MAZMUR 37:1-15

MAZMUR 37:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Mazmur Daud. Jangan geram kerana orang jahat; jangan cemburu akan mereka yang berbuat salah. Mereka segera lenyap seperti rumput, dan layu seperti tumbuh-tumbuhan hijau. Percayalah kepada TUHAN dan buatlah perkara yang baik; tinggallah di negeri ini dan kamu akan selamat. Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu. Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau; Dia akan menyebabkan kebaikanmu bersinar seperti matahari pada waktu tengah hari. Nantikanlah TUHAN dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak. Jangan geram kerana orang yang hidup makmur, atau kerana orang yang melakukan tipu muslihat. Jangan marah atau panas hati; hal itu hanya mendatangkan kecelakaan. Orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi orang yang jahat akan diusir. Orang yang jahat akan lenyap dengan segera; walaupun dicari, mereka tidak akan dijumpai. Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah. Orang jahat berkomplot menentang orang baik dan memandang mereka dengan benci. Tetapi Tuhan mentertawakan orang jahat, kerana Dia tahu kesudahan mereka sudah dekat. Orang jahat menghunus pedang dan melengkungkan busur untuk membunuh orang yang miskin dan susah, untuk membantai orang yang baik; tetapi mereka akan ditikam oleh pedang mereka sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan.

MAZMUR 37:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jangan gusar kerana orang melakukan kejahatan dan jangan iri hati kepada orang yang melakukan kedurjanaan; kerana tidak lama lagi mereka akan ditebas seperti rumput, dan layu seperti layunya tumbuhan hijau. Percayalah kepada TUHAN, dan lakukan kebaikan; tinggallah di tanah ini dan berpeganglah kepada kesetiaan-Nya. Cari kebahagiaan daripada TUHAN, maka Dia akan menunaikan hasrat hatimu. Serahkan jalan hidupmu kepada TUHAN; percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak: Dia akan menyatakan perbenaranmu seterang cahaya, dan keadilanmu seterang matahari tengah hari. Sandarkan hatimu kepada TUHAN dan sabarlah menanti tindakan-Nya; jangan gusar kerana ada yang makmur mengikut jalan sendiri, kerana ada yang menjayakan rancangan zalim. Jangan marah, jangan meradang; jangan gusar — segalanya cuma membawa mudarat. Orang yang melakukan kejahatan akan dimusnahkan, tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi bumi. Hanya seketika lagi, orang zalim akan lenyap; malah kamu akan mencari dengan teliti bekas tempatnya, tetapi hapus sama sekali. Orang yang rendah hati akan mewarisi bumi dan akan bersukacita dengan kesejahteraan yang melimpah-limpah. Orang zalim menyusun rancangan menentang orang yang benar dan menggertakkan gigi terhadapnya; Tuhan mentertawakannya, kerana Tuhan tahu harinya akan tiba. Orang zalim telah menghunus pedang dan melengkungkan busur mereka untuk menindas orang miskin dan sesak, serta membunuh orang yang hidup tulus. Pedang mereka akan menembusi hati sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan.