MAZMUR 103:1-22

MAZMUR 103:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah nama-Nya yang suci, hai segenap batinku! Pujilah TUHAN, hai jiwaku, dan jangan lupa akan kebaikan-Nya. Dia mengampunkan segala dosaku, dan menyembuhkan segala penyakitku; Dia menyelamatkan aku daripada kematian dan memberkati aku dengan kasih dan rahmat; Dia memuaskan hidupku dengan segala yang baik, sehingga aku tetap muda dan kuat seperti burung helang. TUHAN membela orang yang tertindas dan bertindak dengan adil. Dia menyatakan rancangan-Nya kepada Musa, dan perbuatan-Nya kepada bangsa Israel. TUHAN pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih. Dia tidak selalu murka, Dia tidak selalu menaruh dendam. Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita, Dia tidak membalas kita setimpal dengan kesalahan kita. Tetapi setinggi langit dari bumi, setinggi itu juga kasih-Nya kepada orang yang menghormati-Nya. Sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita. Seperti seorang bapa mengasihani anak-anaknya, begitulah TUHAN mengasihani orang yang menghormati-Nya. Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka. Manusia bagaikan rumput, yang tumbuh dan mengembang seperti bunga di padang. Apabila ditiup angin, bunga pun hilang, tiada orang melihatnya lagi. Tetapi TUHAN tetap mengasihi orang yang menghormati Dia, dan kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya, bagi mereka yang setia kepada perjanjian-Nya, dan mentaati perintah-Nya. TUHAN membina takhta-Nya di syurga; Dia raja yang menguasai semuanya. Pujilah TUHAN, hai malaikat-malaikat yang kuat dan perkasa, yang mendengar dan melakukan perintah-Nya! Pujilah TUHAN, hai semua tentera syurga, hai kamu yang melakukan kehendak-Nya! Pujilah TUHAN, hai semua ciptaan di seluruh tempat Dia memerintah. Pujilah TUHAN, hai jiwaku!

MAZMUR 103:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pujilah TUHAN, wahai jiwaku; dan segala yang dalamku, pujilah nama-Nya yang suci. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku, dan jangan lupakan segala rahmat-Nya — Dia mengampunkan segala dosamu, Dia menyembuhkan segala penyakitmu, Dia menebus nyawamu daripada kemusnahan, Dia memahkotakanmu dengan kasih sayang dan belas kasih, Dia memuaskan hasratmu dengan yang baik supaya usia mudamu dibaharui seperti burung rajawali. TUHAN menjalankan perbenaran dan keadilan bagi semua yang tertindas. Dia memberitahu jalan-Nya kepada Musa, perbuatan-Nya kepada kaum Israel: TUHAN penuh belas kasihan dan kasih kurnia, panjang sabar serta melimpah kasih-Nya. Dia tidak sentiasa memarahi kita, dan tidak menyimpan kemarahan-Nya untuk selama-lamanya; Dia tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita dan tidak menghukum kita setimpal dengan kesalahan kita. Kerana sebagaimana tingginya langit di atas bumi, demikianlah limpah kasih-Nya kepada orang yang takut kepada-Nya; sebagaimana jauhnya timur dari barat, begitulah jauhnya Dia telah membuang keingkaran kita daripada diri kita. Sebagaimana bapa mengasihani anak-anak, demikianlah TUHAN mengasihani orang yang takut kepada-Nya; kerana Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ialah debu. Hidup manusia seperti rumput, seperti bunga di padang, begitulah dia berkembang; angin meniupnya, maka tiadalah dia lagi, dan tempatnya dahulu tidak mengingatinya. Tetapi kasih TUHAN dari selama-lamanya sampai selama-lamanya bagi mereka yang takut kepada-Nya, dan perbenaran-Nya sampai anak cucu, kepada mereka yang mematuhi perjanjian-Nya dan kepada mereka yang mengingati ajaran-ajaran-Nya. TUHAN telah menempatkan takhta-Nya di syurga, dan kerajaan-Nya memerintah semua yang ada. Pujilah TUHAN, hai kamu para malaikat-Nya yang amat gagah perkasa, yang menjalankan firman-Nya dan sentiasa mendengar suara firman-Nya. Pujilah TUHAN, hai semua angkatan syurga-Nya, kamu para hamba-Nya yang melakukan apa yang diredai-Nya. Pujilah TUHAN, segala hasil kerja-Nya di semua tempat yang dikuasai-Nya. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku.