Dengarlah! Hikmat berseru-seru;
kebijaksanaan memperdengarkan suara.
Hikmat berdiri di puncak bukit, di tepi jalan,
dan juga di simpang jalan.
Di pintu masuk ke kota,
di pintu gerbang, hikmat berseru,
“Hai umat manusia, aku merayu kepada kamu;
setiap insan di bumi, perhatikanlah seruanku.
Kamu yang kurang matang, matangkan fikiranmu;
kamu yang bebal, belajarlah supaya berakal.
Dengarlah kata-kataku,
kerana semuanya tepat dan berguna.
Apa yang aku katakan, betul semuanya,
kerana aku membenci dusta.
Segala yang aku katakan benar;
tiada satu pun yang menyesatkan atau salah.
Bagi orang yang berpengertian, semuanya jelas;
bagi orang yang berpengetahuan, semuanya terang.
Hargailah ajaranku lebih daripada perak;
pentingkanlah pengetahuan lebih daripada emas tulen.
Akulah Hikmat. Aku lebih berharga daripada permata,
dan aku tidak dapat dibandingkan dengan apa pun yang kamu idamkan.
Akulah Hikmat; aku mempunyai pengertian,
pengetahuan, dan kebijaksanaan.
Menghormati TUHAN bererti membenci kejahatan;
aku membenci kesombongan dan keangkuhan,
tingkah laku jahat dan dusta.
Aku memberikan nasihat yang baik,
dan pertimbangan yang bijak.
Aku berpengetahuan dan aku kuat.
Aku membantu raja-raja menjalankan pemerintahan,
dan aku menolong para penguasa menegakkan keadilan.
Setiap penguasa yang adil memerintah dengan pertolonganku,
demikian juga negarawan dan bangsawan.
Aku mengasihi orang yang mengasihi aku,
sesiapa yang sungguh-sungguh mencari aku akan menemukan aku.
Aku dapat memberi kamu kekayaan dan kehormatan,
kemakmuran, dan kejayaan.
Apa yang kamu terima daripadaku lebih baik daripada emas tulen,
lebih baik daripada perak murni.
Aku mengambil jalan kejujuran;
aku mengikut jalan keadilan.
Aku memberikan kekayaan kepada orang yang mengasihi aku,
dan aku memenuhi rumah mereka dengan harta.
TUHAN mencipta aku pada permulaan karya-Nya,
akulah hasil karya-Nya yang pertama, pada zaman dahulu.
Akulah yang mula-mula sekali diciptakan,
sebelum dunia ini dijadikan.
Aku lahir sebelum ada lautan,
sebelum ada mata air.
Aku lahir sebelum gunung-gunung ditegakkan,
sebelum bukit-bukit didirikan,
sebelum TUHAN mencipta bumi dan padang-padangnya,
bahkan sebelum ada gumpal tanah yang pertama.
Aku menyaksikan Dia membentangkan langit,
ketika Dia menentukan batas langit,
ketika Dia menempatkan awan di langit,
ketika Dia membuka mata air di lautan,
ketika Dia memerintahkan air laut
naik sampai ke batas yang ditentukan-Nya.
Aku sudah pun ada
ketika dasar bumi diletakkan-Nya.
Aku di sisi-Nya seperti seorang jurubina,
setiap hari akulah sumber kebahagiaan-Nya,
aku sentiasa gembira di hadirat-Nya.
Aku gembira dengan bumi-Nya,
puas hati dengan umat manusia.
Sekarang, dengarlah nasihatku, hai anak-anak.
Ikutlah petunjukku supaya kamu bahagia.
Terimalah ajaranku dan jadilah bijaksana;
jangan abaikannya.
Berbahagialah orang yang mendengarkan aku,
orang yang duduk di pintu rumahku setiap hari,
dan yang menunggu di gerbang kediamanku.
Orang yang menemukan aku memperoleh hidup,
dia diperkenankan TUHAN.
Orang yang tidak menemukan aku, mencelakakan dirinya sendiri,
dan sesiapa yang membenci aku, mencintai maut.”