MAZMUR 33:1-22
MAZMUR 33:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Hai orang salih, bersoraklah dengan gembira kerana segala yang dilakukan TUHAN; pujilah Dia, hai semua orang yang taat kepada-Nya! Bersyukurlah kepada TUHAN dengan kecapi, bernyanyilah dengan iringan alat muzik bertali. Nyanyikanlah lagu yang baru untuk TUHAN, mainkanlah kecapi dengan mahir, dan nyanyilah dengan suara yang kuat! Firman TUHAN itu benar, dan segala perbuatan-Nya boleh dipercayai. TUHAN mengasihi kejujuran dan keadilan; seluruh bumi penuh dengan kasih-Nya. TUHAN mencipta langit dengan perintah-Nya, matahari, bulan, dan bintang dijadikan oleh firman-Nya. Dia mengumpulkan laut di suatu tempat; Dia menahan lautan di dalam bendungan. Takutlah akan TUHAN, hai seluruh bumi! Hormatilah Dia, hai semua penduduk dunia! Apabila Dia berfirman, dunia tercipta; oleh firman-Nya, segala-galanya dijadikan. TUHAN menggagalkan rancangan bangsa-bangsa; Dia meniadakan niat mereka. Tetapi rancangan TUHAN tahan selama-lamanya, dan tujuan-Nya tidak berkesudahan. Berbahagialah bangsa yang mengakui TUHAN sebagai Allahnya; berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya! TUHAN memandang ke bawah dari syurga, dan melihat semua manusia. Dari takhta-Nya Dia mengamati semua yang tinggal di bumi. Dialah yang membentuk hati mereka, dan mengetahui segala perbuatan mereka. Raja menang bukan kerana tenteranya besar, askar menang bukan kerana kuat. Kuda tidak dapat diharap untuk memenangi perang; kekuatan kuda tidak dapat menyelamatkan. TUHAN memerhatikan mereka yang mentaati-Nya, mereka yang mengharapkan kasih-Nya. Dia menyelamatkan mereka daripada kematian; Dia memelihara nyawa mereka pada masa kelaparan. Kita berharap kepada TUHAN; Dialah penolong dan pelindung kita. Kita bersukacita kerana Dia; kita percaya kepada nama-Nya yang suci. Semoga kasih-Mu menyertai kami, ya TUHAN, kerana kami berharap kepada-Mu.
MAZMUR 33:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bergembiralah tentang TUHAN, wahai orang yang benar; kerana pujian daripada orang tulus sungguh indah. Pujilah TUHAN dengan bermain kecapi; mainkan lagu untuk-Nya dengan alat bertali sepuluh. Nyanyikan lagu baru untuk-Nya; mainkan dengan mahir sekali sambil bersorak ria. Kerana firman TUHAN itu benar; dan semua kerja-Nya dilakukan dengan kesetiaan. TUHAN mencintai perbenaran dan keadilan; bumi ini dipenuhi kasih setia-Nya. Dengan firman TUHAN langit telah dicipta, dan seluruh cakerawala dengan perintah-Nya. Dia menghimpunkan air segala lautan; Dia menyimpan khazanah lautan dalam perbendaharaan. Takutilah TUHAN, hai seluruh bumi; gerunlah kepada-Nya, hai semua penghuni dunia. Kerana Dia berfirman, lalu segalanya terjadi; Dia memberikan perintah, lalu segalanya teguh. TUHAN mematahkan rancangan bangsa-bangsa; Dia menjadikan niat mereka sia-sia. Rancangan TUHAN bertapak selama-lamanya, niat hati-Nya bagi manusia zaman-berzaman. Diberkatilah bangsa yang Allah mereka ialah TUHAN, mereka yang telah dipilih sebagai milik-Nya. TUHAN memandang dari syurga Dia melihat semua anak manusia; dari tempat bersemayam-Nya Dia memandang semua penghuni bumi — Dia membentuk hati setiap orang, Dia mempertimbangkan seluruh perbuatan mereka. Tiada raja yang diselamatkan oleh tentera yang besar; orang gagah perkasa tidak dapat diselamatkan oleh kekuatan yang hebat. Kuda yang diharapkan untuk menyelamatkan pasti mengecewakan; kekuatannya yang hebat tidak akan menyelamatkan sesiapa. Lihatlah, TUHAN menumpukan perhatian kepada mereka yang takut kepada-Nya, kepada mereka yang berharapkan kasih setia-Nya, untuk menyelamatkan mereka daripada maut, dan membolehkan mereka hidup ketika berlaku kebuluran. Jiwa kita berharap akan TUHAN; Dialah penolong dan perisai kita. Hati kita akan bergembira kerana Dia, sebab kita percaya akan nama-Nya yang suci. Limpahi kami dengan kasih setia-Mu, ya TUHAN, sebagaimana kami berharap kepada-Mu.