Mazmur 33:1-22

Mazmur 33:1-22 AVB

Bergembiralah tentang TUHAN, wahai orang yang benar; kerana pujian daripada orang tulus sungguh indah. Pujilah TUHAN dengan bermain kecapi; mainkan lagu untuk-Nya dengan alat bertali sepuluh. Nyanyikan lagu baru untuk-Nya; mainkan dengan mahir sekali sambil bersorak ria. Kerana firman TUHAN itu benar; dan semua kerja-Nya dilakukan dengan kesetiaan. TUHAN mencintai perbenaran dan keadilan; bumi ini dipenuhi kasih setia-Nya. Dengan firman TUHAN langit telah dicipta, dan seluruh cakerawala dengan perintah-Nya. Dia menghimpunkan air segala lautan; Dia menyimpan khazanah lautan dalam perbendaharaan. Takutilah TUHAN, hai seluruh bumi; gerunlah kepada-Nya, hai semua penghuni dunia. Kerana Dia berfirman, lalu segalanya terjadi; Dia memberikan perintah, lalu segalanya teguh. TUHAN mematahkan rancangan bangsa-bangsa; Dia menjadikan niat mereka sia-sia. Rancangan TUHAN bertapak selama-lamanya, niat hati-Nya bagi manusia zaman-berzaman. Diberkatilah bangsa yang Allah mereka ialah TUHAN, mereka yang telah dipilih sebagai milik-Nya. TUHAN memandang dari syurga Dia melihat semua anak manusia; dari tempat bersemayam-Nya Dia memandang semua penghuni bumi — Dia membentuk hati setiap orang, Dia mempertimbangkan seluruh perbuatan mereka. Tiada raja yang diselamatkan oleh tentera yang besar; orang gagah perkasa tidak dapat diselamatkan oleh kekuatan yang hebat. Kuda yang diharapkan untuk menyelamatkan pasti mengecewakan; kekuatannya yang hebat tidak akan menyelamatkan sesiapa. Lihatlah, TUHAN menumpukan perhatian kepada mereka yang takut kepada-Nya, kepada mereka yang berharapkan kasih setia-Nya, untuk menyelamatkan mereka daripada maut, dan membolehkan mereka hidup ketika berlaku kebuluran. Jiwa kita berharap akan TUHAN; Dialah penolong dan perisai kita. Hati kita akan bergembira kerana Dia, sebab kita percaya akan nama-Nya yang suci. Limpahi kami dengan kasih setia-Mu, ya TUHAN, sebagaimana kami berharap kepada-Mu.