MAZMUR 37:1-15

MAZMUR 37:1-15 BM

Mazmur Daud. Jangan geram kerana orang jahat; jangan cemburu akan mereka yang berbuat salah. Mereka segera lenyap seperti rumput, dan layu seperti tumbuh-tumbuhan hijau. Percayalah kepada TUHAN dan buatlah perkara yang baik; tinggallah di negeri ini dan kamu akan selamat. Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu. Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau; Dia akan menyebabkan kebaikanmu bersinar seperti matahari pada waktu tengah hari. Nantikanlah TUHAN dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak. Jangan geram kerana orang yang hidup makmur, atau kerana orang yang melakukan tipu muslihat. Jangan marah atau panas hati; hal itu hanya mendatangkan kecelakaan. Orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi orang yang jahat akan diusir. Orang yang jahat akan lenyap dengan segera; walaupun dicari, mereka tidak akan dijumpai. Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah. Orang jahat berkomplot menentang orang baik dan memandang mereka dengan benci. Tetapi Tuhan mentertawakan orang jahat, kerana Dia tahu kesudahan mereka sudah dekat. Orang jahat menghunus pedang dan melengkungkan busur untuk membunuh orang yang miskin dan susah, untuk membantai orang yang baik; tetapi mereka akan ditikam oleh pedang mereka sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MAZMUR 37:1-15