat bangun semula?” Sama sekali tidak! Sebaliknya, kerana pelanggaran yang dilakukan oleh mereka, penyelamatan telah datang kepada bangsa-bangsa lain untuk membuat Israel iri hati. Tetapi jika pelanggaran Israel bermakna kekayaan bagi dunia, dan kerugian mereka bermakna kekayaan bagi orang bukan orang Israel, betapa bergandanya lagi kekayaan yang akan dibawa oleh ketaatan mereka! Sekarang aku berkata kepadamu, wahai bangsa asing: Oleh sebab aku ini rasul kepada orang bukan orang Israel, aku membesarkan pelayananku dengan harapan dapat menimbulkan iri hati bangsaku sendiri dan menyelamatkan sesetengah mereka. Jika penyingkiran mereka mendatangkan perdamaian bagi seisi dunia, lebih-lebih lagilah kalau mereka diterima semula oleh Allah! Bukankah hal ini seperti hidup kembali selepas mati? Sekiranya gumpalan pertama suci, maka sucilah seluruh adunan. Jika suci akar pokok, maka demikian jugalah cabang-cabangnya. Andainya beberapa cabang itu dipatahkan dan kamu, walaupun pucuk zaitun liar, dicantumkan lalu berkongsi akar dengan pokok zaitun yang subur itu, janganlah bercakap besar kepada cabang-cabang lain. Kalau kamu bermegah juga, ingatlah bahawa bukan kamu yang menyokong akar tetapi akar yang menyokong kamu. Ketika itu kamu akan berkata: “Cabang-cabang itu dipatahkan supaya aku dapat dicantumkan.” Memang benar. Oleh sebab tidak beriman, cabang-cabang itu dipatahkan, dan kamu dapat berada di situ kerana iman! Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah. Kerana jika Allah tidak mengampuni cabang-cabang tabii itu, Dia tidak akan mengampunimu juga.