WAHYU 5:5-14
WAHYU 5:5-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu salah seorang pemimpin itu berkata kepadaku, “Jangan menangis! Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, keturunan agung daripada Daud, sudah menang. Dia dapat memecahkan tujuh buah meterai itu dan membuka gulungan naskhah itu.” Kemudian aku nampak seekor Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh empat makhluk dan semua pemimpin itu. Anak Domba itu nampaknya sudah disembelih. Anak Domba itu mempunyai tujuh buah tanduk dan tujuh biji mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah diutus ke seluruh dunia. Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah itu dari tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta. Sementara Anak Domba itu berbuat demikian, empat makhluk itu dan dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Anak Domba. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah mangkuk emas berisi kemenyan, iaitu doa-doa umat Allah. Mereka menyanyikan sebuah lagu baru, “Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan memecahkan meterai-meterainya, kerana Engkau telah dibunuh dan dengan kematian-Mu, manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa telah Engkau beli untuk Allah. Engkau sudah menjadikan mereka imam yang mengabdi kepada Allah kita, dan memerintah di dunia.” Lalu aku melihat lagi. Aku mendengar suara malaikat yang beribu-ribu dan berjuta-juta bilangannya! Mereka berdiri mengelilingi takhta, keempat-empat makhluk, dan para pemimpin itu. Mereka menyanyi dengan suara yang lantang, “Anak Domba yang sudah dibunuh itu layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, penghormatan, kemuliaan, dan pujian.” Lalu aku mendengar semua makhluk di syurga, di bumi, di bawah bumi, dan semua makhluk di dalam laut - pendeknya semua makhluk di alam semesta ini - menyanyi, “Kepada Dia yang duduk di atas takhta, dan kepada Anak Domba itu, kami persembahkan pujian dan penghormatan, kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya!” Keempat-empat makhluk itu menjawab, “Amin!” Para pemimpin itu pun bersujud serta menyembah Allah dan Anak Domba itu.
WAHYU 5:5-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka bŭrkata sa’orang orang tua itu padaku, Janganlah mŭnangis; maka sŭsungguhnya singa deridada suku Yahuda, iya itu akar Daud yang tŭlah mŭnang, dapat mŭmbuka kitab itu, dan mŭnguriekan tujoh mutrienya itu. Maka kulihat, hieran, ditŭngah arash itu, dan ditŭngah ampat binatang itu, dan ditŭngah orang tua tua itu, sa’ekor anak Domba tŭrdiri rupanya spŭrti tŭrsŭmblih, yang ada bŭrtandok tujoh dan bŭrmata tujoh, iya itulah tujoh Arwah Allah yang disurohkan pada sluruh bumi. Maka datanglah iya mŭngambil kitab itu deripada tangan kanan orang yang dudok diatas arash itu. Apabila diambilnya kitab itu, maka sujudlah kaampat binatang itu, dan kadua puloh ampat orang tua tua itu dihadapan anak Domba itu, sŭrta masing masing marika itu ada kachapi, dan piala yang kaamasan pŭnoh dŭngan bahu bahuan, maka iya itulah doa doa orang orang salih. Maka marika itupun mŭnyanyilah satu nyanyi yang bahru, katanya, Angkaulah yang layak mŭngambil kitab itu, sŭrta mŭnguriekan mutrie mutrienya, kŭrna angkau tŭlah tŭrsŭmblih, dan tŭlah mŭnubus kami kŭrna Allah ulih bŭrkat darahmu deripada tiap tiap katuronan, dan bahsa, dan kaum, dan bangsa; Dan tŭlah mŭnjadikan kami bagie Allah raja raja dan imam imam: maka kami kŭlak krajaan diatas bumi. Maka kulihat, dan kudŭngar pula swara bŭbrapa mŭliekat bŭrkliling arash itu, dan binatang binatang, dan sagala orang tua tua itu: maka bilangan marika itu adalah sa’puloh ribu kali sa’puloh ribu, dan bŭribu ribu; Bŭrkata dŭngan swara yang nyaring, Layaklah anak Domba itu yang tŭlah tŭrsŭmblih itu, akan mŭnŭrima kwasa, dan kŭkayaan, dan budi, dan kuat, dan hormat, dan kamuliaan dan bŭrkat. Maka sagala kajadian yang ada dalam shorga, dan dibumi, dan dibawah bumi, dan sagala yang ada didalam laut, dan isi skaliannya itu, aku tŭlah mŭnŭngar, katanya, Bahwa bŭrkat, dan hormat, dan kamuliaan, dan kwasa kiranya bagie orang yang dudok diatas arash itu, dan bagie anak Domba itu slama lamanya. Maka ampat ampat binatang itu pun mŭngatakan Amin. Dan kadua puloh ampat orang tua tua itupun sujudlah mŭnyŭmbah akan dia, yang hidop slama lamanya.
WAHYU 5:5-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian salah seorang tua-tua itu berkata kepadaku, “Jangan menangis. Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, Tunas Daud, telah menang. Dia dapat membuka gulungan naskhah itu dan memecahkan tujuh materai dan membuka gulungan naskhah itu.” Selepas itu kulihat Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh keempat-empat makhluk dan para tua-tua. Anak Domba itu, yang kelihatan sudah disembelih, mempunyai tujuh tanduk dan tujuh mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah dihantar ke seluruh dunia. Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah dari tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta. Ketika Dia mengambil gulungan kitab itu, empat makhluk dan dua puluh empat orang tua-tua sujud kepada Anak Domba itu. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih. Mereka menyanyikan lagu baru: “Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan membuka materainya kerana Engkau telah dibunuh, dan dengan darah kematian-Mu Engkau telah menebus untuk Allah manusia daripada segala suku, bahasa, kaum, dan bangsa. Engkau telah menjadikan mereka suatu kerajaan dan imam-imam Allah untuk menyembah Allah kita dan memerintah di bumi.” Aku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua. Mereka menyanyi dengan suara yang lantang: “Anak Domba yang telah disembelih layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian.” Aku mendengar semua makhluk — di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi: “Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada Dia yang duduk di atas takhta dan kepada Anak Domba untuk selama-lamanya.” Keempat-empat makhluk itu menyahut, “Amin!” Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu.