MAZMUR 18:1-32
MAZMUR 18:1-32 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dinyanyikan kepada TUHAN pada waktu TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan daripada semua musuhnya. Aku sangat mengasihi Engkau, ya TUHAN! Engkaulah pembelaku. TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku. Bahaya maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku. Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku. Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku. Kemudian bumi bergempa dan bergoncang; tapak gunung bergoyang dan bergegar, kerana Allah murka. Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya. Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya. Dia terbang laju dengan mengenderai kerub; Dia melayang di atas sayap angin. Dia menutup diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia. Hujan batu dan api datang dari kilat yang di hadapan-Nya, menembusi awan yang tebal itu. Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa; dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya. Dia melepaskan anak panah-Nya dan mencerai-beraikan musuh-Nya; Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari. Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika Engkau menegur musuh-Mu, ya TUHAN, dan bertempik dengan murka terhadap mereka. Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam. Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku. Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku. Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku. TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah. Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku. Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya. Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan. Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah. Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik. Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat. Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong. Engkau memberikan cahaya kepadaku; TUHAN Allahku menerangi kegelapanku. Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka. Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya. TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita.
MAZMUR 18:1-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku mengasihi-Mu, ya TUHAN, Engkaulah kekuatanku. TUHAN ialah batu pejalku, kubuku dan penyelamatku; Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku. Seksa maut telah mengepungku; curahan banjir kebinasaan mengerikanku. Seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku. Dalam kesesakanku aku berseru kepada TUHAN; aku meraung kepada Allahku. Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya; raunganku sampai kepada pendengaran-Nya. Maka bumi pun gempa dan gementar, tapak bukit-bukau bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka. Asap naik dari hidung-Nya, dan api daripada mulut-Nya menghanguskan, dan bara menyala keluar daripada-Nya. Dia menekuk langit lalu turun, kelam pekat ada di bawah kaki-Nya. Dia terbang mengenderai malaikat kerubin; Dia melayang di sayap angin. Dia menjadikan kegelapan di lelangit di sekeliling-Nya: diselubungi timbunan air kelam dan awan tebal di udara. Daripada cahaya di hadapan-Nya awan tebal berlalu, dengan hujan batu dan arang yang menyala. TUHAN mengguntur dari langit; Yang Maha Tinggi memperdengarkan panah suara-Nya. Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga musuh bertempiaran, Dia memancarkan kilat sabung-menyabung lalu menumpaskan mereka. Maka saluran di dasar lautan terserlah dan asas bumi terdedah akibat kemurkaan-Mu, ya TUHAN, dan hembusan hebat nafas-Mu. Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit, Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan. Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat, daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku. Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan, tetapi TUHAN menolongku. Dia membawaku ke tempat yang luas; Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku. TUHAN memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar; Dia menggantikan deritaku dengan rahmat kerana tanganku bersih daripada dosa. Kerana aku telah mengikut jalan TUHAN; dan tidak menyeleweng daripada Allahku dengan melakukan kejahatan. Segala hukum-Nya ada di hadapanku sebagai panduan; dan aku tidak mengetepikan ketetapan-Nya. Di hadirat-Nya aku tidak bercela dan aku mengatasi kejahatan dalam diriku. Maka TUHAN memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu tanganku bersih daripada dosa. Kepada orang yang berbelas kasihan, Engkau memperlihatkan belas kasihan-Mu, kepada orang yang tidak bercela, Engkau memperlihatkan diri-Mu tidak bercela, kepada orang yang suci Engkau memperlihatkan kesucian-Mu, kepada orang yang menipu Engkau memperlihatkan kearifan-Mu. Engkau menyelamatkan orang yang rendah diri tetapi akan menundukkan orang yang angkuh. Engkau, ya TUHAN, akan menyalakan lampuku; TUHAN, Allahku akan menerangi kegelapanku. Dengan kekuatan daripada-Mu aku dapat melawan musuh yang ramai; dengan kekuatan daripada Allahku aku dapat melompati tembok. Jalan Allah itu sempurna; firman TUHAN terbukti benar. Dialah perisai pelindung semua yang bernaung kepada-Nya. Tiada Allah melainkan TUHAN, tiada Batu Pejal melainkan Allah kita. Allah yang memberiku kekuatan berjuang dan menjadikan jalan hidupku sempurna.