WAHYU 17:1-18
WAHYU 17:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang memegang tujuh buah mangkuk itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, kepadamu akan aku tunjukkan bagaimana pelacur yang termasyhur itu dihukum. Pelacur itu kota besar yang dibina dekat sungai-sungai. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengan pelacur itu, dan penduduk dunia menjadi seperti orang mabuk ketika pelacur itu melakukan perbuatan cabul dengan mereka.” Lalu Roh Allah menguasai aku dan malaikat itu membawa aku ke padang gurun. Di situ aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang berwarna merah, yang seluruh badannya ditulisi dengan nama-nama yang mengkufuri Allah. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Wanita itu berpakaian ungu dan merah tua, serta memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara. Tangannya memegang sebuah cawan emas yang penuh dengan perkara-perkara cabul dan keji, hasil daripada perbuatannya yang cabul. Pada dahinya tertulis suatu nama yang mempunyai makna rahsia. Nama itu “Babel yang besar, ibu kepada semua pelacur dan orang yang melakukan perbuatan cabul di dunia ini.” Lalu aku nampak wanita itu mabuk kerana minum darah umat Allah dan darah orang yang dibunuh kerana setia kepada Yesus. Aku sangat hairan ketika nampak wanita itu. Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Binatang itu dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi. Tidak lama lagi binatang itu akan keluar dari jurang maut dan akan menuju kepada kebinasaan. Penduduk bumi yang nama mereka tidak terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup sebelum dunia diciptakan, akan hairan apabila mereka melihat binatang itu. Binatang itu dahulu pernah hidup; sekarang binatang itu tidak hidup lagi, tetapi akan muncul semula. Hal ini memerlukan kebijaksanaan dan pengertian. Tujuh kepala itu melambangkan tujuh buah bukit, tempat wanita itu duduk. Tujuh kepala itu juga melambangkan tujuh orang raja. Lima orang antara mereka sudah meninggal, yang seorang masih memerintah, dan yang seorang lagi belum datang. Apabila dia datang, dia akan memerintah sebentar sahaja. Binatang yang dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, melambangkan raja kelapan. Dia salah satu daripada tujuh orang raja itu juga dan sedang menuju kepada kebinasaan. Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu melambangkan sepuluh orang raja yang belum mula memerintah. Tetapi mereka akan diberikan kuasa untuk memerintah sebagai raja bersama-sama binatang itu selama sejam. Sepuluh orang raja itu semuanya mempunyai tujuan yang sama dan mereka menyerahkan kekuatan dan kekuasaan mereka kepada binatang itu. Mereka akan berperang melawan Anak Domba. Tetapi Anak Domba itu dengan para pengikut-Nya yang setia, yang telah dipanggil dan dipilih oleh-Nya akan mengalahkan mereka. Dialah Tuhan Yang Agung dan Raja Yang Terutama.” Malaikat itu berkata pula kepadaku, “Sungai-sungai yang engkau lihat itu, tempat pelacur itu duduk, melambangkan pelbagai negara, rakyat, bangsa, dan bahasa. Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu, dan binatang itu akan membenci pelacur itu. Mereka akan merampas segala sesuatu yang dimiliki pelacur itu dan mereka akan menelanjangi dia. Mereka akan makan dagingnya dan membinasakan dia dengan api. Hal itu demikian kerana Allah telah menggerakkan hati mereka untuk melaksanakan rancangan-Nya. Allah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan kekuasaan mereka kepada binatang itu, supaya binatang itu memerintah sehingga apa yang difirmankan oleh Allah berlaku. Wanita yang engkau lihat itu kota besar yang rajanya memerintah raja-raja di bumi.”
WAHYU 17:1-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka datanglah sa’orang deripada tujoh mŭliekat itu yang ada tujoh piala itu, sŭrta bŭrtutor dŭngan aku, katanya, Marilah kamari; maka aku handak mŭnunjokkan padamu hukum jalang yang bŭsar itu yang dudok diatas ayer banyak. Maka kapadanyalah juga raja raja dibumi tŭlah bŭrbuat zinah, maka sagala orang yang dudok dimuka bumi itu pun tŭlah mŭnjadi maboklah dŭngan ayer anggor pŭrzinahannya. Maka dŭngan hal yang dŭmkian dibawa ulih Roh akan daku kapada suatu padang; lalu kulihat ada sa’orang pŭrampuan dudok diatas sa’ekor binatang yang bŭrwarna merah tua, iya itu pŭnohlah dŭngan nama hujat sŭrta adalah iya itu bŭrkŭpala tujoh dan bŭrtandok sa’puloh. Adapun pŭrampuan itu tŭlah mŭmakie pakiean ungu dan merah tua warnanya, sŭrta mŭngŭnakan pakiean mas dan pŭrmata yang indah indah, dan bŭrbagie bagie mutiara, maka ditangannya ada suatu chawan kaamasan yang punoh dŭngan kakŭjian dan kachŭmaran deripada pŭrzinahannya. Dan pada dahinya adalah tŭrtulis suatu nama, RAHSIA NŬGRI BABEL YANG BŬSAR, IBU JALANG, DAN KAKŬJIAN BUMI ITU. Maka kulihat pula pŭrampuan itu mabok dŭngan darah orang orang salih, dan dŭngan darah shahid shahid Isa: maka apabila aku mŭlihat itu tŭrchŭnganglah aku dŭngan sŭbŭsar bŭsar hieran. Maka kata mŭliekat itu padaku, Mŭngapakah angkau hieran? aku handak chŭrtrakan padamu derihal rahsia pŭrampuan itu, dan derihal yang dikaindrainya itu, yang ada bŭrkŭpala tujoh, dan bŭrtandok sa’puloh itu. Adapun binatang yang angkau lihat itu, tŭlah ada, tŭtapi tiada; maka iya kŭlak akan kluar deri dalam kluboran yang tiada tŭrduga, dan masok kŭdalam kabinasaan; maka marika itu yang mŭngdiami diatas bumi itupun kŭlak akan hieran, yang ampunya nama itu tiada tŭrtulis dalam kitab hayat deripada ahwal dunia, apabila dilihatnya akan binatang yang tŭlah ada, skarang tiada, tŭtapi ada juga. Maka inilah akal yang mŭmpunyai hikmat. Adapun tujoh kŭpala itulah tujoh gunong tŭmpat kadudokkan pŭrampuan itu. Maka adalah tujoh orang raja, lima orang tŭlah jatoh, tinggal lagi sa’orang, dan sa’orang yang lain itu bŭlom lagi datang; maka apabila iya itu kŭlak datang, maka dapat tiada iya kŭlak tinggal sŭdikit waktu. Bŭrmula adapun binatang yang tŭlah ada itu, tŭtapi tiada, maka iyalah juga yang kadŭlapan, yang tŭlah deripada tujoh itu, sŭrta masoklah iya kŭdalam kabinasaan. Adapun sa’puloh tandok yang angkau lihat itu, iya itulah sa’puloh raja yang bŭlom mŭnŭrima krajaan lagi, tŭtapi mŭnŭrima kwasa satu jam spŭrti raja raja sŭrta dŭngan binatang itu. Maka iya inilah satu hati, iya akan mŭmbri kwasa dan kuatnya kapada binatang itu. Maka iya inilah akan mŭmrangi anak Domba itu, maka anak Domba itu kŭlak akan mŭngalahkan dia; kŭrna iya itu Tuhan sagala tuan, dan Raja sagala raja raja; adapun orang yang bŭsŭrta dŭngan dia itulah orang yang dijŭmpot, dan dipileh, dan sŭtiawan adanya. Maka iya bŭrkata padaku, adapun ayer ayer yang angkau lihat, ditŭmpat jalang itu dudok, iya itulah bŭbrapa kaum, dan bŭlantŭntara, dan bangsa, dan bahsa. Maka sa’puloh tandok yang angkau lihat pada binatang itu, iya itulah kŭlak mŭmbŭnchi akan jalang itu, dan mŭnjadikan dia sunyi dan bŭrtŭlanjang, dan akan mŭmakan dagingnya, dan mŭmbakar dia dŭngan api. Kŭrna Allah tŭlah mŭmasokkan kadalam hati marika itu, supaya mŭnggŭnapi kahandaknya, dan mufakat handak mŭmbri krajaannya itu kapada binatang itu, sahingga kŭlak gŭnaplah sagala fŭrman Allah. Maka pŭrampuan yang tŭlah angkau lihat itu, iya itulah nŭgri bŭsar, yang mŭmŭgang prentah atas sagala raja raja dibumi.
WAHYU 17:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk emas itu datang kepadaku dan berkata, “Mari, kutunjukkan hukuman ke atas pelacur besar yang duduk di atas air yang banyak, dan yang berzina dengan raja-raja dunia; penghuni bumi mabuk dengan air anggur pencabulannya.” Malaikat itu membawaku dalam Roh ke gurun. Aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang buas yang berwarna merah dan penuh dengan nama-nama kufur. Binatang itu berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh. Perempuan itu berpakaian ungu dan merah, dihiasi emas permata serta mutiara, tangannya memegang cawan emas yang penuh dengan perbuatan cabul dan kecemaran perzinaannya. Pada dahinya tertulis suatu nama rahsia: “BABEL YANG AGUNG, IBU SEGALA PELACUR DAN KELUCAHAN DI BUMI.” Aku melihat perempuan itu, mabuk dengan darah orang salih dan darah saksi Yesus. Apabila aku melihat perempuan itu, aku hairan tercengang. Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapa kamu hairan tercengang? Aku akan menceritakan rahsia di sebalik perempuan itu dan binatang yang ditunggangnya, yang berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh. Binatang yang kamu lihat itu pernah wujud tetapi tidak wujud lagi dan akan keluar dari jurang yang tidak terduga dalamnya lalu menuju kebinasaan. Penghuni bumi yang tidak tersenarai namanya dalam Kitab Hidup dari permulaan dunia akan tercengang melihat binatang yang pernah wujud dan sekarang tidak wujud lagi tetapi kemudian akan muncul lagi. Yang dituntut di sini ialah fikiran yang mempunyai kebijaksanaan. Tujuh kepala itu ialah tujuh gunung tempat perempuan itu tinggal. Juga ada tujuh orang raja. Lima orang telah runtuh kerajaan mereka, satu masih bertakhta dan seorang lagi belum muncul. Datangnya nanti hanya untuk seketika. Binatang yang pernah wujud dan yang tidak wujud lagi itu ialah raja yang kelapan, dan asalnya daripada yang ketujuh. Ia juga akan menuju kebinasaan. Sepuluh tanduk yang kamu lihat itu bererti sepuluh orang raja yang belum mendapat kerajaan lagi, tetapi mereka menerima kekuasaan sebagai raja bersama dengan binatang itu selama sejam. Mereka sepakat dan akan menyerahkan kuasa dan kekuasaan mereka kepada binatang itu. Mereka akan memerangi Anak Domba, dan Anak Domba akan menumpaskan mereka, kerana Dialah Tuan segala tuan dan Raja segala raja. Orang yang dipanggil, dipilih serta setia ada bersama Dia.” Malaikat itu berkata kepadaku, “Air yang kamu lihat di tempat pelacur itu duduk ialah kaum, orang ramai, bangsa dan bahasa. Binatang dan sepuluh tanduknya yang kamu lihat itu akan membenci pelacur itu, dan membuatnya terlantar serta telanjang, lalu memakan dagingnya dan membakarnya dengan api. Allah telah menggerakkan hati mereka untuk menunaikan kehendak-Nya, supaya sepakat dan menyerahkan kerajaan mereka kepada binatang itu hingga berlaku segala firman Allah. Perempuan yang kamu lihat itu ialah kota agung yang menguasai semua raja di bumi ini.”