WAHYU 13:4-18

WAHYU 13:4-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Semua orang menyembah naga itu kerana naga itu sudah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu. Mereka juga menyembah binatang itu sambil berkata, “Siapakah seperti binatang ini? Siapakah dapat melawannya?” Binatang itu dibenarkan mengkufuri Allah dan dibenarkan memerintah selama empat puluh dua bulan. Binatang itu mula mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah, dan semua yang tinggal di syurga. Binatang itu dibenarkan melawan umat Allah serta mengalahkan mereka. Binatang itu diberikan kekuasaan atas setiap suku, negara, bahasa, dan bangsa. Semua orang yang hidup di bumi akan menyembah binatang itu, kecuali orang yang nama mereka terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup. Nama-nama itu ditulis sebelum dunia ini diciptakan, dan kitab itu dimiliki oleh Anak Domba yang sudah disembelih. “Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah! Sesiapa yang harus ditawan, pasti akan ditawan; sesiapa yang harus dibunuh dengan pedang, pasti akan dibunuh dengan pedang. Itulah sebabnya umat Allah mesti tabah hati dan setia kepada Kristus.” Lalu aku nampak seekor binatang lain keluar dari dalam bumi. Binatang itu mempunyai dua tanduk seperti tanduk anak domba, dan suaranya seperti suara naga. Binatang ini menggunakan kekuasaan besar binatang pertama itu di depan matanya. Semua penduduk dunia dipaksa untuk menyembah binatang pertama, yang luka parahnya sudah sembuh. Binatang kedua ini melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat. Di hadapan semua orang, api diturunkannya dari langit ke bumi. Binatang kedua ini diizinkan oleh Allah untuk melakukan mukjizat-mukjizat di hadapan binatang pertama. Dengan mukjizat-mukjizat itu, binatang kedua ini menipu semua orang yang hidup di bumi dan menyuruh mereka membuat sebuah patung untuk menghormati binatang pertama yang sudah dilukai oleh pedang, tetapi tetap hidup. Binatang kedua ini dibolehkan memberikan nyawa kepada patung itu, sehingga patung itu dapat berkata-kata dan membunuh semua orang yang tidak mahu menyembahnya. Binatang kedua ini memaksa semua orang: orang biasa dan orang besar, orang kaya dan orang miskin, abdi dan orang bebas, supaya menerima tanda pada tangan kanan atau dahi mereka. Tidak seorang pun dapat membeli ataupun menjual sesuatu, kecuali dia mempunyai tanda itu, iaitu nama binatang itu sendiri atau nombor yang melambangkan nama itu. Hal ini memerlukan kebijaksanaan. Sesiapa yang bijak dapat memahami erti nombor binatang itu, kerana nombor itu melambangkan nama seorang manusia. Nombor itu 666.

WAHYU 13:4-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka disŭmbahlah ulih marika itu naga yang tŭlah mŭmbrikan kwasa kapada binatang itu, sŭrta disŭmbahnyalah pula akan binatang itu, katanya, Siapakah yang sama dŭngan binatang itu, dan siapakah yang dapat bŭrprang dŭngan dia? Maka tŭlah dibrilah padanya suatu mulot yang bŭrkata kata pŭrkara yang bŭsar bŭsar, dan hujat hujat; danlagi kwasa pun tŭlah dibrikan padanya, supaya iya tŭtap ampat puloh dua bulan lamanya. Maka dibukanyalah mulotnya dŭngan mŭnghujat Allah, iya itu mŭnghujatkan namanya, dan akan ka’abahnya, dan orang yang mŭngdiami shorga. Maka dibri pula padanya bŭrprang dŭngan orang orang salih, sŭrta mŭngalahkan marika itu; danlagi tŭlah dibri kwasa akan dia atas sagala katuronan, dan bahsa, dan sagala bangsa. Maka sagala orang yang mŭngdiami diatas bumi ini kŭlak akan mŭnyŭmbah dia, yang nama marika itu tiadalah dituliskan dalam kitab hayat anak Domba yang tŭlah disŭmblih deripada alasan dunia. Jikalau ada orang yang bŭrtŭlinga, handaklah iya mŭnŭngar. Maka barang siapa yang mŭmbawa kapada tawanan, maka iya kŭlak akan dimasokkan kadalam tawanan; dan barang siapa yang mŭmbunoh dŭngan pŭdang, maka dapat tiada iyapun akan dibunoh dŭngan pŭdang: maka inilah sabar dan iman orang orang salih. Maka kulihat pula sa’ekor binatang lain kluar deri bumi; adalah bagienya dua tandok spŭrti anak domba, maka iya bŭrtutor spŭrti naga. Maka dilakukannyalah sagala kwasa binatang yang pŭrtama itu dihadapannya, sŭrta pula dijadikannya sagala isi bumi, dan sagala orang yang mŭngdiami dalamnya itu mŭnyŭmbah akan binatang yang pŭrtama itu, yang luka paranya tŭlah disŭmbohkan. Sŭrta diadakannya ajaib yang bŭsar bŭsar, sahingga dituronkannya api deri langit ka’atas bumi dihadapan sagala manusia. Maka ditipunyalah akan orang orang yang mŭngdiami diatas bumi dŭngan mujizat mujizat yang iya ada bŭrkwasa mŭngadakan dihadapan binatang itu; sambil iya bŭrkata kapada orang orang yang mŭngdiami diatas bumi, supaya dijadikan ulih marika itu suatu gambar spŭrti rupa binatang yang dilukai ulih pŭdang, dan tŭlah hidop pula. Maka bŭrkwasalah pula iya mŭnghidopkan gambar binatang itu supaya gambar binatang itu dapat bŭrtutor, dan mŭnjadikan sŭbanyak orang yang tiada mahu mŭnyŭmbah gambar binatang itu patut dibunoh. Dan dijadikannya skalian, baik kŭchil baik bŭsar, baik kaya baik mŭskin, baik mŭrdehka baik abdi, mŭnŭrima satu tanda ditangan kanannya atau didahinya. Maka barang sa’orang juapun ta’bulihlah bŭrjual bŭli, mŭlainkan orang yang ada mŭmpunyai tanda itu, atau nama binatang itu, atau bilangan namanya itu. Inilah hikmat. Biarlah orang yang ada bŭrbudi itu mŭmbilang banyaknya binatang itu; kŭrna bilangannya itu bilangan sa’orang manusia, dan bilangannya itu anam ratus anam puloh anam.

WAHYU 13:4-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Mereka menyembah naga yang telah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu, dan mereka menyembah binatang itu sambil berkata, “Siapakah yang setanding dengan binatang ini? Siapakah yang dapat memeranginya?” Binatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan. Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah bersemayam dan semua penghuni syurga. Binatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang salih, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa. Binatang itu akan disembah oleh setiap orang di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah. Orang yang harus ditawan pasti akan ditawan kelak. Orang yang harus dibunuh dengan pedang pasti akan dibunuh dengan pedang juga. Yang dituntut di sini ialah ketabahan dan iman orang salih. Kemudian aku melihat seekor lagi binatang buas muncul dari bumi, bertanduk dua seperti anak domba dan bertutur seperti naga. Binatang kedua itu menjalankan segala kekuasaan binatang pertama di hadapannya, dan menyuruh bumi serta semua penghuninya menyembah binatang yang telah sembuh daripada luka parah yang membawa maut itu. Binatang kedua itu mengadakan beberapa tanda yang hebat, termasuk menurunkan api dari langit ke atas bumi di hadapan umat manusia. Dengan tanda-tanda yang dapat diadakannya di hadapan binatang pertama itu, binatang kedua memperdaya sekalian penghuni bumi, dan menyuruh mereka membuat patung binatang yang dilukai pedang namun tetap hidup. Binatang kedua itu diberi kuasa untuk meniupkan nyawa ke dalam patung binatang pertama itu, supaya patung itu dapat berkata-kata dan menyebabkan semua yang enggan menyembahnya dibunuh. Ia memaksa semua manusia, kecil besar, kaya miskin, orang merdeka dan hamba abdi, menerima suatu tanda pada tangan kanan atau dahi, dan seorang pun tidak dibenarkan berjual beli kecuali ada padanya tanda atau nama binatang buas itu, atau angka namanya. Yang dituntut di sini ialah kebijaksanaan. Sesiapa yang mengerti, kirakanlah angka binatang itu, kerana angka itu angka seorang manusia, dan angka itu 666.