MAZMUR 40:1-17

MAZMUR 40:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Aku menanti pertolongan TUHAN dengan sabar, lalu Dia memperhatikan aku dan mendengar seruanku. Dia menarik aku dari lubang yang berbahaya, dari paya yang berlumpur. Dia meletakkan aku di atas batu sehingga langkahku kukuh. Dia mengajar aku menyanyi lagu yang baru, lagu pujian untuk Allah kita. Banyak orang yang melihat perkara ini akan menjadi takut lalu percaya kepada TUHAN. Berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN, orang yang tidak menyembah berhala atau mengikut mereka yang menyembah dewa. Engkau telah melakukan banyak perkara untuk kami, ya TUHAN, Allahku, Engkau tidak ada bandingnya! Engkau telah membuat banyak rancangan yang baik untuk kami, tidak mungkin aku dapat menceritakan segalanya. Engkau tidak mahu korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa. Tetapi Engkau telah memberi aku telinga yang dapat mendengar firman-Mu. Oleh itu aku menyahut, “Inilah aku; arahan-Mu untukku tercatat di dalam kitab Taurat. Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Allahku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.” Dalam perhimpunan umat-Mu aku menceritakan berita baik bahawa Engkau telah menyelamatkan kami. Dengan tidak hentinya, aku menceritakannya. Ya TUHAN, Engkau mengetahui semuanya. Aku tidak menyimpan berita penyelamatan itu dalam hati; aku selalu menceritakan pertolongan dan kesetiaan-Mu. Dalam perhimpunan umat-Mu, aku tidak pernah berdiam diri tentang kesetiaan dan kasih-Mu. Ya TUHAN, janganlah berhenti mengasihani aku; peliharalah aku dengan kasih dan kesetiaan-Mu. Aku dikelilingi banyak kesusahan, jumlahnya tidak terkira. Dosa-dosaku telah mengejar aku, sehingga aku tidak dapat melihat. Jumlahnya melebihi rambut di kepalaku, dan aku kehilangan semangat. Ya TUHAN, selamatkanlah aku! Ya TUHAN, cepatlah tolong aku! Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dibingungkan. Biarlah mereka yang gembira kerana kesusahanku, dipukul mundur dan dipermalukan. Biarlah mereka yang mengejek aku terkejut dan malu kerana dikalahkan. Semoga semua orang yang datang kepada-Mu bergembira dan bersukacita! Semoga mereka yang bersyukur bagi penyelamatan-Mu sentiasa berkata, “Sungguh agungnya TUHAN!”

MAZMUR 40:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku menantikan TUHAN dengan sabar; lalu Dia berpaling kepadaku dan mendengar rayuanku. Dia mengeluarkanku daripada lubang yang dahsyat, daripada tanah liat berpaya; dan meletakkan aku berpijak di atas bukit batuan serta menetapkan langkahku. Dia telah meletakkan nyanyian baru di bibirku, puji-pujian kepada Allah kita. Ramai yang akan melihat dan berasa takut lalu percaya kepada TUHAN. Diberkatilah orang yang menjadikan TUHAN kepercayaannya, dan tidak gentar terhadap orang angkuh serta pendusta. Sungguh banyak, ya TUHAN, Ya Allahku, perbuatan menakjubkan yang telah Kaulakukan. Dan ingatan-Mu kepada kami tidak dapat disebutkan satu persatu; kalaulah aku cuba mengisytiharkannya, banyaknya tidak terkira. Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah membukakan telingaku; persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai. Kemudian aku berkata, “Lihatlah, aku telah datang — dalam naskhah kitab ada tersurat tentangku. Aku sukacita menjalankan kehendak-Mu, ya Allahku; dan hukum-Mu tertera dalam hatiku.” Aku telah mengisytiharkan berita baik tentang perbenaran di perhimpunan besar; sesungguhnya aku tidak mengekang mulutku, Ya TUHAN, Engkau sendiri mengetahui. Aku tidak menyembunyikan perbenaran-Mu dalam hatiku; aku telah mengisytiharkan kesetiaan-Mu dan penyelamatan-Mu. Aku tidak merahsiakan kasih-Mu dan kebenaran-Mu daripada perhimpunan besar. Janganlah berhenti memberikan belas kasihan-Mu, ya TUHAN; peliharakanlah aku sentiasa dengan kasih-Mu dan kebenaran-Mu. Kerana terlalu banyak kejahatan mengelilingiku; dosaku telah dapat memburuku, tidak terdaya aku mengangkat mata. Bilangannya melebihi rambut di kepalaku, maka hatiku tidak bermaya menghadapinya. Ya TUHAN, berkenanlah untuk menyelamatkanku; Ya TUHAN, segeralah tolong aku. Biar mereka dimalukan dan dikelirukan, mereka yang ingin meragut nyawaku; biar mereka berundur dan menanggung aib mereka yang hendak memusnahkan aku. Biar mereka berundur kerana malu, mereka yang mengejekku, “Aha! Aha!” Biar semua yang mencari-Mu bergembira dan bersukacita kerana-Mu; dan biar mereka yang cinta akan penyelamatan-Mu berkata sentiasa, “TUHAN Maha Tinggi!” Aku miskin dan sesak; tetapi Tuhan ingat kepadaku. Engkaulah penolong dan penyelamatku; janganlah berlengah-lengah, ya Allahku.

MAZMUR 40:1-17

MAZMUR 40:1-17 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami