ROMA 1:18-32

ROMA 1:18-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Dari syurga Allah menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap segala dosa dan kejahatan manusia, kerana kejahatan menghalangi manusia untuk mengetahui ajaran benar tentang Allah. Allah menghukum manusia, kerana apa yang dapat diketahui orang tentang Allah sudah jelas, oleh sebab Allah sendiri sudah menyatakannya. Sejak Allah menciptakan dunia, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri. Mereka mengenal Allah, tetapi mereka tidak menghormati Dia sebagai Allah. Mereka tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan perkara yang bukan-bukan, dan fikiran mereka dipenuhi kegelapan. Mereka mengaku bijak, padahal mereka bodoh. Mereka tidak menyembah Allah yang abadi, melainkan menyembah patung yang dibuat menurut rupa manusia yang fana, atau burung, atau binatang berkaki empat, ataupun binatang yang menjalar. Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka dikuasai oleh keinginan hati untuk melakukan perkara yang hina dan keji. Mereka melakukan hal-hal yang memalukan terhadap satu sama lain. Mereka menukar ajaran benar daripada Allah dengan dusta. Mereka lebih suka menyembah dan mentaati apa yang diciptakan oleh Allah, daripada menyembah dan mentaati Allah yang menciptakan semuanya. Dialah yang seharusnya dipuji selama-lamanya! Amin. Kerana manusia berbuat demikian, Allah menyerahkan mereka kepada hawa nafsu yang keji. Wanita melakukan hubungan jenis dengan sesama wanita, dan hal itu tidak sepatutnya dilakukan. Begitu juga halnya dengan lelaki; mereka tidak lagi melakukan hubungan jenis dengan wanita, melainkan berahi terhadap sesama lelaki. Lelaki melakukan hubungan jenis dengan sesama lelaki, dan hal itu memalukan. Oleh itu mereka menerima hukuman yang setimpal dengan dosa mereka. Kerana manusia tidak mahu mengakui Allah, Allah membiarkan fikiran mereka menjadi rosak, sehingga mereka melakukan hal-hal yang tidak senonoh. Hati mereka penuh dengan kejahatan, kekejaman, ketamakan, kebusukan dan kedengkian, keinginan untuk membunuh, berkelahi, menipu, dan mendendam. Mereka suka mengumpat, memburukkan nama orang lain; mereka sombong dan biadab, yang membenci Allah dan bercakap besar. Mereka memikirkan cara-cara baru untuk melakukan kejahatan. Mereka melawan ibu bapa, tidak berakhlak, memungkiri janji, dan tidak berperikemanusiaan. Mereka tahu bahawa menurut hukum Allah, orang yang berbuat semua itu harus dihukum mati. Namun demikian mereka terus-menerus melakukan hal-hal itu; bahkan mereka menyetujui orang lain yang berbuat demikian.

