MAZMUR 71:1-24
MAZMUR 71:1-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, aku datang kepada-Mu untuk perlindungan; jangan biarkan aku dipermalukan. Kerana Engkau adil, tolonglah aku dan bebaskanlah aku. Dengarlah aku dan selamatkanlah aku! Jadilah perlindungan yang kukuh bagiku, serta kubu yang kuat untuk melindungi aku; Engkaulah penaung dan pembelaku. Ya Allahku, selamatkanlah aku daripada orang jahat, daripada kuasa manusia yang tidak adil dan kejam. Ya TUHAN Raja, aku berharap kepada-Mu; aku percaya kepada-Mu sejak masa mudaku. Aku bergantung kepada-Mu seumur hidupku; sejak aku dilahirkan, Engkau melindungi aku. Aku akan sentiasa memuji Engkau. Kehidupanku menjadi teladan kepada banyak orang, kerana Engkau pembelaku yang kuat. Sepanjang hari aku memuji-Mu dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu. Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua; janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah. Musuhku hendak membunuh aku; mereka berbincang dan bersekongkol menentang aku. Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia; marilah kita kejar dan tangkap dia, kerana tiada sesiapa akan menyelamatkan dia!” Ya Allah, janganlah jauhi aku, ya Allahku, cepatlah tolong aku! Biarlah mereka yang menyerang aku dikalahkan serta dibinasakan! Biarlah mereka yang cuba mencelakakan aku dipermalukan dan dihinakan! Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu, dan semakin memuji-Mu. Aku akan mengisahkan kebaikan-Mu; sepanjang hari aku akan menceritakan penyelamatan daripada-Mu, walaupun hal ini melampaui pengertianku. Aku akan memuji perbuatan-Mu yang perkasa, ya TUHAN Raja, aku akan mengisytiharkan kebaikan-Mu, kebaikan-Mu sahaja. Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku; sampai sekarang aku menceritakan perbuatan-Mu yang menakjubkan itu. Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban, jangan tinggalkan aku, ya Allah. Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu kepada semua keturunan yang akan datang. Kebaikan-Mu, ya Allah, memuncak ke langit. Engkau telah melakukan perkara yang besar-besar; Engkau tiada bandingnya! Engkau telah mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada diriku, tetapi Engkau akan memulihkan kekuatanku; Engkau akan menjauhkan aku dari kubur. Engkau akan membuat aku lebih terhormat; Engkau akan menghiburkan aku semula. Sesungguhnya aku akan memuji Engkau dengan kecapi; aku akan memuji kesetiaan-Mu, ya Allahku. Aku akan menyanyikan mazmur untuk-Mu dengan kecapi, ya Allah umat Israel, Allah Yang Suci. Aku akan bersorak ketika memainkan kecapi; aku akan menyanyi dengan segenap jiwaku, kerana Engkau telah menyelamatkan aku. Sepanjang hari aku akan mengisahkan kesetiaan-Mu, kerana mereka yang cuba mencelakakan aku telah dikalahkan dan dipermalukan.
MAZMUR 71:1-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu. Selamatkanlah aku dalam perbenaran-Mu dan biar aku melepaskan diri; dengarlah rayuanku, dan selamatkan aku. Jadilah batu pejal perlindunganku yang perkasa, tempat aku bernaung setiap waktu; Engkau telah memberikan perintah supaya aku diselamatkan, kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku. Selamatkanlah aku, ya Allahku, daripada tangan orang zalim, daripada tangan orang durjana dan kejam. Kerana Engkaulah harapanku, ya Tuhan yang perkasa; ya TUHAN, Engkaulah kepercayaanku sejak daripada usia mudaku. Kepada-Mu aku bersandar sejak kelahiran; Engkaulah yang membawaku keluar daripada rahim ibuku. Aku akan sentiasa memuji-Mu. Aku telah menimbulkan takjub orang ramai, tetapi Engkau pelindungku yang perkasa. Biarlah aku sentiasa memuji-Mu, dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu sepanjang hari. Janganlah singkirkan aku dalam usia tua; jangan tinggalkan aku ketika kekuatanku hilang. Kerana musuhku mencerca aku; dan mereka yang mengendap untuk meragut nyawaku berpakat sama sendiri. Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia; buru dan tangkaplah dia, kerana tiada siapa yang akan menyelamatkannya.” Ya Allah, janganlah jauh daripadaku; Ya Allahku, segeralah tolong aku. Biar mereka dicela dan dihina; mereka yang cuba mencederakan aku akan dihina dan diaibkan. Aku akan sentiasa berharap; dan akan lebih-lebih lagi memuji-Mu. Lidahku akan menuturkan perbenaran-Mu, dan penyelamatan-Mu sepanjang hari, meski aku tidak dapat menduga batas-batasnya. Aku akan mengisytiharkan perbuatan-Mu, ya Tuhan ALLAH yang perkasa; aku akan menyebut perbenaran-Mu, yang hanya milik-Mu. Ya Allah, Engkau telah mengajarku sejak daripada usia mudaku, dan hingga hari ini aku tetap mengisytiharkan perbuatan-Mu yang menakjubkan. Kini aku sudah tua dan rambutku putih, Ya Allah, jangan tinggalkan aku, kuisytiharkan kuasa-Mu kepada orang zaman ini, kekuatan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang. Perbenaran-Mu, ya Allah, mencecah langit, Engkau telah membuat perkara yang besar-besar. Ya Allah, siapa yang serupa dengan-Mu? Engkau yang telah memberiku penderitaan yang pedih, Engkau akan memulihkan aku; dan membawaku naik semula dari perut bumi. Engkau akan menambah kebesaranku dan melipurkan hatiku sepenuhnya. Dengan kecapi aku akan memuji-Mu bagi kesetiaan-Mu, ya Allahku; Untuk-Mu aku akan menyanyi sambil bermain kecapi, Ya Allah Israel, ya Allah Yang Maha Suci. Bibirku bergembira menyanyi untuk-Mu — begitu juga jiwaku yang telah Kauselamatkan. Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu sepanjang hari, kerana mereka telah dikelirukan dan mereka telah dimalukan, mereka yang cuba mencederakan aku.