WAHYU 17:1-7
WAHYU 17:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang memegang tujuh buah mangkuk itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, kepadamu akan aku tunjukkan bagaimana pelacur yang termasyhur itu dihukum. Pelacur itu kota besar yang dibina dekat sungai-sungai. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengan pelacur itu, dan penduduk dunia menjadi seperti orang mabuk ketika pelacur itu melakukan perbuatan cabul dengan mereka.” Lalu Roh Allah menguasai aku dan malaikat itu membawa aku ke padang gurun. Di situ aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang berwarna merah, yang seluruh badannya ditulisi dengan nama-nama yang mengkufuri Allah. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Wanita itu berpakaian ungu dan merah tua, serta memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara. Tangannya memegang sebuah cawan emas yang penuh dengan perkara-perkara cabul dan keji, hasil daripada perbuatannya yang cabul. Pada dahinya tertulis suatu nama yang mempunyai makna rahsia. Nama itu “Babel yang besar, ibu kepada semua pelacur dan orang yang melakukan perbuatan cabul di dunia ini.” Lalu aku nampak wanita itu mabuk kerana minum darah umat Allah dan darah orang yang dibunuh kerana setia kepada Yesus. Aku sangat hairan ketika nampak wanita itu. Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk.
WAHYU 17:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka datanglah sa’orang deripada tujoh mŭliekat itu yang ada tujoh piala itu, sŭrta bŭrtutor dŭngan aku, katanya, Marilah kamari; maka aku handak mŭnunjokkan padamu hukum jalang yang bŭsar itu yang dudok diatas ayer banyak. Maka kapadanyalah juga raja raja dibumi tŭlah bŭrbuat zinah, maka sagala orang yang dudok dimuka bumi itu pun tŭlah mŭnjadi maboklah dŭngan ayer anggor pŭrzinahannya. Maka dŭngan hal yang dŭmkian dibawa ulih Roh akan daku kapada suatu padang; lalu kulihat ada sa’orang pŭrampuan dudok diatas sa’ekor binatang yang bŭrwarna merah tua, iya itu pŭnohlah dŭngan nama hujat sŭrta adalah iya itu bŭrkŭpala tujoh dan bŭrtandok sa’puloh. Adapun pŭrampuan itu tŭlah mŭmakie pakiean ungu dan merah tua warnanya, sŭrta mŭngŭnakan pakiean mas dan pŭrmata yang indah indah, dan bŭrbagie bagie mutiara, maka ditangannya ada suatu chawan kaamasan yang punoh dŭngan kakŭjian dan kachŭmaran deripada pŭrzinahannya. Dan pada dahinya adalah tŭrtulis suatu nama, RAHSIA NŬGRI BABEL YANG BŬSAR, IBU JALANG, DAN KAKŬJIAN BUMI ITU. Maka kulihat pula pŭrampuan itu mabok dŭngan darah orang orang salih, dan dŭngan darah shahid shahid Isa: maka apabila aku mŭlihat itu tŭrchŭnganglah aku dŭngan sŭbŭsar bŭsar hieran. Maka kata mŭliekat itu padaku, Mŭngapakah angkau hieran? aku handak chŭrtrakan padamu derihal rahsia pŭrampuan itu, dan derihal yang dikaindrainya itu, yang ada bŭrkŭpala tujoh, dan bŭrtandok sa’puloh itu.
WAHYU 17:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk emas itu datang kepadaku dan berkata, “Mari, kutunjukkan hukuman ke atas pelacur besar yang duduk di atas air yang banyak, dan yang berzina dengan raja-raja dunia; penghuni bumi mabuk dengan air anggur pencabulannya.” Malaikat itu membawaku dalam Roh ke gurun. Aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang buas yang berwarna merah dan penuh dengan nama-nama kufur. Binatang itu berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh. Perempuan itu berpakaian ungu dan merah, dihiasi emas permata serta mutiara, tangannya memegang cawan emas yang penuh dengan perbuatan cabul dan kecemaran perzinaannya. Pada dahinya tertulis suatu nama rahsia: “BABEL YANG AGUNG, IBU SEGALA PELACUR DAN KELUCAHAN DI BUMI.” Aku melihat perempuan itu, mabuk dengan darah orang salih dan darah saksi Yesus. Apabila aku melihat perempuan itu, aku hairan tercengang. Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapa kamu hairan tercengang? Aku akan menceritakan rahsia di sebalik perempuan itu dan binatang yang ditunggangnya, yang berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh.