MAZMUR 22:1-19

MAZMUR 22:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Rusa di Kala Fajar. Mazmur Daud. Allahku, ya Allahku, mengapakah Engkau meninggalkan aku? Aku berseru tetapi Engkau tetap jauh, dan tidak menolong aku. Pada siang hari aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak menyahut; aku berseru pada waktu malam, namun tidak juga mendapat ketenteraman. Tetapi Engkau Raja Yang Maha Suci, yang dipuji oleh Israel. Kepada-Mu nenek moyang kami percaya; mereka percaya kepada-Mu dan Engkau menyelamatkan mereka. Mereka berseru kepada-Mu dan Engkau menjauhkan mereka daripada bahaya; mereka percaya kepada-Mu dan tidak dikecewakan. Tetapi aku ini ulat, bukan manusia, yang dihina dan dicaci semua orang. Semua orang yang melihat aku mempermainkan aku; mereka menjelirkan lidah dan menggelengkan kepala. Mereka berkata, “Kamu percaya kepada TUHAN, tetapi mengapakah Dia tidak menyelamatkan kamu? Jika TUHAN mengasihi kamu, mengapakah Dia tidak menolong kamu?” Engkaulah, ya TUHAN, yang mengeluarkan aku dari kandungan ibuku, dan ketika aku masih bayi, Engkaulah yang memelihara aku. Sejak lahir, aku bergantung kepada-Mu; sejak dalam kandungan, Engkaulah Allahku. Janganlah jauhkan diri daripadaku. Kesusahan sudah dekat, dan tiada sesiapa pun yang membantu. Banyak musuh yang mengepung aku; mereka semua mengelilingi aku, seperti kerbau hutan dari negeri Basan. Mereka mengangakan mulut seperti singa, hendak mengaum dan menerkam aku. Tenagaku hilang, hilang seperti air yang tumpah. Semua tulangku terkehel; hatiku meleleh seperti lilin. Kerongkongku kering seperti debu, dan lidahku melekat di lelangit. Engkau tinggalkan aku di atas debu, seperti orang yang sudah mati. Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku; seperti sekumpulan anjing, mereka mengepung aku; mereka menyiat tangan serta kakiku. Semua tulangku kelihatan. Musuh memandang aku sebagai tontonan; mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku.

MAZMUR 22:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ya Allahku, ya Allahku, mengapa Engkau meninggalkan aku? Mengapa Engkau terlalu jauh untuk menolongku, dan untuk mendengar kata-kata rintihanku? Ya Allahku, aku meratap sepanjang siang, tetapi Engkau tidak mendengar, dan semalaman aku tidak berhenti merayu. Tetapi Engkau suci; bertakhta di atas puji-pujian umat Israel. Nenek moyang kami percaya kepada-Mu; mereka percaya dan Engkau menyelamatkan mereka. Mereka merayu kepada-Mu, lalu mereka diselamatkan; mereka percaya kepada-Mu, dan tidak kecewa. Tetapi aku makhluk melata, bukan manusia, dikeji dan dihina orang. Semua yang melihatku mentertawakanku; mereka mencaciku, menggeleng kepala, sambil berkata: “Dia percaya kepada TUHAN; biar TUHAN selamatkan dia. Biar TUHAN lepaskan dia, kerana TUHAN berkenan kepadanya.” Tetapi Engkaulah yang mengeluarkan aku dari rahim; Engkau membuat aku percaya ketika masih disusui ibuku. Aku diserahkan kepada-Mu sejak lahir; semenjak di rahim ibuku lagi Engkaulah Allahku. Janganlah jauh daripadaku, kerana kesusahan dekat denganku dan tiada siapa yang menolong. Banyak lembu jantan mengelilingiku; lembu jantan Basan yang kuat telah mengepungku. Mereka merenungku dengan mulut ternganga seperti singa yang mengaum ganas. Aku dicurah keluar seperti air, dan semua tulangku terseliuh daripada sendinya. Hatiku seperti lilin; dan telah cair dalam diriku. Kekuatanku telah kering-kontang, dan lidahku melekat ke langit-langitku; Engkau telah membawaku ke debu maut. Anjing-anjing telah mengelilingiku; gerombolan orang durjana mengepungku, mereka telah menembusi tangan dan kakiku. Aku dapat membilang semua tulangku; mereka membelalak merenungku. Mereka membahagikan pakaianku antara mereka dan untuk itu mereka membuang undi. Tetapi Engkau, ya TUHAN, janganlah jauh daripadaku; ya TUHAN kekuatanku, segeralah datang menolongku.

MAZMUR 22:1-19

MAZMUR 22:1-19 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami