WAHYU 22:1-7
WAHYU 22:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Malaikat itu juga menunjukkan sungai kepadaku; air sungai itu memberikan hidup. Sungai itu berkilauan seperti kristal dan mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba ke tengah-tengah jalan raya di kota itu. Pada kedua-dua tepi sungai itu terdapat sebatang pokok sumber kehidupan, yang berbuah dua belas kali setahun, iaitu sekali sebulan. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan bangsa-bangsa. Di dalam kota itu tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah. Takhta Allah dan Anak Domba akan ada di dalam kota itu dan hamba-hamba-Nya akan menyembah Dia. Mereka akan melihat wajah-Nya, dan nama-Nya akan ditulis pada dahi mereka. Malam tiada lagi; lampu dan cahaya matahari pun tidak diperlukan, kerana Tuhan Allah sendiri akan menerangi mereka. Mereka akan memerintah sebagai raja selama-lamanya. Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai. Tuhan Allah yang memberikan Roh-Nya kepada nabi-nabi, telah mengutus malaikat-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk menunjukkan apa yang mesti segera berlaku.” “Dengarlah!” kata Yesus. “Aku akan segera datang! Berbahagialah orang yang mentaati kata-kata nubuat di dalam kitab ini!”
WAHYU 22:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA diunjokkannyalah padaku sungie ayer hayat yang jŭrnih, jŭrnihnya spŭrti hablor, iya itu mŭngalir kluar deripada arash Allah, dan anak Domba itu. Maka ditŭngah tŭngah lorong nŭgri itu, dan sŭbrang mŭnyŭbrang sungie itu, ada pohon kayu hayat yang bŭrbuah duablas jŭnis buah, maka iya mŭngadakan buahnya pada tiap tiap bulan; maka daun daun pohon itu akan mŭnjadikan sŭmboh sagala bangsa. Maka tiadalah laanat lagi: dalamnya itu adalah arash Allah dan anak Domba itu; maka sagala hambanya pun akan bŭrbakti padanya. Maka marika itu akan mŭlihat mukanya; dan namanya pun adalah kŭlak didahinya. Maka malam pun tiadalah disana: maka dian pun tiadalah bŭrguna pada marika itu, atau trang matahari; kŭrna ditrangi akan dia ulih Tuhan Allah: maka marika itu kŭlak bŭrkrajaanlah slama lamanya. Lalu bŭrkatalah iya padaku, Sagala pŭrkataan inilah sŭtiawan dan bŭnar adanya: maka Allah Tuhan sagala nabi yang suchi itu mŭnyurohkan mŭliekatnya mŭnunjokkan kapada hamba hambanya sagala pŭrkara yang ta’dapat tiada akan jadi kŭlak dŭngan sŭgranya. Bahwa sŭsungguhnya, datanglah aku dŭngan sŭgranya: bŭrbagialah kiranya orang yang mŭmliharakan pŭrkataan nabuat nabuatan kitab ini.
WAHYU 22:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia menunjukkan kepadaku sebatang sungai air hidup, jernih seperti hablur, mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba di tengah-tengah kota itu. Di kiri kanan sungai itu terdapat pokok hayat, yang berbuah dua belas jenis setiap bulan; daun-daunnya menyembuhkan umat manusia. Segala yang terlaknat tiada lagi. Takhta Allah dan Anak Domba ada di dalam kota itu, dan hamba-hamba-Nya beribadat kepada-Nya. Mereka melihat wajah-Nya, dan nama-Nya tersurat pada dahi mereka. Malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Tuhan Allah akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya. Katanya kepadaku, “Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Tuhan, Allah segala roh nabi-nabi, telah menyuruh malaikat-malaikat-Nya menunjukkan kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi dengan segera.” “Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat di dalam kitab ini.”