WAHYU 2:12-17
WAHYU 2:12-17 Alkitab Berita Baik (BM)
“Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Pergamus: Inilah perkhabaran daripada Dia yang memiliki sebilah pedang tajam bermata dua. Aku mengetahui tempat kamu tinggal; di situlah Iblis bertakhta. Kamu setia kepada-Ku. Kamu bahkan tidak menafikan kepercayaan kamu kepada-Ku, semasa Antipas, saksi-Ku yang setia itu dibunuh di tempat Iblis tinggal. Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Beberapa orang antara kamu mengikut ajaran Bileam. Dahulu Bileam mengajar Balak menjerumuskan umat Israel ke dalam dosa, dengan memujuk mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, dan dengan melakukan perbuatan cabul. Demikian juga ada beberapa orang antara kamu yang mengikut ajaran Nikolaus. Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa kamu! Jika tidak, Aku akan segera datang kepada kamu dan melawan semua orang itu dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku. Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang akan Aku kurniai manna yang tersembunyi. Aku juga akan mengurniai setiap orang daripada mereka seketul batu putih. Batu itu ditulisi nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali orang yang menerimanya.”
WAHYU 2:12-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bŭrmula tuliskanlah surat kapada mŭliekat sidang jŭmaah yang diPergamos. Inilah pŭrkara pŭrkara yang dikatakan ulih yang ada bŭrpŭdang tajam yang bŭrmata dua. Aku kŭtahuilah akan sagala pŭkŭrjaanmu, dan dimana kamu tinggal, iya itu ditŭmpat kadudokkan Shietan: dan angkau mŭmŭgang tŭgoh namaku, dan tiada bŭrsangkal akan imanku, mŭskipun pada zaman tŭtkala Antifas tŭlah mŭnjadi saksiku yang sŭtiawan, dan yang tŭlah dibunoh itu diantara kamu, ditŭmpat Shietan diam itu. Tŭtapi ada pŭrdawaanku sŭdikit atasmu, tŭgal ada angkau mŭnaroh orang yang bŭrgantong kapada pŭngajaran Balaam itu, yang tŭlah mŭngajar Balak mŭnarohkan batu tŭrantok dihadapan bani Israil, akan mŭmakan sagala pŭrkara yang dipŭrsŭmbahkan kapada bŭrhala, dan bŭrbuat zinah. Maka dŭmkian lagi ada angkau mŭnaroh orang yang bŭrgantong kapada pŭngajaran Nikolatanes itu, pŭrkara yang kubŭnchikan itu. Taubatlah kamu; kalau tidak, aku kŭlak akan datang kapadamu dŭngan sŭgranya, dan bŭrprang kapadanya dŭngan pŭdang deri mulotku. Maka barang siapa yang ada bŭrtŭlinga, handaklah didŭngarnya apa yang dikatakan ulih Roh kapada sidang sidang jŭmaah itu: Maka kapada orang yang mŭnang aku kŭlak akan mŭmbri makan manna yang tŭrsŭmbunyi itu, dan aku akan mŭmbri padanya batu putih, maka dalam batu itu ada tŭrtulis suatu nama bahru yang tiada dikŭtahui sa’orang jua pun, mŭlainkan orang yang mŭndapat dia.
WAHYU 2:12-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Kepada malaikat jemaah di Pergamus, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang memiliki sebilah pedang mata dua yang tajam. Aku tahu akan tempat kediamanmu. Di situlah Iblis bertakhta. Namun demikian, kamu setia berpegang kepada nama-Ku. Malah kamu tidak menyangkal imanmu kepada-Ku ketika Antipas, saksi-Ku yang setia, dibunuh di tempat kediaman Iblis. Tetapi Aku mencelamu kerana beberapa perkara: Ada di antaramu yang menganut ajaran Bileam. Bileam telah mengajak Balak untuk memujuk umat Israel supaya berdosa dengan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala serta melakukan pencabulan. Secara itu juga ada sebilangan daripadamu yang mengikut ajaran Nikolaus. Bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang segera kepadamu dan menyerang mereka dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Aku akan memberikan sebahagian manna yang tersembunyi kepada sesiapa yang menang. Juga Aku akan memberinya batu putih yang bertulis nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa selain penerimanya.”