WAHYU 6:1-17

WAHYU 6:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai pertama daripada tujuh buah meterai itu. Lalu aku mendengar salah satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara yang mengguntur, “Mari!” Aku melihat, lalu nampak seekor kuda putih. Penunggangnya memegang sebuah busur dan dia diberikan sebuah mahkota. Dia mara sebagai seorang penakluk yang menang. Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kedua, dan aku mendengar makhluk kedua berkata, “Mari!” Seekor kuda merah keluar. Penunggangnya diberikan kuasa untuk mendatangkan peperangan di bumi, sehingga manusia saling membunuh. Dia diberikan sebilah pedang yang besar. Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai ketiga, dan aku mendengar makhluk ketiga berkata, “Mari!” Aku melihat, lalu nampak seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang sebuah dacing di tangan. Aku mendengar sesuatu yang kedengaran seperti suara dari tengah-tengah empat makhluk itu, berkata, “Satu kilogram gandum seharga upah sehari dan tiga kilogram barli seharga upah sehari juga. Tetapi jangan rosakkan pokok zaitun dan ladang anggur!” Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai keempat dan aku mendengar makhluk keempat berkata, “Mari!” Aku melihat, lalu nampak seekor kuda kuning pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengikutinya dekat di belakang. Mereka diberikan kuasa untuk membunuh seperempat penduduk bumi dengan peperangan, kebuluran, wabak, dan binatang buas. Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kelima. Di bawah mazbah aku nampak roh-roh orang yang mati terbunuh. Mereka dibunuh kerana mengisytiharkan firman Allah dengan setia melalui kesaksian mereka. Mereka berseru dengan suara lantang, “Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, yang suci dan setia! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penduduk bumi dan menghukum mereka kerana telah membunuh kami?” Setiap orang daripada mereka diberikan sehelai jubah putih. Lalu mereka disuruh berehat lebih lama lagi, sehingga cukup bilangan rakan seperjuangan dan saudara seiman yang akan dibunuh seperti mereka. Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai keenam. Lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Matahari menjadi hitam seperti kain hitam yang kasar, dan bulan menjadi merah seperti darah. Bintang-bintang jatuh dari langit ke bumi, seperti buah ara yang belum matang gugur dari pokok semasa digoncang oleh angin keras. Langit menghilang seperti gulungan naskhah yang digulung, dan semua gunung serta pulau beralih tempat. Lalu raja-raja dunia, para penguasa, dan panglima, orang kaya dan orang berkuasa serta semua orang lain, baik abdi mahupun orang bebas, menyembunyikan diri di dalam gua-gua dan di celah-celah batu di gunung. Mereka berseru kepada gunung-gunung dan batu-batu itu, “Timpalah kami dan sembunyikanlah kami daripada pandangan Dia yang duduk di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba itu! Hari yang dahsyat sudah tiba; Allah dan Anak Domba akan menghukum kami dan tidak seorang pun akan terselamat.”

