MAZMUR 147:1-20
MAZMUR 147:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Pujilah TUHAN! Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Allah kita; memang elok dan patut kita memuji Dia. TUHAN sedang memulihkan Yerusalem; Dia sedang membawa orang Israel kembali dari pembuangan. Dia menyembuhkan orang yang hancur hati, dan membalut luka mereka. Dia telah menentukan jumlah bintang, dan memberikan nama setiap bintang. Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita; kebijaksanaan-Nya tidak terhingga. Dia memberikan kuasa kepada orang yang tertindas, tetapi Dia mengalahkan dan mempermalukan orang jahat. Nyanyikanlah lagu pujian untuk TUHAN, dan mainkanlah kecapi untuk Allah kita. Dia membentangkan awan di langit; Dia menurunkan hujan ke bumi, dan menumbuhkan rumput di bukit. Dia memberikan makanan kepada binatang, dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap. Dia tidak suka akan kuda yang kuat, ataupun askar yang berani; tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya, orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal. Pujilah TUHAN, hai Yerusalem! Pujilah Allahmu, hai Sion! Dia menguatkan pintu gerbangmu; Dia memberkati umatmu. Dia menjaga keamanan negerimu dan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik. Dia memberikan perintah kepada bumi, dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera. Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut, Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu. Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil; tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu. Kerana firman-Nya, air batu menjadi cair; Dia meniupkan angin, maka air pun mengalir. Dia memberikan firman-Nya kepada umat-Nya, peraturan dan hukum-Nya kepada Israel. Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa lain; mereka tidak mengenal hukum-Nya.
MAZMUR 147:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pujilah TUHAN! Kerana menyanyikan pujian kepada Allah kita itu baik, serta menyenangkan, dan pujian itu indah! TUHAN membina semula Yerusalem; Dia mengumpulkan umat Israel yang tersingkir. Dia menyembuhkan mereka yang patah hati dan membalut luka mereka. Dia menghitung bintang-bintang Dia memanggil setiap satu dengan namanya. Maha Besar Tuhan kita dan Maha Kuasa; pengertian-Nya tidak ada batasan. TUHAN mengangkat tinggi mereka yang rendah hati; Dia menghumbankan orang zalim ke tanah. Menyanyilah kepada TUHAN dengan mengucapkan kesyukuran; nyanyikan pujian dengan iringan kecapi kepada Allah kita. Dia melitupi langit dengan awan; Dia menyediakan hujan untuk bumi; Dia menumbuhkan rumput di atas gunung. Dia memberi makanan kepada haiwan dan kepada anak-anak gagak yang menciap. Dia tidak menikmati kekuatan kuda, Dia tidak berkenan akan manusia kerana kegagahannya; TUHAN meredai mereka yang takut kepada-Nya, mereka yang berharapkan kasih setia-Nya. Sanjunglah TUHAN, wahai Yerusalem; pujilah Allahmu, wahai Sion, kerana Dia telah mengukuhkan palang-palang pintu pagarmu; Dia telah memberkati anak-anak di dalammu. Dia menjadikan sempadan-sempadanmu aman dan memenuhimu dengan gandum terbaik. Dia menghantarkan perintah-Nya ke bumi; firman-Nya sampai dalam seketika. Dia memberi salji seperti bulu domba; Dia menaburkan air beku seperti abu. Dia melemparkan hujan batu-Nya. Siapa yang dapat menghadapi kedinginan-Nya? Dia menghantarkan firman-Nya lalu mencairkan semuanya; Dia membuat angin-Nya bertiup dan air mengalir. Dia mengisytiharkan firman-Nya kepada Yakub, ketetapan dan hukum-Nya kepada Israel. Dia tidak melakukan yang demikian kepada bangsa lain; dan hukum-hukum-Nya tidak diketahui oleh mereka. Pujilah TUHAN!