MAZMUR 31:12-24

MAZMUR 31:12-24 BM

Semua musuhku mentertawakan aku; jiran-jiranku menghina aku; mereka yang mengenal aku takut akan aku; mereka lari apabila nampak aku di jalan. Aku dilupakan seolah-olah aku sudah mati; aku umpama barang terbuang. Aku mendengar bisikan musuhku; perkara dahsyat terdapat di sekelilingku. Mereka berkomplot menentang aku, dan merancang hendak membunuh aku. Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; Engkaulah Allahku. Aku sentiasa berada dalam jagaan-Mu; selamatkanlah aku daripada musuhku dan daripada mereka yang menganiaya aku. Semoga Engkau berkenan kepada hamba-Mu; selamatkanlah aku demi kasih-Mu. Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; jangan biarkan aku dipermalukan. Biarlah orang jahat dipermalukan, dan turun ke alam maut dengan senyap. Biarlah pembohong menjadi kelu, kerana mereka sombong dan menghina orang jujur. Betapa limpahnya kebaikan-Mu yang Engkau sediakan untuk orang yang menghormati Engkau. Setiap orang melihat kebaikan yang Engkau lakukan bagi mereka yang berlindung kepada-Mu. Engkau menyembunyikan mereka di tempat hadirat-Mu, yang selamat daripada komplot manusia; Engkau menyembunyikan mereka di tempat perlindungan yang selamat daripada hinaan musuh mereka. Terpujilah TUHAN! Sangat mengagumkan kasih-Nya bagiku, ketika aku dikepung dan diserang oleh musuh. Aku takut dan menyangka bahawa TUHAN telah mengusir aku dari hadirat-Nya. Tetapi Dia telah mendengar seruanku, ketika aku minta pertolongan-Nya. Kasihilah TUHAN, hai semua umat-Nya yang setia. TUHAN melindungi orang yang setia, tetapi menghukum orang yang sombong.