WAHYU 1:10-20

WAHYU 1:10-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.” Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas. Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas. Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api. Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar. Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari. Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati. Oleh itu, tulislah perkara-perkara yang engkau lihat, iaitu perkara-perkara yang ada sekarang ini, dan perkara-perkara yang akan berlaku kelak. Inilah makna yang dilambangkan oleh tujuh buah bintang yang engkau lihat di tangan kanan-Ku dan oleh tujuh buah kaki pelita daripada emas itu. Tujuh buah bintang itu melambangkan para malaikat daripada jemaah di tujuh buah tempat itu, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan jemaah di tujuh buah tempat itu.”

WAHYU 1:10-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bahwa adalah aku ini dalam Roh iya itu pada hari Tuhan, dan mŭnŭngar deri bŭlakangku suatu swara spŭrti bunyi nafiri adanya. Katanya, Akulah Alif dan Ya, yang pŭrmulaan dan yang kasudahan: Maka barang yang angkau lihat, suratkanlah dalam suatu kitab, maka kirimkanlah kapada tujoh sidang jŭmaah yang ada diAsia; iya itu kapada Efesus, dan kapada Smyrna, dan kapada Pergamos, dan kapada Thieatira, dan kapada Sardis, dan kapada Filadalfia, dan kapada Laodikia. Maka aku pun bŭrpalinglah handak mŭlihat swara yang bŭrkata kata kapadaku itu; dŭmi aku bŭrpaling, maka kulihat tujoh kaki dian yang kaamasan; Maka pada sama tŭngah tujoh kaki dian itu adalah sa’orang, iya itu sŭrupa Anak manusia, tŭrpakie suatu baju sampie kakaki, dan bŭrkŭmban dŭngan chindie kaamasan. Maka kŭpalanya dan rambutnya putih spŭrti bulu domba, spŭrti thalj putihnya; dan matanya spŭrti api bŭrnyala. Adapun kakinya sŭrupa dŭngan tŭmbaga bagus, spŭrti ada tŭrbakar dalam kanhor, dan swaranya spŭrti ayer banyak mŭndru. Maka adalah pada tangan kanannya tujoh buah bintang, danlagi kluarlah deripada mulotnya sa’bila pŭdang tajam bŭrmata dua, dan mukanya spŭrti chahya matahari tŭtkala panas trek. Dŭmi tŭrlihatlah ulihku akan dia, maka jatohlah aku tŭrsungkor dikakinya spŭrti mati, maka dibubohnyalah tangan kanannya ka’atasku, katanya padaku, Janganlah takot, bahwa aku inilah yang pŭrmulaan dan kasudahan. Maka aku inilah yang ada hidop, dan yang tŭlah mati; maka sŭsungguhnya aku ada hidop slama lamanya, Amin; dan ada kapadaku anak kunchi nŭraka dan maut. Suratkanlah sagala pŭrkara yang tŭlah angkau lihat, dan sagala pŭrkara yang ada, dan sagala pŭrkara yang akan jadi kŭlak kumdian. Dan rahsia tujoh buah bintang yang tŭlah angkau lihat pada tangan kananku itu, danlagi tujoh kaki dian yang kaamasan itu. Adapun tujoh buah bintang itu, iya itu mŭliekat mŭliekat tujoh sidang jŭmaah itu; maka tujoh kaki dian yang tŭlah angkau lihat itu, iya itulah tujoh sidang jŭmaah.

WAHYU 1:10-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari Tuhan, Roh menguasaiku, lalu aku mendengar suara yang lantang, seperti bunyi sangkakala, berkata-kata di belakangku. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang kaulihat dan hantarkan kitab itu kepada tujuh jemaah: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia dan Laodikia.” Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata itu. Kulihat tujuh kaki pelita daripada emas. Di tengah-tengah kaki pelita itu kelihatan suatu susuk seakan-akan Anak Manusia, berjubah labuh sampai ke kaki dan memakai seutas pending emas yang meliliti dada-Nya. Rambut-Nya putih seperti kapas dan mata-Nya menyala-nyala laksana api. Kaki-Nya bersinar umpama gangsa digilap di dalam relau dan suara-Nya ibarat deru air terjun yang hebat. Tangan kanan-Nya memegang tujuh bintang dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang mata dua yang tajam. Wajah-Nya bersinar-sinar laksana matahari pada waktu tengah hari. Apabila aku melihat-Nya, rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi. Dia meletakkan tangan kanan-Nya ke atasku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah Yang Pertama dan Yang Terakhir. Akulah Dia yang hidup. Aku pernah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku memegang anak kunci kematian dan alam maut. Oleh itu, tuliskanlah apa yang kaulihat, baik yang ada sekarang mahupun yang akan terjadi. Inilah maksud perlambangan tujuh bintang yang kaulihat di tangan kanan-Ku dan tujuh kaki pelita daripada emas itu. Tujuh bintang itu melambangkan para malaikat jemaah di tujuh tempat itu manakala tujuh kaki pelita itu melambangkan jemaah di situ.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami