WAHYU 19:1-21
WAHYU 19:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah itu aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai di syurga yang berseru, “Pujilah Allah! Allah kita Allah yang menyelamatkan! Dia Allah yang mulia dan berkuasa! Penghakiman-Nya benar dan adil! Dia telah menjatuhkan hukuman kepada pelacur termasyhur itu, yang menyesatkan dunia dengan perbuatan cabulnya. Allah sudah menghukum dia kerana dia membunuh hamba-hamba Allah.” Sekali lagi mereka berseru, “Pujilah Allah! Asap api yang menghanguskan kota agung itu mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya!” Dua puluh empat orang pemimpin dan empat makhluk itu bersujud dan menyembah Allah yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, “Amin! Pujilah Allah!” Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, “Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia - baik orang besar mahupun orang biasa!” Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, “Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja! Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu. Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan.” (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.) Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu.” Malaikat itu berkata lagi, “Inilah firman yang benar daripada Allah.” Aku bersujud hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, “Jangan! Jangan sembah aku, sembahlah Allah! Aku pun hamba seperti engkau dan semua saudaramu, dan seperti semua orang yang berpegang teguh pada ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus.” Ajaran benar yang dinyatakan Yesus itulah yang mengilhami nabi-nabi. Kemudian aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan. Mata-Nya menyala seperti api dan Dia memakai banyak mahkota pada kepala-Nya. Pada diri-Nya tertulis satu nama yang hanya diketahui oleh-Nya. Jubah yang dipakai-Nya berlumuran darah. Nama-Nya “Firman Allah.” Tentera syurga mengikuti Dia dengan menunggang kuda putih dan mengenakan pakaian linen putih yang bersih. Dari mulut-Nya keluar sebilah pedang yang tajam, dan dengan pedang itu Dia akan mengalahkan bangsa-bangsa. Dia akan memerintah mereka dengan tangan besi. Dia akan memeras anggur di dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan yang menyala-nyala daripada Allah Yang Maha Kuasa. Pada jubah-Nya dan paha-Nya tertulis nama ini: “Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung.” Kemudian aku nampak satu malaikat berdiri di atas matahari. Dengan suara kuat dia berseru kepada semua burung yang terbang di angkasa, “Marilah berkumpul untuk menghadiri jamuan besar yang disediakan oleh Allah. Marilah makan daging raja, daging panglima dan askar, daging kuda dan penunggang kuda, daging semua orang, baik abdi mahupun orang bebas, orang besar mahupun orang biasa!” Kemudian aku nampak binatang itu dan raja-raja di bumi dengan tentera mereka berkumpul untuk melawan Dia yang menunggang kuda putih dengan tentera-Nya. Tetapi binatang itu ditawan bersama-sama nabi palsu yang telah melakukan mukjizat di hadapannya. (Dengan mukjizat itulah binatang itu menipu orang yang mempunyai tanda binatang itu, dan orang yang menyembah patung binatang itu.) Binatang itu dan nabi palsu itu dibuang hidup-hidup ke dalam lautan api yang bernyala-nyala dengan belerang. Tentera mereka dibunuh dengan pedang yang keluar dari mulut penunggang kuda putih itu. Lalu semua burung datang dan memakan daging mereka dengan lahap.