WAHYU 6:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA kulihat, apabila anak Domba itu mŭnguriekan suatu deripada mutrie itu, maka aku dŭngar suatu deripada ampat binatang itu bŭrkata, sa’olah olah spŭrti bunyi halalintar, katanya, Marilah lihat. Maka hieran, kulihat sa’ekor kuda putih, maka orang yang mŭngindrai atasnya itu ada mŭmŭgang suatu busar panah, dan kapadanya tŭlah dikurniakan suatu mahkota; maka kluarlah iya dŭngan kamŭnangannya handak mŭngalahkan. Maka apabila tŭlah diuriekannya mutrie yang kadua itu, maka kudŭngar binatang yang kadua itu bŭrkata, Marilah lihat. Maka kluarlah sa’ekor kuda lain yang merah; maka dibrilah kwasa kapada orang yang mŭngindrai dia itu akan mŭngambil damie deri atas bumi, maka marika itu kŭlak bŭrbunoh bunohan sa’orang dŭngan sa’orang; maka dikurniakanlah padanya sa’bila pŭdang bŭsar. Maka apabila diuriekannya mutrie yang katiga itu, maka kudŭngar binatang yang katiga itu bŭrkata, Marilah lihat. Maka kulihat, hieran, sa’ekor kuda hitam; maka orang yang mŭngindrai akan dia itu ada sa’pasang naracha pada tangannya. Maka kudŭngar suatu swara deri antara ampat binatang itu bŭrkata, Sa’sukatan gandom harganya satu dinar, dan tiga sukatan bras bŭlanda itu harganya satu dinar; maka tengoklah, janganlah angkau rosakkan minyak dan ayer anggor itu. Maka apabila diuriekannya mutrie yang kaampat itu, maka kudŭngar swara binatang yang kaampat itu bŭrkata, marilah lihat. Maka hieran, kulihat, sa’ekor kuda puchat; dan nama orang yang mŭngindrie akan dia itu maut, dan naraka itu pun mŭngiringkan dia, maka kwasa tŭlah dikurniakan pada marika itu atas kaampat bahgian bumi, akan mŭmbunoh dŭngan pŭdang, dan dŭngan lapar, dan dŭngan maut, dan dŭngan binatang binatang dibumi. Maka apabila diuriekannya mutrie yang kalima itu, kulihat dibawah tŭmpat pŭrsŭmblihan itu nyawa orang orang yang tŭrbunoh sŭbab pŭrkataan Allah, dan sŭbab saksi yang dipautkannya: Maka bŭrsrulah marika itu dŭngan swara yang nyaring, katanya, Brapa lama lagi, Ya Tuhan, yang kudus dan bŭnar, tiadakah angkau handak mŭnghukumkan dan mŭmbalaskan darah kami atas sagala orang orang yang dudok diatas muka bumi itu? Maka dibrilah pakiean putih kapada sagala marika itu; sŭrta dikatakanlah pada marika itu, bŭrhŭntilah sŭdikit lagi, sahingga sagala tawananmu, dan saudara saudaramu itu, akan dibunoh spŭrti angkau juga, supaya gŭnaplah. Maka kulihat apabila tŭlah diuriekannya mutrie yang kaanam itu, hieran, maka adalah bumi pun bŭrgŭmpahlah kras; maka matahari pun jadilah hitam spŭrti karong bŭrbulu hitam, dan bulan pun jadilah spŭrti darah; Maka sagala bintang dilangit pun gugorlah ka’atas bumi, spŭrti pohon ara yang gugor buah mudanya, tŭtkala digonchangkan ulih angin yang kras. Shahadan langit pun bŭrchŭrie chŭrielah spŭrti surat yang bŭrgulong; maka sagala gunong dan pulau pun bŭrpindahlah deripada tŭmpatnya. Sagala raja raja dibumi, dan orang bŭsar bŭsar, dan orang kaya kaya, dan pŭnghulu pŭnghulu orang sa’ribu, dan orang pŭrkasa, dan sagala hamba hamba orang, dan sagala orang mŭrdeka, mŭnyŭmbunyikan dirinya dalam gua gua dan chŭlah chŭlah batu gunong; Sambil marika itu bŭrkata kapada gunong gunong, dan kapada batu batu, Gugorlah ka’atas kami, dan sŭmbunyikanlah kami deripada halrat orang yang dudok diatas arash itu, dan deripada morka anak Domba itu; Kŭrna hari bŭsar morkanya itu tŭlah sampie, ŭntah siapakah garangan yang dapat bŭrdiri.

WAHYU 6:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Seterusnya aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai pertama daripada ketujuh-tujuh materai itu. Lantas kudengar satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara seperti guruh, “Marilah, lihat!” Aku melihat seekor kuda putih ditunggang oleh seorang yang memegang busur panah. Dia diberi sebuah mahkota dan tampil sebagai seorang penakluk yang sedia untuk menakluk. Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kedua dan kudengar makhluk kedua berkata, “Marilah, lihat!” Seekor kuda merah pula muncul. Penunggangnya diberi kuasa untuk melenyapkan damai sejahtera daripada bumi dan menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Dia diberi sebilah pedang yang besar. Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai ketiga lalu kudengar makhluk ketiga berkata, “Marilah, lihat!” Aku melihat seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang dacing. Aku mendengar sesuatu seperti suara dari tengah-tengah makhluk berempat itu, berkata, “Secupak gandum sekeping wang dinar harganya, dan tiga cupak barli juga sekeping wang dinar harganya, tetapi minyak dan air anggur itu jangan kaurosakkan.” Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai keempat. Kudengar makhluk keempat berkata, “Mari!” Aku melihat seekor kuda berwarna pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengekorinya. Mereka diberi kuasa membunuh seperempat penghuni bumi melalui peperangan, kebuluran, wabak penyakit dan serangan binatang buas. Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kelima. Di bawah mazbah aku melihat roh-roh orang yang telah dibunuh kerana firman Allah dan kerana kesaksian yang dipegang mereka dengan setia. Mereka berseru dengan suara lantang, “Ya Tuhan yang suci dan benar! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penghuni bumi dan membalas perbuatan mereka yang telah menumpahkan darah dan meragut nyawa kami?” Setiap roh itu diberi sehelai jubah putih dan disuruh berehat sebentar lagi hingga cukup bilangan hamba sepengabdian dan orang yang menjadi saudara seiman, yang akan dibunuh seperti mereka. Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai keenam. Seketika itu terjadilah gempa bumi yang dahsyat. Matahari menjadi seperti kain hitam dan bulan merah seperti darah. Bintang-bintang gugur dari syurga ke bumi seperti buah ara luruh ditiup angin kencang. Langit lenyap tergulung seperti gulungan naskhah manakala gunung dan pulau teralih dari tempatnya. Seluruh umat manusia, baik raja-raja di dunia, pegawai, panglima, orang berharta dan berkuasa, orang bebas mahupun hamba abdi, lari bersembunyi di dalam gua dan di celah-celah batu di gunung. Mereka berseru kepada gunung dan batu itu, “Hempaplah kami! Sembunyikan kami daripada pandangan Dia yang bersemayam di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba! Hari besar yang dahsyat, hari kemurkaan mereka telah tiba. Allah dan Anak Domba akan menghukum kami. Siapa yang dapat bertahan?”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami