MAZMUR 78:1-20

MAZMUR 78:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Sajak Asaf. Dengarlah ajaranku, hai umatku, dan perhatikanlah kata-kataku. Aku akan menggunakan kata-kata hikmat, dan menjelaskan rahsia zaman dahulu, perkara yang telah kita dengar dan ketahui, yang telah diberitahu oleh nenek moyang kita. Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak-anak kita, kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang kuasa TUHAN dan tindakan-Nya yang hebat, serta perbuatan ajaib yang telah dilakukan-Nya. Dia memberikan hukum kepada umat-Nya, Israel, dan perintah kepada keturunan Yakub. Dia memberikan amanah kepada nenek moyang kita supaya mengajarkan hukum-Nya kepada anak-anak mereka, supaya keturunan selanjutnya dapat mempelajarinya, dan kemudian memberitahunya kepada anak-anak mereka. Dengan demikian mereka juga akan berharap kepada Allah, dan tidak melupakan perbuatan-Nya, tetapi selalu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak akan menjadi seperti nenek moyang mereka, umat yang sentiasa memberontak dan tidak taat; iman mereka tidak pernah kukuh, dan mereka tidak setia kepada Allah. Orang Efraim yang bersenjatakan busur dan panah, melarikan diri pada masa pertempuran. Mereka tidak menepati perjanjian dengan Allah; mereka enggan taat kepada hukum-Nya. Mereka lupa akan segala perbuatan-Nya, mukjizat yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka. Di hadapan nenek moyang mereka, Allah melakukan mukjizat di dataran Zoan di negeri Mesir. Dia membelah laut dan memimpin mereka menyeberanginya; Dia membuat air tegak seperti tembok. Pada waktu siang Dia memimpin mereka dengan awan, dan pada waktu malam dengan cahaya api. Dia membelah bukit batu di gurun, dan memberi mereka air minum dari dasar bumi. Dia membuat air memancar dari batu, dan airnya mengalir seperti sungai. Tetapi mereka terus berdosa terhadap Allah, serta memberontak terhadap Yang Maha Tinggi di padang gurun. Mereka sengaja menguji Allah, mereka meminta makanan yang diinginkan. Mereka melawan Allah dengan berkata, “Dapatkah Allah menyediakan makanan di gurun? Memang benar Dia telah membelah bukit batu, dan air sederas sungai mengalir daripadanya; tetapi dapatkah Dia menyediakan roti bagi kita, dan memberikan daging bagi umat-Nya?”

MAZMUR 78:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengarlah hai umatku, ajaran tentang hukum; pasang telingamu untuk mendengar kata-kataku. Aku akan membuka mulut menggunakan ibarat; aku akan menuturkan kata-kata zaman dahulu yang penuh rahsia — yang telah kita dengar dan ketahui, dan telah disampaikan oleh nenek moyang kita. Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak cucu mereka; kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang pujian untuk TUHAN, dan kekuatan-Nya, serta hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan. Kerana Dia telah menetapkan peraturan pada Yakub dan mengadakan hukum baru bagi Israel, yang diperintahkan-Nya kepada nenek moyang kita supaya diberitahu kepada anak-anak mereka, agar keturunan akan datang mengetahuinya, anak-anak yang bakal lahir, dan mereka akan bangkit mengisytiharkannya kepada anak-anak mereka. Dengan demikian mereka akan menyandarkan harapan kepada Allah dan tidak melupakan hasil kerja Allah serta mematuhi perintah-perintah-Nya. Maka tidaklah mereka menjadi seperti nenek moyang mereka — keturunan yang degil dan memberontak, Keturunan yang tidak membetulkan hatinya, dan yang rohnya tidak setia kepada Allah. Kaum Efraim yang bersenjatakan panah, berundur pada hari pertempuran; mereka tidak berpegang kepada perjanjian Allah; mereka tidak mahu hidup mengikut hukum-Nya. Dan melupakan hasil kerja-Nya, serta keajaiban yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka. Perbuatan yang menakjubkan telah dilakukan-Nya di hadapan nenek moyang mereka di Tanah Mesir, di padang Zoan. Dia telah membelah laut dan membolehkan mereka menyeberanginya; Dia menegakkan air seperti tembok. Pada waktu siang Dia memandu mereka dengan awan dan sepanjang malam dengan cahaya api. Dia membelah batu pejal di gurun dan memberi mereka minuman sebanyak-banyaknya air di lautan dalam; Dia memancarkan air dari batu pejal dan membuatnya mengalir seperti sungai. Tetapi mereka semakin berdosa terhadap-Nya, dengan menderhaka terhadap Yang Maha Tinggi di gurun. Dan mereka menguji Allah dalam hati mereka dengan meminta makanan yang diingini. Ya, mereka bercakap menentang Allah, mereka berkata, “Dapatkah Allah menyediakan jamuan di gurun? Lihatlah, Dia memukul batu pejal supaya air memancut keluar, dan sungai melimpah. Dapatkah Dia memberi roti juga? Dapatkah Dia membekalkan daging kepada umat-Nya?”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami