ROMA 1:1-15

ROMA 1:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Surat ini daripada Paulus, hamba Kristus Yesus, dan rasul yang dipilih serta dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Berita Baik itu telah dijanjikan oleh Allah sejak dahulu kala melalui nabi-nabi-Nya, dan janji itu tertulis di dalam Alkitab. Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud, tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian. Melalui Dia, Allah sudah menganugerahi aku tugas istimewa untuk menjadi seorang rasul, supaya aku dapat mengabdikan diri kepada Kristus dengan memimpin orang daripada semua bangsa agar percaya dan taat kepada-Nya. Kamu yang tinggal di Roma juga termasuk dalam golongan mereka, kerana kamu pun sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi milik Yesus Kristus. Oleh itu aku menulis surat ini kepada kamu semua di Roma yang dikasihi oleh Allah, dan yang sudah dipanggil oleh-Nya untuk menjadi umat-Nya. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Mula-mula sekali, aku bersyukur kepada Allah melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana seluruh dunia mendengar bahawa kamu percaya kepada Yesus. Aku sentiasa mengingat kamu, setiap kali aku berdoa. Allah saksiku bahawa apa yang aku katakan itu benar. Dialah Allah yang aku taati dengan sepenuh hati dalam hal mengisytiharkan Berita Baik tentang Anak-Nya. Aku berdoa supaya Allah mengizinkan aku melawat kamu. Aku sangat ingin berjumpa dengan kamu, supaya aku dapat berkongsi berkat daripada Roh Allah dengan kamu, untuk menguatkan kamu. Maksudku adalah supaya kepercayaanku kepada Yesus boleh menguatkan kamu, dan kepercayaan kamu kepada Yesus boleh menguatkan aku. Saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa sudah banyak kali aku bercadang hendak melawat kamu, tetapi selalu ada sahaja halangannya. Aku ingin supaya pelayananku di kalangan kamu berhasil, seperti pelayananku di kalangan orang bukan Yahudi di tempat lain. Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma.

ROMA 1:1-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA Paulus sa’orang hamba Isa Almasih yang tŭlah ditŭntukan mŭnjadi rasol, akan dipileh kŭrna Injil Allah. Yang tŭlah dijanjikannya dahulu dŭngan mulot nabi nabinya dalam kitab kitab yang suchi Akan hal Anaknya, iya itu Isa Almasih Tuhan kami, yang sudah dijadikan deripada bŭnih Daud sŭkŭdar ka’adaan manusia. Yang ditŭntukannya iyalah Anak Allah dŭngan kawasa sŭkŭdar Roh Alkudos, ulih sŭbab kŭbangkitan deripada matinya. Maka deripadanyalah kami tŭlah pŭrulih anugrah, dan pangkat rasol, akan mŭnjadikan sagala bangsa manusia pŭrchaya, sŭrta bŭrbakti ulih kŭrna namanya. Maka diantara marika itu kamulah yang tŭlah dipileh ulih Isa Almasih. Adapun kapada sagala orang yang diRom yang dikasihi Allah kiranya, dan yang tŭlah dipileh akan mŭnjadi orang suchi, maka dibri kiranya nikmat dan slamat bagiemu deripada Allah, iya itu Ayah kami, dan Tuhan Isa Almasih. Adapun pŭrtama tama aku mŭnguchap shukor kapada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih akan kamu skalian, sŭbab iman kamu itu tŭlah mashorlah pada sagala alam. Bahwa Allah itulah akan mŭnjadi saksiku, dan kapadanya juga aku bŭrbakti dŭngan jiwaku dalam Injil Anaknya; bahwa dŭngan tiada bŭrkŭputosan juga aku mŭnyŭbut nama kamu slalu dalam doaku. ¶ Maka adalah aku mŭmohonkan kalau dŭngan sŭbulih bulinnya, insha Allah, supaya aku bulih pŭrgi skarang mŭndapatkan kamu skalian dŭngan sŭjahtranya. Kŭrna rindu hatiku handak bŭrtŭmu dŭngan kamu skalian, supaya bulih aku mŭmbahgikan kapada kamu pun barang anugrah Roh Alkudos, akhirnya kŭlak kamu dapat ditŭtapkannya. Iya itu supaya aku pun bulih dihiborkan bŭrsama sama dŭngan kamu ulih iman yang ada pada kadua fiak kita, iya itu kamu dan aku. Saudara saudaraku, bahwa bukannya kahandakku supaya kamu mŭnjadi bodoh; maka bŭbrapa kali chitaku handak datang kapadamu, tŭtapi sampie skarang pun aku ada tŭrsangkot akan bŭrulih buah buahan deripadamu pula, spŭrti deripada orang orang sŭsat yang lain pun. Kŭrna adalah aku ini sa’orang yang bŭrhutang, baik kapada orang orang Grika, baik kapada orang orang dagang, baik kapada orang yang bŭrakal, baik kapada orang yang tiada bŭrakal. Maka dŭngan sŭbulih bulihnya juga adalah sŭdia aku akan mŭmbri tahu Injil kapada skalian yang diRom pun.

ROMA 1:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daripada Paulus, hamba Kristus Yesus yang dipanggil untuk menjadi rasul, dan dipilih khas untuk menyebarkan Injil daripada Allah. Injil ini telah dijanjikan-Nya dahulu melalui nabi-nabi-Nya, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, iaitu tentang Anak-Nya. Sebagai manusia Dia telah dilahirkan daripada keturunan Daud, namun dengan Roh Kudus, Dia telah diisytiharkan melalui kuasa yang besar sebagai Anak Allah, iaitu dengan kebangkitan-Nya daripada kematian. Dialah Yesus Kristus, Tuhan kita. Melalui Yesus Kristus dan demi nama-Nya, kami diberi kasih kurnia dan jawatan rasul untuk menyeru manusia daripada segala suku bangsa supaya taat dalam iman kepada-Nya. Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi milik Yesus Kristus. Aku menulis kepada kamu sekalian di Roma, yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus memberimu kasih kurnia dan damai sejahtera. Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allahku melalui Yesus Kristus kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu. Allah, yang kusembah sepenuh hati dalam penyebaran Injil Anak-Nya, menjadi saksiku bahawa aku sentiasa mengingatimu dalam doaku, dan memohon semoga dengan izin Allah aku dapat mengunjungimu. Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu; maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, aku telah merancang berkali-kali untuk mengunjungimu, namun hingga kini ada sahaja aral melintang. Aku ingin agar pelayananku dalam kalanganmu membuahkan hasil, seperti dalam kalangan bangsa asing yang lain. Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyampaikan Injil dalam kalanganmu yang di Roma juga.