Pujilah TUHAN, wahai jiwaku;
dan segala yang dalamku,
pujilah nama-Nya yang suci.
Pujilah TUHAN, wahai jiwaku,
dan jangan lupakan segala rahmat-Nya —
Dia mengampunkan segala dosamu,
Dia menyembuhkan segala penyakitmu,
Dia menebus nyawamu daripada kemusnahan,
Dia memahkotakanmu dengan kasih sayang dan belas kasih,
Dia memuaskan hasratmu dengan yang baik
supaya usia mudamu dibaharui seperti burung rajawali.
TUHAN menjalankan perbenaran
dan keadilan bagi semua yang tertindas.
Dia memberitahu jalan-Nya kepada Musa,
perbuatan-Nya kepada kaum Israel:
TUHAN penuh belas kasihan dan kasih kurnia,
panjang sabar serta melimpah kasih-Nya.
Dia tidak sentiasa memarahi kita,
dan tidak menyimpan kemarahan-Nya untuk selama-lamanya;
Dia tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita
dan tidak menghukum kita setimpal dengan kesalahan kita.
Kerana sebagaimana tingginya langit di atas bumi,
demikianlah limpah kasih-Nya kepada orang yang takut kepada-Nya;
sebagaimana jauhnya timur dari barat,
begitulah jauhnya Dia telah membuang keingkaran kita daripada diri kita.
Sebagaimana bapa mengasihani anak-anak,
demikianlah TUHAN mengasihani orang yang takut kepada-Nya;
kerana Dia tahu bagaimana kita dibentuk,
Dia ingat bahawa kita ialah debu.
Hidup manusia seperti rumput,
seperti bunga di padang, begitulah dia berkembang;
angin meniupnya, maka tiadalah dia lagi,
dan tempatnya dahulu tidak mengingatinya.
Tetapi kasih TUHAN dari selama-lamanya sampai selama-lamanya
bagi mereka yang takut kepada-Nya, dan perbenaran-Nya sampai anak cucu,
kepada mereka yang mematuhi perjanjian-Nya
dan kepada mereka yang mengingati ajaran-ajaran-Nya.
TUHAN telah menempatkan takhta-Nya di syurga,
dan kerajaan-Nya memerintah semua yang ada.
Pujilah TUHAN, hai kamu para malaikat-Nya yang amat gagah perkasa,
yang menjalankan firman-Nya dan sentiasa mendengar suara firman-Nya.
Pujilah TUHAN, hai semua angkatan syurga-Nya,
kamu para hamba-Nya yang melakukan apa yang diredai-Nya.
Pujilah TUHAN, segala hasil kerja-Nya
di semua tempat yang dikuasai-Nya.
Pujilah TUHAN, wahai jiwaku.