AMSAL 8:1-36
AMSAL 8:1-36 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengarlah! Hikmat berseru-seru; kebijaksanaan memperdengarkan suara. Hikmat berdiri di puncak bukit, di tepi jalan, dan juga di simpang jalan. Di pintu masuk ke kota, di pintu gerbang, hikmat berseru, “Hai umat manusia, aku merayu kepada kamu; setiap insan di bumi, perhatikanlah seruanku. Kamu yang kurang matang, matangkan fikiranmu; kamu yang bebal, belajarlah supaya berakal. Dengarlah kata-kataku, kerana semuanya tepat dan berguna. Apa yang aku katakan, betul semuanya, kerana aku membenci dusta. Segala yang aku katakan benar; tiada satu pun yang menyesatkan atau salah. Bagi orang yang berpengertian, semuanya jelas; bagi orang yang berpengetahuan, semuanya terang. Hargailah ajaranku lebih daripada perak; pentingkanlah pengetahuan lebih daripada emas tulen. Akulah Hikmat. Aku lebih berharga daripada permata, dan aku tidak dapat dibandingkan dengan apa pun yang kamu idamkan. Akulah Hikmat; aku mempunyai pengertian, pengetahuan, dan kebijaksanaan. Menghormati TUHAN bererti membenci kejahatan; aku membenci kesombongan dan keangkuhan, tingkah laku jahat dan dusta. Aku memberikan nasihat yang baik, dan pertimbangan yang bijak. Aku berpengetahuan dan aku kuat. Aku membantu raja-raja menjalankan pemerintahan, dan aku menolong para penguasa menegakkan keadilan. Setiap penguasa yang adil memerintah dengan pertolonganku, demikian juga negarawan dan bangsawan. Aku mengasihi orang yang mengasihi aku, sesiapa yang sungguh-sungguh mencari aku akan menemukan aku. Aku dapat memberi kamu kekayaan dan kehormatan, kemakmuran, dan kejayaan. Apa yang kamu terima daripadaku lebih baik daripada emas tulen, lebih baik daripada perak murni. Aku mengambil jalan kejujuran; aku mengikut jalan keadilan. Aku memberikan kekayaan kepada orang yang mengasihi aku, dan aku memenuhi rumah mereka dengan harta. TUHAN mencipta aku pada permulaan karya-Nya, akulah hasil karya-Nya yang pertama, pada zaman dahulu. Akulah yang mula-mula sekali diciptakan, sebelum dunia ini dijadikan. Aku lahir sebelum ada lautan, sebelum ada mata air. Aku lahir sebelum gunung-gunung ditegakkan, sebelum bukit-bukit didirikan, sebelum TUHAN mencipta bumi dan padang-padangnya, bahkan sebelum ada gumpal tanah yang pertama. Aku menyaksikan Dia membentangkan langit, ketika Dia menentukan batas langit, ketika Dia menempatkan awan di langit, ketika Dia membuka mata air di lautan, ketika Dia memerintahkan air laut naik sampai ke batas yang ditentukan-Nya. Aku sudah pun ada ketika dasar bumi diletakkan-Nya. Aku di sisi-Nya seperti seorang jurubina, setiap hari akulah sumber kebahagiaan-Nya, aku sentiasa gembira di hadirat-Nya. Aku gembira dengan bumi-Nya, puas hati dengan umat manusia. Sekarang, dengarlah nasihatku, hai anak-anak. Ikutlah petunjukku supaya kamu bahagia. Terimalah ajaranku dan jadilah bijaksana; jangan abaikannya. Berbahagialah orang yang mendengarkan aku, orang yang duduk di pintu rumahku setiap hari, dan yang menunggu di gerbang kediamanku. Orang yang menemukan aku memperoleh hidup, dia diperkenankan TUHAN. Orang yang tidak menemukan aku, mencelakakan dirinya sendiri, dan sesiapa yang membenci aku, mencintai maut.”
