WAHYU 7:9-17

WAHYU 7:9-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah itu aku melihat lagi, lalu nampak lautan manusia yang luar biasa banyaknya. Tidak seorang pun dapat mengira mereka! Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa. Dengan berpakaian jubah putih dan dengan memegang daun palma di tangan, mereka berbaris-baris berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba itu. Mereka berseru dengan suara kuat, “Kita telah diselamatkan oleh Allah kita, yang duduk di atas takhta, dan oleh Anak Domba itu!” Semua malaikat berdiri di sekeliling takhta, para pemimpin, dan keempat-empat makhluk itu. Lalu mereka semua bersujud di hadapan takhta dan menyembah Allah. Mereka berkata, “Amin! Pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, penghormatan, kekuasaan, dan kemegahan bagi Allah kita selama-lamanya! Amin.” Salah seorang pemimpin itu bertanya kepadaku, “Siapakah mereka yang berjubah putih itu, dan dari manakah mereka datang?” “Saya tidak tahu, tetapi tuan tahu,” jawabku. Dia berkata kepadaku, “Merekalah orang yang berjaya melalui masa penganiayaan yang dahsyat itu. Mereka telah membasuh dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Domba itu. Itulah sebabnya mereka berdiri di hadapan takhta Allah, dan beribadat kepada-Nya siang malam di dalam rumah Allah. Dia yang duduk di atas takhta akan melindungi mereka dengan hadirat-Nya. Mereka tidak akan lapar ataupun dahaga lagi; matahari ataupun panas terik tidak akan membakar mereka lagi. Hal itu demikian kerana Anak Domba yang di tengah-tengah takhta itu akan menggembalakan mereka, dan Dia akan memimpin mereka ke sumber air yang memberikan hidup. Allah akan menyapu air mata mereka.”

WAHYU 7:9-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun kumdian deripada itu, maka kulihat, suatu bŭlantŭntara bŭsar, yang tiada dapat tŭrbilang, deripada sagala bangsa, dan katuronan, dan kaum, dan bahsa, ada bŭrdiri dihadapan arash itu, dan dihadapan anak Domba itu, dŭngan mŭmakie pakiean putih, sŭrta mŭmŭgang pŭlŭpa khorma ditangannya; Sŭrta bŭrsrulah marika itu dŭngan nyaring swaranya, katanya, Slamatlah kiranya bagie Allah kami yang mŭndudoki diatas arash itu, dan bagie anak Domba itu. Maka sagala mŭliekat dan orang tua tua pun, dan ampat binatang itupun bŭrdirilah bŭrkliling arash itu, lalu sujud mŭnyŭmbah Allah, Katanya, Amin: Bŭrkat, dan kamuliaan, dan hikmat, dan shukor, dan hormat, dan kwasa, dan pŭrkasa, bagie Allah kami, pada slama lamanya. Amin. Hata maka mŭnyahutlah sa’orang deripada orang tua tua itu, katanya padaku, Siapakah orang ini yang mŭmakie pakiean putih? dan deri mana datangnya? Maka jawabku kapadanya, Tuan, angkaulah tahu. Maka katanya padaku, Bahwa inilah orang orang yang tŭlah kluar deripada kasukaran yang bŭsar, dan yang tŭlah mŭmbasoh pakieannya dijadikannya putih dalam darah anak Domba itu. Maka sŭbab itulah marika itu ada dihalrat arash Allah, dan bŭribadat akan dia pada siang dan malam dalam ka’abahnya; maka orang yang dudok diatas arash itu pun akan diam bŭrsama sama marika itu. Tiadalah marika itu kŭlak akan lapar lagi, atau dahaga lagi, dan chaya matahari pun tiada mŭnimpa akan dia, atau barang panas. Kŭrna anak Domba yang ada ditŭngah arash itu akan bri makan marika itu, dan akan mŭmbawa marika itu kapada mata ayer yang hidop, dan Allah akan mŭnyapu sagala ayer mata deripada matanya.

WAHYU 7:9-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Selepas itu, aku melihat lagi. Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, daripada segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma. Mereka semua berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba. Mereka berseru dengan lantang, “Penyelamatan ada pada Allah kami yang bersemayam di atas takhta dan pada Anak Domba!” Semua malaikat berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua, lalu semuanya sujud di hadapan takhta menyembah Allah. Mereka berkata, “Amin! Segala pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, kehormatan, kuasa dan kebesaran bagi Allah kami selama-lamanya! Amin.” Salah seorang tua-tua itu bertanya kepadaku, “Siapakah yang berjubah putih itu dan dari manakah mereka itu?” “Aku tidak tahu, tetapi tuan tahu,” sahutku. Dia berkata, “Merekalah orang yang berjaya menempuh kesengsaraan yang dahsyat. Mereka telah membasuh jubah mereka menjadi putih bersih dengan darah Anak Domba. Maka sekarang, mereka berdiri di hadapan takhta Allah dan menyembah-Nya siang malam di dalam Bait Suci-Nya. Dia yang bersemayam di atas takhta akan membentangkan khemah-Nya di atas mereka. Mereka tidak akan lapar atau dahaga lagi. Terik matahari atau sesuatu yang amat panas pun tidak akan dapat membakar mereka lagi kerana Anak Domba di tengah-tengah takhta itu akan menjadi gembala mereka. Dia akan membimbing mereka ke mata air yang membawa hidup, dan Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka.”

WAHYU 7:9-17

WAHYU 7:9-17 BMWAHYU 7:9-17 BM