ROMA 1:18-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna morka Allah itu tŭlah dinyatakannya deripada shorga atas sagala kŭjahatan dan kŭsalahan orang yang mŭnahankan kabŭnaran itu dŭngan kŭjahatannya. Kŭrna pŭrkara yang dapat dikŭtahui deripada Allah itu adalah tŭrnyata diantara marika itu, kŭrna sudah ditunjokkan Allah kapada marika itu. Kŭrna sagala sifat Allah yang tŭrsŭmbunyi deri kutika kŭjadian dunia itu, maka itu pun dapat dilihat ulih orang dŭngan nyatanya, sŭbab dapat dikŭtahuinya deri pŭrkara yang dijadikannya, iya itu kudrat, dan kŭtuhanan Allah yang kŭkal; maka sŭbab itu marika itu tiada bulih mŭndatangkan uzur lagi. Kŭrna apabila dikŭtahui ulih marika itu, bahwa ada Allah, maka tiada juga marika itu mŭmuliakan dia spŭrti Allah, dan tiada juga marika itu mŭmbri shukor, mŭlainkan iya jadi bŭbal dŭngan sangka sangkanya, dan hatinya yang bodoh itu pun digŭlapkannyalah. Maka marika itu mŭngaku dirinya pandie, tŭtapi dialah yang bodoh adanya. Maka diubahkannya kŭmuliaan Allah yang tiada bŭrhingga itu kapada suatu bŭrhala yang dibuatnya rupa manusia yang binasa, dan lagi rupa burong burong, dan binatang binatang yang bŭrkaki ampat, dan yang mŭnjalar. Maka sŭbab dŭmkianlah dibiarkan Allah marika itu didalam kotor dŭngan mŭnurot hawa nafsunya sŭndiri, akan mŭmbri malu kapada tubohnya sŭndiri diantara marika itu. Adapun marika itu mŭngubahkan kabŭnaran Allah itu kapada bohong, dan iya mŭmbri hormat, dan bŭrbuat bakti kapada makhlok tŭrlebih deri pada mŭmbri hormat kapada khalik yang mŭmpunyai bŭrkat sampie slama lamanya: Amin. Maka sŭbab itulah tŭlah disŭrahkan Allah akan marika itu kapada sagala nafsu yang hina, kŭrna pŭrampuannya pun tŭlah mŭngubahkan tabiatnya yang patut itu kapada yang tiada patut. Dan dŭmkian lagi laki laki pun tŭlah mŭninggalkan pŭrbuatannya yang patut kapada pŭrampuan itu, maka bŭrhangatlah nafsunya sa’orang kapada sa’orang, iya itu laki laki dŭngan laki laki mŭlakukan pŭrkara yang hina, sampie ditrima ulih marka itu pŭmbalasan yang patut sŭbab kŭsalahannya itu. Maka kŭrna marika itu tiada mahu ingat akan Allah dalam pŭngŭtahuannya, maka dibiarkan Allah marika itu dalam akal yang jahat, sahingga dipŭrbuatnyalah sagala pŭrkara yang tiada bŭrpatutan. Sampie pŭnohlah marika itu dŭngan sagala pŭrkara yang tiada bŭnar, zinah, kŭjahatan, tamaa, bŭrbŭnchi bŭnchian; maka pŭnohlah iya dŭngan dŭngki, dan bŭrbunoh bunohan, bŭrbantah bantahan, tipu, khianat, bawa mulot: Pŭngumpat, mŭmbŭnchi akan Allah, pŭmaki, chongkak, mŭmŭgahkan dirinya, mŭmbuat akal, tiada mŭnurot ibu bapanya; Tiada bŭrbudi, tiada mŭmŭnohkan janjinya, tiada bŭrkasih kasihan, mŭnaroh dŭndam, dan tiada bŭrsayang sayangan. Maka marika itu yang mŭngtahui akan hukum Allah, kalau orang yang bŭrbuat pŭrkara yang dŭmkian itu patutlah mati; maka bukannya iya sahja bŭrbuat pŭrkara itu, mŭlainkan iya suka pula orang lain bŭrbuat dŭmbian pun.

ROMA 1:18-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemurkaan Allah ternyata dari syurga terhadap segala kefasiqan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia, yang menyembunyikan kebenaran dengan kedurjanaan, kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka. Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, semuanya jelas ternyata serta difahami melalui segala ciptaan-Nya. Oleh itu, mereka tidak dapat berdalih lagi. Walaupun mereka telah mengenal Allah, mereka tidak memuliakan-Nya sebagai Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan yang sia-sia dan hati mereka yang tolol diliputi kegelapan. Mereka mengaku diri bijaksana, tetapi sebenarnya mereka tolol. Mereka berpaling daripada kemuliaan Allah yang kekal abadi lalu menyembah patung-patung yang diperbuat seperti bentuk manusia yang fana, burung, haiwan berkaki empat dan binatang yang menjalar. Oleh itu, Allah membiarkan mereka menurut keinginan hati mereka melakukan pelbagai noda, maka mereka mencemari tubuh sesama sendiri. Mereka merangkul yang palsu dan berpaling daripada kebenaran Allah serta memuja dan menyembah makhluk ciptaan dan bukan Pencipta yang patut dipuji selama-lamanya. Amin. Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka didorong hawa nafsu yang keji. Kaum wanita mereka pun berpaling daripada yang tabii kepada yang di luar tabii. Demikian juga kaum lelaki. Mereka berpaling daripada hubungan tabii dengan wanita dan dibakar nafsu keberahian terhadap sama sejenis. Lelaki dengan lelaki melakukan perkara yang aib, lalu menerima dalam diri mereka hukuman yang setimpal. Oleh sebab mereka enggan mengenal Allah, maka Allah membiarkan mereka dikuasai fikiran yang hina, sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang tidak wajar. Mereka dipenuhi segala kemungkaran, kedurjanaan, ketamakan dan kecabulan. Mereka diselubungi hasad dengki, pembunuhan, persengketaan, penipuan dan niat durjana. Mereka pengumpat, penyebar fitnah, pembenci Allah, biadab, angkuh, bercakap besar, pereka perkara durjana, ingkar kepada ibu bapa, tidak tahu membezakan buruk dan baik, tidak boleh dipercayai, tidak mengasihi, tidak berhati perut, tidak mempunyai belas kasihan. Mereka mengetahui hukum Allah yang adil, iaitu sesiapa yang melakukan perkara demikian wajar dihukum mati. Namun demikian, mereka bukan sahaja melakukannya malah juga menyokong orang lain yang mengamalkannya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami