Roma 1:1-15

Roma 1:1-15 AVB

Daripada Paulus, hamba Kristus Yesus yang dipanggil untuk menjadi rasul, dan dipilih khas untuk menyebarkan Injil daripada Allah. Injil ini telah dijanjikan-Nya dahulu melalui nabi-nabi-Nya, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, iaitu tentang Anak-Nya. Sebagai manusia Dia telah dilahirkan daripada keturunan Daud, namun dengan Roh Kudus, Dia telah diisytiharkan melalui kuasa yang besar sebagai Anak Allah, iaitu dengan kebangkitan-Nya daripada kematian. Dialah Yesus Kristus, Tuhan kita. Melalui Yesus Kristus dan demi nama-Nya, kami diberi kasih kurnia dan jawatan rasul untuk menyeru manusia daripada segala suku bangsa supaya taat dalam iman kepada-Nya. Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi milik Yesus Kristus. Aku menulis kepada kamu sekalian di Roma, yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus memberimu kasih kurnia dan damai sejahtera. Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allahku melalui Yesus Kristus kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu. Allah, yang kusembah sepenuh hati dalam penyebaran Injil Anak-Nya, menjadi saksiku bahawa aku sentiasa mengingatimu dalam doaku, dan memohon semoga dengan izin Allah aku dapat mengunjungimu. Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu; maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, aku telah merancang berkali-kali untuk mengunjungimu, namun hingga kini ada sahaja aral melintang. Aku ingin agar pelayananku dalam kalanganmu membuahkan hasil, seperti dalam kalangan bangsa asing yang lain. Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyampaikan Injil dalam kalanganmu yang di Roma juga.