MAZMUR 22:14-24
MAZMUR 22:14-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka mengangakan mulut seperti singa, hendak mengaum dan menerkam aku. Tenagaku hilang, hilang seperti air yang tumpah. Semua tulangku terkehel; hatiku meleleh seperti lilin. Kerongkongku kering seperti debu, dan lidahku melekat di lelangit. Engkau tinggalkan aku di atas debu, seperti orang yang sudah mati. Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku; seperti sekumpulan anjing, mereka mengepung aku; mereka menyiat tangan serta kakiku. Semua tulangku kelihatan. Musuh memandang aku sebagai tontonan; mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku. Ya TUHAN, janganlah jauhkan diri daripadaku, cepatlah datang untuk menolong aku. Selamatkanlah aku daripada pedang; selamatkanlah aku daripada cengkaman anjing. Aku tidak berdaya, lepaskanlah aku dari tanduk kerbau dan dari mulut singa. Aku akan memberitahu rakyatku tentang perbuatan-Mu; dalam perhimpunan mereka aku akan memuji-Mu. Pujilah Dia, hai hamba-hamba TUHAN! Hormatilah Dia, hai keturunan Yakub; sembahlah Dia, hai umat Israel!
MAZMUR 22:14-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku dicurah keluar seperti air, dan semua tulangku terseliuh daripada sendinya. Hatiku seperti lilin; dan telah cair dalam diriku. Kekuatanku telah kering-kontang, dan lidahku melekat ke langit-langitku; Engkau telah membawaku ke debu maut. Anjing-anjing telah mengelilingiku; gerombolan orang durjana mengepungku, mereka telah menembusi tangan dan kakiku. Aku dapat membilang semua tulangku; mereka membelalak merenungku. Mereka membahagikan pakaianku antara mereka dan untuk itu mereka membuang undi. Tetapi Engkau, ya TUHAN, janganlah jauh daripadaku; ya TUHAN kekuatanku, segeralah datang menolongku. Selamatkan aku daripada pedang, dan nyawaku yang satu-satunya daripada cengkaman anjing. Selamatkan aku daripada mulut singa; dan daripada tanduk lembu liar. Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku; di tengah-tengah perhimpunan aku akan memuji-Mu. Kamu yang takut akan TUHAN, pujilah Dia! Semua kamu zuriat Yakub, muliakan TUHAN! Dan takutilah Dia, semua kamu anak cucu Israel! Kerana Dia tidak menghina atau menjijikkan derita orang yang menderita; dan Dia tidak menyembunyikan wajah-Nya daripada dia. Apabila dia berseru kepada-Nya, Dia mendengar.