MAZMUR 50:1-23
MAZMUR 50:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Asaf. TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa berfirman; Dia berseru kepada seluruh bumi dari timur sampai ke barat. Dari Sion, kota yang terindah, Allah bersinar seperti matahari. Apabila Allah kita datang, Dia tidak diam; api yang bernyala-nyala mendahului Dia, ribut yang sangat kencang mengelilingi-Nya. Dia menyuruh syurga dan bumi menjadi saksi, untuk melihat Dia menghakimi umat-Nya. Dia berfirman, “Himpunkanlah umat-Ku yang setia, yang telah mengikat perjanjian dengan Aku dan mengukuhkannya dengan mempersembahkan korban.” Langit mengisytiharkan keadilan Allah, kerana Allah itu hakim. “Dengarlah, hai umat-Ku, Aku akan berfirman; Aku akan menyalahkan kamu, hai Israel. Akulah Allah, Allah kamu. Aku tidak menyalahkan kamu kerana persembahan kamu, dan korban untuk menyenangkan hati-Ku yang selalu kamu persembahkan. Aku tidak memerlukan lembu jantan dari ladang kamu, ataupun kambing daripada ternakan kamu, kerana haiwan di hutan milik-Ku, dan juga lembu di atas ribuan bukit. Semua burung liar kepunyaan-Ku, juga semua makhluk hidup di padang. Jika Aku lapar, Aku tidak minta makanan daripada kamu, kerana dunia serta segala isinya milik-Ku. Adakah Aku makan daging lembu jantan, ataupun minum darah kambing? Persembahkanlah ucapan syukur sebagai korban kepada Allah, berikanlah segala persembahan yang kamu janjikan kepada Yang Maha Kuasa. Berserulah kepada-Ku pada masa kesusahan; Aku akan menyelamatkan kamu, dan kamu akan memuji Aku.” Tetapi Allah berfirman kepada orang jahat, “Kamu tidak berhak menghafaz hukum-Ku dan membincangkan perjanjian-Ku, kerana kamu tidak mahu menerima tegur ajar-Ku; kamu menolak perintah-Ku. Apabila kamu melihat pencuri, kamu berkawan dengan mereka, kamu bergaul dengan orang yang berzina. Kamu sentiasa mengatakan yang jahat; dengan tidak ragu-ragu kamu berdusta. Kamu sedia menuduh saudara kamu, dan memfitnah saudara sekandung. Itulah yang kamu lakukan, tetapi Aku diam sahaja, maka kamu berfikir Aku seperti kamu juga. Tetapi sekarang Aku mencela kamu, dan menjadikan perkara itu nyata bagi kamu. Dengarlah, hai kamu yang melupakan Aku, jika tidak, Aku akan membinasakan kamu; dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu. Orang yang mempersembahkan ucapan syukur sebagai korban untuk menghormati Aku, dan orang yang taat kepada-Ku akan Kuselamatkan.”
MAZMUR 50:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Allah, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman dan berseru kepada bumi daripada terbitnya hingga terbenamnya matahari. Dari Sion, puncak keindahan, Allah akan memancarkan cahaya-Nya. Allah kita, akan datang dan tidak akan berdiam diri; api yang membakar mendahului-Nya, ribut yang kencang mengelilingi-Nya. Dia akan berseru kepada langit dari takhta-Nya, dan kepada bumi, supaya menyaksikan Dia menghakimi umat-Nya: “Himpunkan umat-Ku yang warak di hadapan-Ku, mereka yang telah mengikat perjanjian dengan-Ku dan meneguhkannya dengan korban.” Langit mengisytiharkan keadilan-Nya, kerana Allah itu hakim. Sela “Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan berfirman, Wahai Israel, Aku akan naik saksi tentang kesalahanmu: Akulah Allah, Allahmu. Aku tidak menyalahkan kamu kerana korban sembelihanmu, atau kerana korban bakaran yang sentiasa kamu persembahkan kepada-Ku. Aku tidak memerlukan lembu jantan dari kandang di rumahmu atau kambing dari kawananmu, kerana setiap haiwan di gurun ialah milik-Ku, begitu juga lembu di atas seribu bukit. Aku mengenal semua burung di pergunungan, dan haiwan liar di padang semuanya milik-Ku. Kalaulah Aku lapar, Aku tidak akan memberitahumu, kerana dunia ini milik-Ku, dengan seluruh isinya. Adakah Aku akan makan daging lembu jantan atau minum darah kambing? Persembahkan kesyukuran kepada Allah, dan tunaikan janjimu kepada Yang Maha Tinggi, berdoalah kepada-Ku pada masa kesusahan; Aku akan menyelamatkanmu, dan kamu akan memuliakan-Ku.” Tetapi kepada orang zalim, Allah berfirman: “Kamu tidak berhak mengisytiharkan hukum-Ku atau melafazkan perjanjian-Ku. Kerana kamu benci akan ajaran-Ku dan membelakangi firman-Ku. Apabila melihat pencuri, kamu berpakat dengannya; dan kamu telah menyertai orang berzina. Kamu sentiasa menuturkan kejahatan dan merancang penipuan. Kamu duduk mengumpat saudara sendiri kamu memfitnah saudara kandungmu. Kamu telah melakukan semua ini, dan Aku berdiam diri; kamu menyangka Aku serupa denganmu. Tetapi sekarang Aku memarahimu dan menjelaskan semuanya kepadamu. Fikirkan semua ini, hai kamu yang melupakan Allah, jangan sampai Aku membinasakanmu, dan tiada siapa dapat menyelamatkanmu: Orang yang mempersembahkan pujian memuliakan Aku, dan kepada orang yang berkelakuan baik Aku akan menunjukkan penyelamatan Allah.”