MAZMUR 57:1-11
MAZMUR 57:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, pada masa dia lari ke dalam gua untuk menghindari Raja Saul. Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku, kerana aku mencari keselamatan daripada-Mu. Aku mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu, sehingga ribut yang mengamuk sudah berlalu. Kepada Allah Yang Maha Tinggi aku berseru, Dia Allah yang memenuhi segala keperluanku. Dia akan menjawab dari syurga dan menyelamatkan aku; Dia akan mengalahkan orang yang menindas aku. Allah akan menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepadaku. Aku dikepung oleh musuh, mereka seperti singa pemakan manusia. Gigi mereka seperti lembing dan anak panah; lidah mereka seperti pedang yang tajam. Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi! Musuhku memasang jaring untuk menangkap aku, aku diliputi perasaan putus asa. Mereka menggali lubang di jalanku, tetapi mereka sendiri terjatuh ke dalamnya. Ya Allah, aku sungguh yakin kepada-Mu; aku hendak menyanyi dan memuji Engkau! Bangunlah, hai jiwaku! Bangunlah, hai gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan matahari! Ya Tuhan, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. Aku akan memuji Engkau antara umat manusia. Kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi.
MAZMUR 57:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku, kerana jiwaku percaya kepada-Mu. Dan di bawah naungan sayap-Mu aku akan berlindung sehingga segala malapetaka ini berlalu. Aku akan berseru kepada Allah Yang Maha Tinggi, kepada Allah yang melakukan segalanya untukku. Dia akan menghantar bantuan dari syurga dan menyelamatkan aku, Dia memurkai orang yang ingin membinasakan aku; Sela Allah akan menghantar kasih-Nya dan kesetiaan-Nya. Jiwaku dikepung singa; aku terbaring di antara anak-anak manusia yang ganas membakar seperti api — gigi mereka lembing dan anak panah, dan lidah mereka pedang yang tajam. Maha Tinggi Engkau, ya Allah, memerintah langit; tunjukkan kemuliaan-Mu menguasai seluruh bumi. Mereka telah memasang jerat supaya kakiku terperosok; jiwaku tertekan. Mereka telah menggali lubang yang dalam untukku; lalu mereka sendiri terjatuh ke dalamnya. Sela Hatiku teguh, ya Allah, hatiku teguh; aku akan menyanyi dan menggubah pujian. Bangunlah, jiwaku! Bangunlah, gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan fajar. Aku akan memuji-Mu, ya Tuhan, dalam kalangan bangsa-bangsa; aku akan menyanyi untuk-Mu dalam kalangan umat manusia. Kerana kasih-Mu menjangkau langit; dan kesetiaan-Mu mencapai awan. Maha Tinggi Engkau, ya Allah, memerintah langit; dan kemuliaan-Mu di atas seluruh bumi.