MAZMUR 96:1-13
MAZMUR 96:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN! Bernyanyilah untuk TUHAN, hai seluruh dunia! Bernyanyilah untuk TUHAN, dan pujilah Dia! Setiap hari isytiharkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita. Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan kepada segenap manusia. TUHAN itu agung dan mesti dipuji setinggi-tingginya, Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa. Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN pencipta angkasa raya. Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan semarak-Nya. Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya! Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya. Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul; gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi! Katakanlah kepada semua bangsa, “TUHAN itu raja! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang; Dia akan menghakimi semua bangsa dengan adil.” Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Berderulah, hai laut dan segala isimu! Bergembiralah, hai ladang-ladang dan segala tanamanmu! Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan, apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan jujur dan adil.
MAZMUR 96:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Nyanyikanlah untuk TUHAN lagu baru; nyanyikanlah untuk TUHAN, seluruh bumi. Nyanyilah untuk TUHAN, berkatilah nama-Nya; isytiharkan berita baik penyelamatan-Nya dari hari ke hari. Isytiharkan kemuliaan-Nya dalam kalangan bangsa, mukjizat-Nya di antara semua umat-Nya. Kerana TUHAN Maha Besar dan besar puji untuk-Nya; Dia harus ditakuti di atas semua tuhan. Kerana semua tuhan bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi TUHAN telah menjadikan langit. Kehormatan dan keagungan ada di hadirat-Nya; kekuatan dan keindahan di dalam tempat suci-Nya. Berilah TUHAN, hai keluarga bangsa-bangsa, berilah TUHAN puji tentang kemuliaan dan kekuatan. Berilah TUHAN kemuliaan yang wajar bagi nama-Nya; bawalah persembahan, dan datanglah ke pekarangan-Nya. Sembahlah TUHAN dalam keindahan kesucian; gementarlah di hadirat-Nya, wahai seluruh bumi. Katakanlah dalam kalangan bangsa-bangsa, “TUHAN bertakhta memerintah.” Dunia tidak diganjak; Dia akan mengadili kaum-kaum dengan benar. Biarlah langit bergembira, dan biarlah bumi bersukacita; biarlah laut menderu, dan segala dalamnya; biarlah padang berbahagia, dan semua dalamnya. Kemudian semua pokok hutan akan bergembira di hadapan TUHAN kerana Dia akan datang, Dia akan datang untuk menghakimi bumi dengan keadilan dan kaum-kaum dengan kesetiaan-Nya.