WAHYU 19:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang, “Haleluya! Penyelamatan dan kemuliaan dan kuasa bagi Allah kita! Kerana segala penghakiman-Nya benar dan adil, kerana Dia telah menghakimi pelacur besar yang telah mencemarkan dunia dengan perzinaannya; dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Nya!” Mereka berkata lagi, “Haleluya! Asap api yang membakarnya naik menjulang selama-lamanya!” Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata, “Amin! Haleluya!” Kemudian kedengaran suara dari takhta berkata, “Pujilah Allah kita, hai kamu sekalian hamba-Nya dan orang yang takut akan Dia, baik yang kecil mahupun yang besar!” Kemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata, “Haleluya! Kerana Tuhan, Allah kita, Yang Maha Kuasa sedang bertakhta! Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia, kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba, dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya. Isterinya diberi kain linen yang halus, suci berseri-seri untuk dipakai.” (Kain linen yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.) Kemudian dia berkata kepadaku, “Tulislah: Diberkatilah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!” Katanya lagi kepadaku, “Inilah firman Allah yang benar.” Aku sujud di kakinya untuk menyembahnya, tetapi dia berkata, “Jangan buat begitu! Aku hamba Allah sepertimu, dan seperti saudara-saudaramu yang memiliki kesaksian Yesus. Sembahlah Allah! Kesaksian Yesus itu roh nubuat.” Kemudian aku melihat syurga terbuka, dan kelihatan seekor kuda putih. Dia yang menunggangnya dipanggil Setia dan Benar, dan dengan keadilan Dia menghakimi serta memerangi. Mata-Nya seperti nyala api, dan di atas kepala-Nya terletak mahkota yang banyak. Ada satu nama tertulis pada-Nya, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun selain Dia. Dia memakai jubah yang bercelup darah dan nama-Nya Firman Allah. Segala tentera syurga, berpakaian kain linen halus yang putih bersih, menunggang kuda putih mengiringi-Nya. Sekarang dari mulut-Nya keluar pedang yang tajam untuk diparangkan kepada segala bangsa. Dia sendiri akan memerintah mereka dengan tombak besi. Dia sendiri menginjak pengirik air anggur kemurkaan Allah Maha Kuasa. Pada jubah dan paha-Nya tertulis nama: “RAJA SEGALA RAJA, TUAN SEGALA TUAN.” Kemudian aku melihat malaikat berdiri di matahari, berseru lantang kepada burung-burung yang terbang di udara, “Marilah berhimpun untuk makan malam Allah Yang Maha Besar! Kamu akan makan daging raja, panglima, orang berkuasa, kuda dan penunggangnya, dan semua orang, baik hamba mahupun merdeka, baik kecil mahupun besar.” Aku melihat binatang itu, raja-raja dunia dan tentera mereka berhimpun untuk memerangi Dia yang berkuda itu serta tentera-Nya. Kemudian binatang itu ditawan, dan bersamanya nabi palsu yang mengadakan pelbagai tanda di hadapannya dan dengan demikian memperdaya orang yang telah menerima tanda binatang itu serta orang yang menyembah patungnya. Kedua-duanya dihumbankan hidup-hidup ke dalam lautan api yang menyala dengan belerangnya. Yang lain dibunuh dengan pedang yang keluar daripada Dia yang berkuda. Burung-burung kenyang makan daging mereka.
WAHYU 19:1-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka kumdian deripada itu, aku tŭlah mŭnŭngar suatu swara yang bŭsar deripada banyak orang dalam shorga, katanya, Alleluya; slamat, dan kamulian, dan hormat, dan kwasa kiranya bagie Allah Tuhan kami; Kŭrna bŭnar dan adillah kiranya sagala hukumnya, tŭgal iya tŭlah mŭnghukumkan jalang yang bŭsar itu, yang tŭlah mŭrosakkan bumi ulih pŭrsundalannya, sŭrta mŭnuntut bela darah sagala hambanya akan dia. Maka bŭrkatalah pula marika itu, Alleluya. Maka asapnya pun naik kŭkal slama lamanya. Bŭrmula adapun dua puloh ampat orang tua tua, dan ampat ekor binatang itupun sujudlah, sŭrta mŭnyŭmbah Allah yang dudok diatas arash itu, katanya, Amin, Alleluya. Maka tŭrbitlah suatu swara deri dalam arash itu, katanya, Pujilah akan Allah kami sagala kamu hambanya, dan kamu yang takot akan dia, baik kŭchil baik bŭsar. Maka kudŭngar pula bunyi spŭrti swara bŭlatŭntara yang bŭsar, dan bagie ayer banyak mŭndru, dan spŭrti bunyi halalintar yang bŭsar, katanya, Alleluya; kŭrna Allah Tuhan maha kwasa itu ada mŭmrentah. Maka biarlah kiranya kami bŭrsuka sukaan dan tŭrmasa, sŭrta mŭmuliakan dia; kŭrna kahwen anak Domba itu tŭlah sampie, dan istrinya pun tŭlah mŭnyŭdiakan dirinya. Maka pada pŭrampuan itu tŭlah dikurniakan mŭmakie dŭngan khasa halus, pŭrsih dan putih; kŭrna khasa halus itulah kabŭnaran orang orang salih. Maka bŭrkatalah iya padaku, Tulislah, Bŭrbahgialah kiranya orang orang yang dijŭmpot kapada pŭrjamuan kahwen anak Domba itu. Maka bŭrkatalah iya padaku, Inilah pŭrkataan yang bŭnar deripada Allah. Maka sujudlah aku dikakinya mŭnyŭmbah dia, maka bŭrkatalah iya padaku, Ingatlah angkau jangan buat bagitu: Aku ini sama hamba spŭrti angkau, dan sama spŭrti saudara saudara yang ada mŭngaku Isa: sŭmbahlah akan Allah: kŭrna akuan akan Isa itu, iya itu Roh yang bŭrnabuat. Maka kulihatlah langit itu tŭrbuka, maka hieran, ada sa’ekor kuda putih: dan yang mŭngindrai akan dia itu dinamai Sŭtiawan dan Bŭnar, maka dŭngan adilnya iya mŭnghukumkan dan bŭrprang. Maka matanya itu bagie api bŭrnyala, dan diatas kŭpalanya banyak mahkota; maka adalah suatu nama tŭrtulis atasnya, iya itu tiada dikŭtahui ulih barang sa’orang juapun, mŭlainkan iya sŭndiri. Maka adalah dipakienya pakiean yang bŭrchŭlop dŭngan darah; maka namanya dipanggil Kalimat Allah. Maka sagala bŭlantŭntara yang dilangit itupun ada mŭngikot akan dia diatas kuda kuda putih, sŭrta dŭngan mŭmakie khasa halus, putih dan pŭrsih. Maka kluarlah deri dalam mulotnya sa’bila pŭdang yang tajam, supaya dŭngan itulah dapat iya mŭmrangi akan sagala bangsa; maka iya kŭlak akan mŭmrentahkan marika itu dŭngan tongkat bŭsi: dan iyalah yang mŭngirik apitan anggor yang pŭnoh dŭngan garang dan morka Allah yang maha kwasa. Maka adalah tŭrtulis atas pakieannya dan pada pahanya suatu nama, RAJA SAGALA RAJA, DAN TUHAN SAGALA TUAN. Maka kulihat pula sa’orang mŭliekat yang bŭrdiri dalam matahari: lalu bŭrtŭmpeklah iya dŭngan swara yang nyaring, katanya kapada sagala onggas yang tŭrbang diantara langit, Marilah kamu bŭrkampong bŭrsama sama datang kapada pŭrjamuan Allah yang bŭsar; Supaya kamu mŭmakan daging sagala raja raja, dan daging sagala pŭnghulu, dan daging orang yang gagah, dan daging kuda kuda, dan orang yang mŭngindrai akan dia, dan daging sagala manusia, baik mŭrdehka baik hamba, kŭchil atau bŭsar. Maka aku lihatlah binatang itu, dan sagala raja raja dibumi, sŭrta sagala tŭntaranya itu, bŭrkampong bŭrsama sama handak bŭrprang dŭngan orang yang mŭngindrai kuda itu, sŭrta dŭngan tŭntaranya. Maka binatang itu pun tŭrtangkaplah bŭsŭrta dŭngan nabi dusta yang mŭngadakan bŭbrapa ajaib dihadapannya, maka dŭngan itulah iya tŭlah mŭnipu akan sagala orang yang tŭlah mŭmakie tanda binatang itu, dan orang orang yang mŭnyŭmbah akan gambarnya. Maka kaduanya itu tŭlah dichampakkan dŭngan hidopnya kadalam tasik api yang bŭrnyala dŭngan blerang. Maka orang orang yang tŭrtinggal itu dibunoh dŭngan pŭdang, orang yang mŭngindrai kuda itu, iya itu pŭdang yang tŭrbit deri mulotnya: maka sagala onggas pun kŭnyanglah dŭngan dagingnya.