AMSAL 8:1-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bukankah hikmah berseru-seru, dan pengertian menyaringkan suaranya? Di puncak tempat tinggi di tepi jalan serta di persimpangan, di sanalah ia berdiri. Di sebelah pintu gerbang, tempat masuk menuju kota serta di pintu-pintu masuk, ia mengangkat suaranya, “Hai umat insan, kepadamulah aku berseru, kepada semua anak manusia seruanku ditujukan. Hai orang yang betul bendul, perolehlah kecerdasan; hai orang bodoh, perolehlah pengertian. Dengarlah, kerana aku akan mengatakan hal-hal yang luhur, bibirku terbuka menyampaikan perkara-perkara yang betul. Mulutku akan mengatakan kebenaran; kedurjanaan adalah kekejian bagi bibirku. Segala kata-kata mulutku adalah benar, tiada yang songsang atau bengkang-bengkok. Segalanya itu jelas bagi orang yang berpengertian, dan tepat bagi orang yang berpengetahuan. Pilihlah ajaranku dan bukannya perak; pilihlah pengetahuan dan bukannya emas pilihan. Kerana hikmah lebih bernilai daripada segala permata, dan segala yang dihasratkan tidak setara dengannya. Aku, hikmah, hidup seiring kecerdasan, dan memperoleh pengetahuan serta kebijaksanaan. Takut kepada TUHAN bererti membenci kejahatan. Kesombongan, ketakburan, kejahatan, serta mulut mungkar, semuanya kubenci. Padaku ada nasihat dan hikmah yang baik, aku memiliki pengertian, dan juga kekuatan. Kerana akulah, raja-raja memerintah, dan para penguasa menetapkan keadilan. Kerana aku, para raja dan bangsawan berkuasa, malahan semua yang memerintah di bumi dengan adil. Aku mengasihi orang yang mengasihiku, sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari aku akan menemuiku. Kekayaan dan kehormatan ada padaku, demikian pula harta yang kekal dan kemakmuran. Buahku lebih baik daripada emas, bahkan melebihi emas tulen, demikian pula hasilku lebih baik berbanding dengan perak pilihan. Aku berjalan di jalan yang benar, di tengah-tengah lorong keadilan, demi mewariskan khazanah kepada kalangan yang mengasihiku, dan memenuhi perbendaharaan TUHAN menjadikan aku pada permulaan pekerjaan-Nya, sebagai karya-Nya yang sulung pada zaman purba. Aku ditetapkan sejak azali, sebelum ada bumi. Ketika samudera raya belum ada, aku telah lahir, ketika belum ada mata air yang berlimpah airnya. Sebelum gunung-ganang didirikan, dan lebih dahulu daripada penciptaan bukit-bukau, aku telah lahir, ketika Dia belum menjadikan bumi dan padang-padangnya, atau debu tanah yang mula-mula di dunia ini. Ketika Dia membentangkan langit, aku ada di sana, ketika Dia menempatkan kaki langit pada permukaan samudera; ketika Dia menetapkan awan-awan di atas, dan ketika segala mata air samudera menderas; ketika Dia menentukan batas bagi lautan supaya airnya tidak melanggar perintah-Nya, dan ketika Dia menetapkan asas-asas bumi, aku ada di samping-Nya sebagai ahli binaan. Hari demi hari aku menjadi kegembiraan-Nya, dan sentiasa bersenang-senang di hadapan-Nya, bergembira di atas muka bumi-Nya dan bahagia dengan anak-anak manusia. Sekarang, hai anak-anak, dengarlah kata-kataku, berbahagialah orang yang memelihara jalan-jalanku. Dengarlah didikan dan jadilah orang yang arif; jangan abaikannya. Berbahagialah orang yang mendengar kata-kataku, yang berjaga-jaga setiap hari di pintu gerbangku, dan yang menanti-nanti di pintu rumahku, kerana sesiapa yang menemukanku, menemukan hidup, dan TUHAN berkenan kepadanya. Tetapi sesiapa yang tidak menemukanku, melukai dirinya sendiri. Semua orang yang membenciku, mengasihi maut.”