Mazmur 147:1-20

Mazmur 147:1-20 AVB

Pujilah TUHAN! Kerana menyanyikan pujian kepada Allah kita itu baik, serta menyenangkan, dan pujian itu indah! TUHAN membina semula Yerusalem; Dia mengumpulkan umat Israel yang tersingkir. Dia menyembuhkan mereka yang patah hati dan membalut luka mereka. Dia menghitung bintang-bintang Dia memanggil setiap satu dengan namanya. Maha Besar Tuhan kita dan Maha Kuasa; pengertian-Nya tidak ada batasan. TUHAN mengangkat tinggi mereka yang rendah hati; Dia menghumbankan orang zalim ke tanah. Menyanyilah kepada TUHAN dengan mengucapkan kesyukuran; nyanyikan pujian dengan iringan kecapi kepada Allah kita. Dia melitupi langit dengan awan; Dia menyediakan hujan untuk bumi; Dia menumbuhkan rumput di atas gunung. Dia memberi makanan kepada haiwan dan kepada anak-anak gagak yang menciap. Dia tidak menikmati kekuatan kuda, Dia tidak berkenan akan manusia kerana kegagahannya; TUHAN meredai mereka yang takut kepada-Nya, mereka yang berharapkan kasih setia-Nya. Sanjunglah TUHAN, wahai Yerusalem; pujilah Allahmu, wahai Sion, kerana Dia telah mengukuhkan palang-palang pintu pagarmu; Dia telah memberkati anak-anak di dalammu. Dia menjadikan sempadan-sempadanmu aman dan memenuhimu dengan gandum terbaik. Dia menghantarkan perintah-Nya ke bumi; firman-Nya sampai dalam seketika. Dia memberi salji seperti bulu domba; Dia menaburkan air beku seperti abu. Dia melemparkan hujan batu-Nya. Siapa yang dapat menghadapi kedinginan-Nya? Dia menghantarkan firman-Nya lalu mencairkan semuanya; Dia membuat angin-Nya bertiup dan air mengalir. Dia mengisytiharkan firman-Nya kepada Yakub, ketetapan dan hukum-Nya kepada Israel. Dia tidak melakukan yang demikian kepada bangsa lain; dan hukum-hukum-Nya tidak diketahui oleh mereka. Pujilah TUHAN!

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Mazmur 147:1-20