Allah, TUHAN Yang Maha Kuasa,
telah berfirman dan berseru kepada bumi
daripada terbitnya hingga terbenamnya matahari.
Dari Sion, puncak keindahan,
Allah akan memancarkan cahaya-Nya.
Allah kita, akan datang dan tidak akan berdiam diri;
api yang membakar mendahului-Nya,
ribut yang kencang mengelilingi-Nya.
Dia akan berseru kepada langit dari takhta-Nya,
dan kepada bumi, supaya menyaksikan Dia menghakimi umat-Nya:
“Himpunkan umat-Ku yang warak di hadapan-Ku,
mereka yang telah mengikat perjanjian dengan-Ku
dan meneguhkannya dengan korban.”
Langit mengisytiharkan keadilan-Nya,
kerana Allah itu hakim. Sela
“Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan berfirman,
Wahai Israel, Aku akan naik saksi tentang kesalahanmu:
Akulah Allah, Allahmu.
Aku tidak menyalahkan kamu kerana korban sembelihanmu,
atau kerana korban bakaran yang sentiasa kamu persembahkan kepada-Ku.
Aku tidak memerlukan lembu jantan dari kandang di rumahmu atau kambing dari kawananmu,
kerana setiap haiwan di gurun ialah milik-Ku,
begitu juga lembu di atas seribu bukit.
Aku mengenal semua burung di pergunungan,
dan haiwan liar di padang semuanya milik-Ku.
Kalaulah Aku lapar, Aku tidak akan memberitahumu,
kerana dunia ini milik-Ku, dengan seluruh isinya.
Adakah Aku akan makan daging lembu jantan atau minum darah kambing?
Persembahkan kesyukuran kepada Allah,
dan tunaikan janjimu kepada Yang Maha Tinggi,
berdoalah kepada-Ku pada masa kesusahan;
Aku akan menyelamatkanmu,
dan kamu akan memuliakan-Ku.”
Tetapi kepada orang zalim, Allah berfirman:
“Kamu tidak berhak mengisytiharkan hukum-Ku
atau melafazkan perjanjian-Ku.
Kerana kamu benci akan ajaran-Ku
dan membelakangi firman-Ku.
Apabila melihat pencuri, kamu berpakat dengannya;
dan kamu telah menyertai orang berzina.
Kamu sentiasa menuturkan kejahatan
dan merancang penipuan.
Kamu duduk mengumpat saudara sendiri kamu memfitnah saudara kandungmu.
Kamu telah melakukan semua ini, dan Aku berdiam diri;
kamu menyangka Aku serupa denganmu.
Tetapi sekarang Aku memarahimu
dan menjelaskan semuanya kepadamu.
Fikirkan semua ini, hai kamu yang melupakan Allah,
jangan sampai Aku membinasakanmu,
dan tiada siapa dapat menyelamatkanmu:
Orang yang mempersembahkan pujian memuliakan Aku,
dan kepada orang yang berkelakuan baik
Aku akan menunjukkan penyelamatan Allah.”