MAZMUR 31:12-24

MAZMUR 31:12-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Semua musuhku mentertawakan aku; jiran-jiranku menghina aku; mereka yang mengenal aku takut akan aku; mereka lari apabila nampak aku di jalan. Aku dilupakan seolah-olah aku sudah mati; aku umpama barang terbuang. Aku mendengar bisikan musuhku; perkara dahsyat terdapat di sekelilingku. Mereka berkomplot menentang aku, dan merancang hendak membunuh aku. Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; Engkaulah Allahku. Aku sentiasa berada dalam jagaan-Mu; selamatkanlah aku daripada musuhku dan daripada mereka yang menganiaya aku. Semoga Engkau berkenan kepada hamba-Mu; selamatkanlah aku demi kasih-Mu. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; jangan biarkan aku dipermalukan. Biarlah orang jahat dipermalukan, dan turun ke alam maut dengan senyap. Biarlah pembohong menjadi kelu, kerana mereka sombong dan menghina orang jujur. Betapa limpahnya kebaikan-Mu yang Engkau sediakan untuk orang yang menghormati Engkau. Setiap orang melihat kebaikan yang Engkau lakukan bagi mereka yang berlindung kepada-Mu. Engkau menyembunyikan mereka di tempat hadirat-Mu, yang selamat daripada komplot manusia; Engkau menyembunyikan mereka di tempat perlindungan yang selamat daripada hinaan musuh mereka. Terpujilah TUHAN! Sangat mengagumkan kasih-Nya bagiku, ketika aku dikepung dan diserang oleh musuh. Aku takut dan menyangka bahawa TUHAN telah mengusir aku dari hadirat-Nya. Tetapi Dia telah mendengar seruanku, ketika aku minta pertolongan-Nya. Kasihilah TUHAN, hai semua umat-Nya yang setia. TUHAN melindungi orang yang setia, tetapi menghukum orang yang sombong.

MAZMUR 31:12-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan; aku seperti sebuah bekas yang pecah. Aku mendengar ramai orang memfitnahku; ketakutan mengepungku; mereka sedang berpakat menentangku mereka merancang untuk meragut nyawaku. Namun aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN; aku berkata, “Engkaulah Allahku.” Usiaku berada dalam tangan-Mu; selamatkanlah aku daripada segala musuhku dan daripada mereka yang memburuku. Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih setia-Mu. Jangan biarkan aku malu, ya TUHAN, kerana aku telah berseru kepada-Mu; biarlah orang zalim ditimpa malu biarlah mereka membisu dalam kubur. Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan, lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar. Betapa limpahnya kebaikan-Mu, yang telah Kausediakan untuk mereka yang takut kepada-Mu, yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu. Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia; Engkau akan menyembunyikan mereka di tempat selamat daripada serangan lidah manusia. Segala puji bagi TUHAN, kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung. Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar, “Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!” Namun Engkau mendengar suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu. Kasihilah TUHAN, wahai umat-Nya yang warak! Kerana TUHAN memeliharakan orang yang setia, dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh. Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu, semua kamu yang berharap kepada TUHAN.