Mazmur 71:1-24

Mazmur 71:1-24 AVB

Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu. Selamatkanlah aku dalam perbenaran-Mu dan biar aku melepaskan diri; dengarlah rayuanku, dan selamatkan aku. Jadilah batu pejal perlindunganku yang perkasa, tempat aku bernaung setiap waktu; Engkau telah memberikan perintah supaya aku diselamatkan, kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku. Selamatkanlah aku, ya Allahku, daripada tangan orang zalim, daripada tangan orang durjana dan kejam. Kerana Engkaulah harapanku, ya Tuhan yang perkasa; ya TUHAN, Engkaulah kepercayaanku sejak daripada usia mudaku. Kepada-Mu aku bersandar sejak kelahiran; Engkaulah yang membawaku keluar daripada rahim ibuku. Aku akan sentiasa memuji-Mu. Aku telah menimbulkan takjub orang ramai, tetapi Engkau pelindungku yang perkasa. Biarlah aku sentiasa memuji-Mu, dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu sepanjang hari. Janganlah singkirkan aku dalam usia tua; jangan tinggalkan aku ketika kekuatanku hilang. Kerana musuhku mencerca aku; dan mereka yang mengendap untuk meragut nyawaku berpakat sama sendiri. Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia; buru dan tangkaplah dia, kerana tiada siapa yang akan menyelamatkannya.” Ya Allah, janganlah jauh daripadaku; Ya Allahku, segeralah tolong aku. Biar mereka dicela dan dihina; mereka yang cuba mencederakan aku akan dihina dan diaibkan. Aku akan sentiasa berharap; dan akan lebih-lebih lagi memuji-Mu. Lidahku akan menuturkan perbenaran-Mu, dan penyelamatan-Mu sepanjang hari, meski aku tidak dapat menduga batas-batasnya. Aku akan mengisytiharkan perbuatan-Mu, ya Tuhan ALLAH yang perkasa; aku akan menyebut perbenaran-Mu, yang hanya milik-Mu. Ya Allah, Engkau telah mengajarku sejak daripada usia mudaku, dan hingga hari ini aku tetap mengisytiharkan perbuatan-Mu yang menakjubkan. Kini aku sudah tua dan rambutku putih, Ya Allah, jangan tinggalkan aku, kuisytiharkan kuasa-Mu kepada orang zaman ini, kekuatan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang. Perbenaran-Mu, ya Allah, mencecah langit, Engkau telah membuat perkara yang besar-besar. Ya Allah, siapa yang serupa dengan-Mu? Engkau yang telah memberiku penderitaan yang pedih, Engkau akan memulihkan aku; dan membawaku naik semula dari perut bumi. Engkau akan menambah kebesaranku dan melipurkan hatiku sepenuhnya. Dengan kecapi aku akan memuji-Mu bagi kesetiaan-Mu, ya Allahku; Untuk-Mu aku akan menyanyi sambil bermain kecapi, Ya Allah Israel, ya Allah Yang Maha Suci. Bibirku bergembira menyanyi untuk-Mu — begitu juga jiwaku yang telah Kauselamatkan. Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu sepanjang hari, kerana mereka telah dikelirukan dan mereka telah dimalukan, mereka yang cuba mencederakan aku.