Mazmur 78:1-20

Mazmur 78:1-20 AVB

Dengarlah hai umatku, ajaran tentang hukum; pasang telingamu untuk mendengar kata-kataku. Aku akan membuka mulut menggunakan ibarat; aku akan menuturkan kata-kata zaman dahulu yang penuh rahsia — yang telah kita dengar dan ketahui, dan telah disampaikan oleh nenek moyang kita. Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak cucu mereka; kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang pujian untuk TUHAN, dan kekuatan-Nya, serta hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan. Kerana Dia telah menetapkan peraturan pada Yakub dan mengadakan hukum baru bagi Israel, yang diperintahkan-Nya kepada nenek moyang kita supaya diberitahu kepada anak-anak mereka, agar keturunan akan datang mengetahuinya, anak-anak yang bakal lahir, dan mereka akan bangkit mengisytiharkannya kepada anak-anak mereka. Dengan demikian mereka akan menyandarkan harapan kepada Allah dan tidak melupakan hasil kerja Allah serta mematuhi perintah-perintah-Nya. Maka tidaklah mereka menjadi seperti nenek moyang mereka — keturunan yang degil dan memberontak, Keturunan yang tidak membetulkan hatinya, dan yang rohnya tidak setia kepada Allah. Kaum Efraim yang bersenjatakan panah, berundur pada hari pertempuran; mereka tidak berpegang kepada perjanjian Allah; mereka tidak mahu hidup mengikut hukum-Nya. Dan melupakan hasil kerja-Nya, serta keajaiban yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka. Perbuatan yang menakjubkan telah dilakukan-Nya di hadapan nenek moyang mereka di Tanah Mesir, di padang Zoan. Dia telah membelah laut dan membolehkan mereka menyeberanginya; Dia menegakkan air seperti tembok. Pada waktu siang Dia memandu mereka dengan awan dan sepanjang malam dengan cahaya api. Dia membelah batu pejal di gurun dan memberi mereka minuman sebanyak-banyaknya air di lautan dalam; Dia memancarkan air dari batu pejal dan membuatnya mengalir seperti sungai. Tetapi mereka semakin berdosa terhadap-Nya, dengan menderhaka terhadap Yang Maha Tinggi di gurun. Dan mereka menguji Allah dalam hati mereka dengan meminta makanan yang diingini. Ya, mereka bercakap menentang Allah, mereka berkata, “Dapatkah Allah menyediakan jamuan di gurun? Lihatlah, Dia memukul batu pejal supaya air memancut keluar, dan sungai melimpah. Dapatkah Dia memberi roti juga? Dapatkah Dia membekalkan daging kepada umat-Nya?”