MAZMUR 95:1-11
MAZMUR 95:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Marilah kita memuji TUHAN, dan bernyanyi dengan gembira kepada Allah, pelindung dan penyelamat kita! Marilah kita menghadap Dia dengan kesyukuran, dan dengan gembira menyanyikan lagu pujian. TUHAN itu Allah yang berkuasa, raja perkasa yang menguasai semua dewa. Dia memerintah seluruh bumi, gua yang terdalam dan juga gunung yang tertinggi. Dia menguasai laut yang dicipta-Nya, dan juga darat yang dibentuk-Nya. Marilah kita bersujud dan menyembah Dia; marilah kita berlutut di hadapan TUHAN, pencipta kita! Dialah Allah kita; kitalah umat yang dipelihara-Nya, seperti kawanan domba yang digembalakan-Nya. Pada hari ini dengarlah firman-Nya, “Jangan degil seperti nenek moyang kamu di Meriba, ketika mereka berada di gurun, di Masa. Di sana mereka menguji dan mencuba Aku, sungguhpun mereka sudah melihat perbuatan-Ku. Selama empat puluh tahun Aku muak terhadap mereka; Aku berfirman, ‘Alangkah derhakanya mereka! Mereka enggan taat kepada perintah-Ku.’ Aku murka lalu bersumpah bahawa mereka tidak sekali-kali akan masuk ke negeri itu, tempat Aku memberi mereka rehat.”
MAZMUR 95:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Marilah, marilah kita menyanyi untuk TUHAN; marilah kita bersorak riang untuk Batu Pejal penyelamatan kita. Marilah kita pergi ke hadirat-Nya sambil mengucap syukur, marilah kita bersorak riang untuk-Nya dengan mazmur. Kerana TUHAN ialah Allah Yang Maha Besar, Raja besar di atas semua tuhan. Dalam tangan-Nya tempat-tempat dalam di bumi, bukit-bukau yang tinggi juga milik-Nya. Laut milik-Nya kerana Dia yang menjadikannya, dan tangan-Nya membentuk daratan yang kering. Marilah, marilah kita menyembah dan tunduk, marilah kita berlutut di hadapan TUHAN Pencipta kita; kerana Dia Allah kita dan kita umat-Nya, kawanan domba di bawah tangan-Nya. Hari ini, jika kamu mahu dengar suara-Nya, janganlah keraskan hatimu, seperti di Meriba, seperti pada hari di Masa di padang gurun, ketika nenek moyangmu menguji-Ku, mereka mencuba-Ku meski mereka telah melihat perbuatan-Ku. Selama empat puluh tahun Aku berdukacita dengan keturunan itu; dan Aku berkata, “Kaum ini sesat dalam hatinya, dan tidak mengenal jalan-Ku.” Oleh itu, Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, “Mereka tidak akan masuk dalam rehat-Ku.”